Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sejahat2 pencuri ialah orang yang mencuri dari solatnya" Sahabat2 bertanya," Bagaimana dia mencuri dari solatnya?", sabda Baginda: " Dia tidak menyempurnakan ruku' dan sujudnya".

Kejahatan pencurian yang terbesar ialah pencurian dalam solat. Pencurian dari solat bermakna tidak mengerjakannya dengan tuma'ninah /tenang. Solat yang sambil lewa. Tidak tuma'ninah ialah tidak meluruskan dengan tenang sejenak atau mendiamkan gerak punggung ketika ruku' dan sujud, tidak tegak betul ketika bangkit dari ruku' serta ketika duduk antara dua sujud.

Semua keadaan itu telah menjadi kebiasaan yang sering dilakukan oleh sebahagian besar orang yang bersolat. Boleh dikatakan di setiap jemaah / masjid terdapat golongan ini, yang tidak tuma'ninah dalam solat; padahal tuma'ninah adalah rukun dalam solat. Tanpa tuma'ninah boleh membatalkan setiap solat yang didirikan.

Rasulullah s.a.w memberi kenyataan serius dengan sabdanya: " Tidak menjadi solat seseorang sehingga dia menegakkan punggungnya ketika ruku' dan sujud".

Solat tanpa tuma'ninah adalah satu kemungkaran yang mesti dicegah dan diperingatkan. Abu Abdillah al Asy'ari berkata:" (Suatu ketika) Rasulullah s.a.w solat bersama para sahabat. Kemudian beliau duduk sama sekelompok dari mereka. Masuk seorang lelaki terus berdiri menunaikan solat. Orang itu ruku' dan sujud dengan agak cepat seperti mematuk, tidak sempurna; lalu Nabi s.a.w bersabda yang mafhumnya:

" Apakah kalian menyaksikan orang ini? Sesiapa (hingga) mati dengan keadaan seperti ini (solatnya) maka dia mati dalam keadaan di luar agama Muhammad. Dia mematuk dalam solatnya seperti burung gagak mematuk darah. Sesungguhnya perumpamaan orang yang solat dan mematuk dalam sujudnya bagaikan orang lapar yang tidak makan kecuali sebiji atau dua biji kurma, bagaimana dia boleh merasa cukup dengannya?"


Orang yang tidak tuma'ninah dalam solat, padahal ia mengetahui hukumnya, maka wajib baginya mengulangi solatnya seketika dan bertaubat atas solat-solatnya tanpa tuma'ninah di masa yang lalu. Dia tidak wajib mengqadha/ulangi solat-solat tersebut, berdasarkan hadis yang bermaksud: " Kembalilah dan solatlah sesungguhnya kamu belum solat".

Oleh itu hendaklah kita menunaikan kewajipan solat dengan penuh kesedaran, bulat hati kepada Allah dan sempurna caranya menurut cara Nabi s.a.w bersolat. Kita tidak mahu solat yang kita kerjakan selama ini menjadi sia-sia atau membawa bekas bekalan (solat) yang kosong di akhirat nanti ke hadhrat Allah padahal bekalan solatlah paling utama akan dinilaikan kelak.

0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda