Semalam, sabtu 30 Ogos 2008M bersamaan 29 Syaaban 1429H aku menziarahi ayahanda yang terbaring uzur sejak sekian lama. Ayahandaku Ustaz Hj Muhammad bin Hj Awang @ Ustaz Muhammad Sibawaih terlantar lemah 'sakit tua' di rumahnya di Kampung Guchil Demit, Kota Bharu, Kelantan.

Aku sendiri sebenarnya jarang menziarahi beliau kerana badanku masih lemah belum kuat selepas lama menghuni wad di hospital baru2 ini. Hampir 6 bulan aku sendiri menerima dugaan Allah. Mula2 pihak hospital menyatakan aku mengidap Mysthenia Gravis @ penyakit berkaitan saraf kemudian baru bulan Julai lepas diberitahu pula nama penyakit yang kutanggungi ialah Pompe's Disease, sejenis penyakit keturunan yang kronik dan melemahkan otot2 dan sendi2.

Kini syukur Alhamdulillah sudah hampir 6 bulan pula aku berada di rumah sejak discaj dari hospital sehari sebelum PRU12 bulan Mac lalu. Syukur kerana masih diberi peluang oleh Allah hingga dapat bertemu kembali ayahanda, adik beradik, saudara mara, sahabat2 dan kenalan yang mana sewaktu terlantar di wad dahulu, aku semacam tidak yakin pertemuan ini dapat berlaku lagi.

Sewaktu sudah berada di rumah pun aku tidak juga kerap menziarahi ayahanda yang sakit kerana aku masih belum cuba memandu kereta sendiri ke rumah ayahanda. Masih lemah (begitu kata isteri). Aka masih mengharapkan orang lain membawa ke rumah ayahanda...Tetapi kadang2 bila terasa perlu untuk ke tempat2 yang mustahak, rasa mahu juga memegang steering kereta memandu sendiri.
...

Tiba di rumah ayahanda, beliau kelihatan amat lemah dengan badannya yang tiada lagi isi, amat kurus dan tidak dapat bergerak banyak. Sesekali beliau membetul atau melipat lututnya menyatakan kelenguhan atau kepenatan anggota itu. Tangannya masih upaya menggaru atau menyapu2 muka sendiri dengan pergerakan yang sangat perlahan. Dia masih berupaya melihat mengenal anak2 yang mendekatinya, barangkali mengecamnya apabila mendengar suara percakapan mereka.

Dia kerap memberitahu agar ada orang yang meladeninya, memicit atau menumbuk2 pahanya yang juga kelenguhan. Memang badan akan terasa lemah dan lenguh2 bila hanya terbaring sepanjang siang malam, darah dalam badan tidak bergerak mengalir dengan baik.

Aku memberitahu kedatanganku setelah memberi ucapan salam. Sambil merapatkan mukaku mengucup dahinya dan tanganku memegang tangan kanannya, dia sedikit mengangguk kepala dan menyebut sesuatu yang kurang jelas ke pendengaranku. Aku cuma menganggak tanda mengiyakan kata2nya yang kurang jelas itu. Aku memang tidak suka jika dia banyak berkata2 yang nampaknya agak susah mengeluarkan patah2 ayat itu.

Namun untuk mengisi dan menghidupkan suasana, aku rasa wajar menyapanya lagi dan bercakap dengannya tanpa mengharap respon ucap balas darinya. Aku cuma menyatakan agar beliau tidak lupa kepada Allah, sentiasa zikrullah dan tidak putus2 mengingati-Nya.

Ayahanda seperti biasa setelah mendengar kata2ku dia akan menjawab memberitahu, dia tetap ingat kepada Allah. Beliau tetap tidak tinggalkan amalan biasanya membaca ayat2 /surah2 dari al-Quran walaupun hanya membaca dalam hati, tanpa gerak bibir. Kali ini dia berpesan sungguh2 agar aku amalkan membaca 10 ayat awal dan 10 ayat akhir dari Surah al-Baqarah dan Surah al-Kahfi; katanya pahala amalan itu samalah dengan pahala membaca seluruh surah2 tersebut.

Ayahanda juga menyebut supaya aku rajin memberi sedekah kepada pembinaan masjid, anak2 yatim dan orang2 miskin. Amalan bersedekah ini katanya sangat besar pahalanya, Allah akan gantikan nanti dengan syurga. Belia menyebut fadhilat itu seumpama apa yang difirman oleh Allah (ayahanda membaca nas) yang bermaksud: " Sesungguhnya Allah membeli daripada orang2 yang beriman diri2 mereka dan harta2 mereka itu dengan (bayaran) syurga.." (at-Taubah:11). Aku mendengarnya dengan baik, faham dan akan turuti pesanan beliau; juga berharap agar anak2ku juga akan berbuat demikian.

Teringat kedatangan Ramadhan bakal tiba 2 hari lagi. Aku ingat yang aku telah meninggalkan amalan puasa 28 hari pada Ramadhan 1428 yang lalu kerana bertamu di hospital dulu. Aku telah pun membayar fidyah kerana 'tidak berkuasa' mengqadha puasa tersebut. Aku mengambil kesempatan bertanya ayahanda, bagaimana dengan 28 hari yang aku luputkan itu adakah wajib aku qadhakan? Lagipun hingga kini aku masih terpaksa menelan ubat2 secara berjadual, selain badanku masih uzur begini.

Ayahandaku juga seperti biasa tidak mensia2kan persoalanku itu. Walaupun kini dia dalam keadaan uzur yang sangat2, beliau menggeleng2kan kepala menyatakan aku tidak payah mengqadhakannya sebab sudah membayar fidyah tetapi katanya 'wa en tasuumu khairullakum" (jika kamu berpuasa ada baiknya bagi kamu). Tidak wajib tetapi jika ganti ada baiknya! Aku faham dan mengerti. Ayahanda memang 'alim! Dia banyak tahu.

Itulah ayahandaku yang dikasihi masih mahu menyatakan ilmunya walaupun dalam keadaan begitu payah.Aku tahu dia memang sangat berilmu dalam ilmu fiqh, ilmu tajwid dan ilmu nahu. Memiliki ilmu yang ketiga itulah dikatakan sebab ayahanda di gelar 'Sibawaih' oleh kawan2 dan murid2nya. Ayahanda pernah membuka dan mengajar di pemondokan Kampung Humalanas, Takbai, Thailand Selatan dalam tahun2 50an yang sebelumnya menjadi orang kanan merangkap menantu kepada Tuan Guru Haji Wan Ismail bin Wan Hassan, Kampung Belukar, Tapang, Kota Bharu, Kelantan.

Ayahanda kami selain rajin menatap atau menadah kitab2, beliau sangat gemar menyebarkan ilmu kepada orang2 lain. Sebab itulah beliau amat rajin mengajar / memberi kuliah maghrib di banyak masjid dan madrasah/balassah sekitar Kota Bharu. Kegiatan rutin beliau itu memenuhi sehingga 7 malam dalam seminggu. Kami anak2nya pernah melarang ayahanda supaya mengurangkan kegiatan amal tersebut memandangkan dirinya yang sudah tua dan sudah lama mengajar malah selalu uzur pula. Namun ayahanda meneruskan hobinya itu sehinggalah beliau benar2 keuzuran dan berhenti mengajar sejak beberapa tahun lalu.

Malah banyak kali beliau menyatakan kepada anak2 agar berpedoman hadis Nabi s.a.w " kun 'aaliman au mu'alliman au muta'alliman"; jadilah orang yang banyak ilmu atau orang yang mengajar ilmu atau orang yang mahukan ilmu. Ayahanda sangat gembira dan selalu menyatakan kegembiraannya jika anak2 cucunya menghormati harapannya itu dengan menjadi pensyarah, ustaz, ustazah atau guru. Terima kasih ayahadaku, kami tahu dan kami faham itu.

Ya Allah ringankanlah apa yang ditanggung kini oleh ayahanda dan bonda kami, kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami kecil, rahmatilah keduanya, ampunilah dosa2 keduanya, terimalah segala amalan baik mereka dan tempatkan mereka bersama hamba2-Mu yang muttaqiin.

Semoga Allah merahmati ayahanda dan ninda Hj Wan Ismail serta meletakkan mereka bersama golongan hamba2-Nya yang solihiin dan mustghfiriin jua. Amin.

.....

Besok 1 Ramadhan 1429H bersamaan 1 Sepetember 2008M.
Ramadhan adalah bulan 9 tahun hijriah.
Sepetember juga bulan 9 tahun masehi. Subhaanallah!

Namun dalam keadaan begini, aku akan cuba berpuasa esok! Insya Allah.

Ahlan wasahlan Ya Ramadhan

Datang Ramadhan membawa keberkatan, keampunan dan jauh dari Azab neraka.
Datang Ramadhan membawa malam qadar yang lebih baik dari seribu bulan.



2 Responses so far.

  1. Selamat berpuasa untuk Abg Di sekeluarga. Semuga Ramadhan tahun ini lebih baik dr tahun lepas.

    Mungkin mid Ramadhan ni rasanya nak balik jenguk ayah. Insya Allah jumpa lagi raya tahun ni.

  2. Assalamualaikum..
    Ore baca artikel ayah buat tentang tok ayah mat tue,ore rase bangga sangat..ore dok dalam makmal komputer sekolah ni..baru habis periksa sejarah kertas 1..alhamdulillah,ore dapat jawab dengan baik.tapi,x tahu la camne..ore harap,ayah dapat tunaikan kewajipan puasa dalam bulan ramadhan nie,cukup 30 hari..semoga bulan ramadhan tahun nie memberi keberkatan kepada kita sekeluarga..maaf dan ampun ore panjatkan kpd mak dan ayah..doakan kejayaan ore dalam trial stpm dan STPM nanti..hari khamis nie,ore balik.tghari nie nak keluar beli tiket..setakat tue sahaja dari ore dok tganu nie..kirim salam ke mok ngan lie..royat ke mok,ore balik khamis nie,nok buka puasa kat rumah,biar mok masak sedap2 deh..hehe..ore doakan kesejahteraan ayah..sayang ayah sangat..wassalam

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda