Keputusan penuh pilihan raya kecil DUN Penanti

31/05/2009 8:24pm

N12: PENANTI : 15,384

1. Mansor Othman (PKR) 6,052 undi
2. Aminah Abdullah (Bebas) 392 undi
3. Nai Khan Ari a/l Nai Keow (Bebas) 494 undi
4. Kamarul Ramizu Idris (Bebas) 56 undi

Jumlah pengundi 7,100

Peratus 46.15 peratus

Undi rosak 106 undi

Majoriti 5,558 undi.

Penyandang: Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) Majoriti: 2,219 undi.

Oleh kerana BN-Umno tidak masuk gelanggang kali ini, maka tersuratnya keputusan PRK bagi DUN Penanti ini tidak bermakna apa-apa bagi penyokong-penyokong BN. Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang seperti yang dijangka semua orang.


Yang tersiratnya kita boleh jangkakan sendiri yang sudah tentu berkaitan rapat dengan berbagai faktor penyebab BN-Umno tidak meletak calonnya kali ini. Berbagai tuduhan dilontarkan kepada PKR bila pihak SPR mengisytiharkan PRK buat kawasan DUN Penanti. Sejarah mencatat lagi kelemahan BN-Umno selepas PRU 12.


Sebagai parti pemerintah dan punya kekuatan sendiri, semestinya BN-Umno tidak melepas dengan percuma DUN Penanti yang di'paksa' kosong itu. Soal siapa paksa siapa itu pun sudah jadi persoalan misteri. Ianya menjadi tanda soal sejak penyandangnya Mohammad Fairus diSPRMkan dengan ' skandal kuari ' hingga Fairus ditahan. Yang geger bertambah geger bila Fairus meletak jawatan TPM 2 Pulau Pinang dan seterusnya meletak jawatan ADUNnya, N12 Penanti.


Calon-calon bebas yang mahu ikut berlaga hari ini 31 Mei 2009 menentang Dr Mansor Othman dari PKR telah kecundang wang pertaruhan mereka RM5000.00 seorang. Kak Min, En Nai Khan dan En Kamarul Ramizu berpakat pun mereka hanya dapat 942 undi. En Kamarul yang pernah hilang RM pertaruhan di Bukit Gantang baru-baru ini dilaporkan sebelum ini mahukan 6200 undi di Penanti, berjaya memungut 56 pangkah! Yang mereka kejar (nak jadi YB) memang tak dapat, yang mereka kendung (RM deposit) berciciran.


Berbagai karenah BN-Umno dikatakan berlaku agar PKR kecundang atau sekurang-kurangnya undi majoritinya merosot. Ucapan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin, rombongan bas ke Thailand, ramai anggota polis, larangan pondok panas dan larangan menampal poster pada kereta/baju; mengundang reaksi negatif berbagai pihak terhadap kerajaan BN-Umno. Suasana pembuangan undi hari ini dikatakan aman dan agak lembab hinggakan pegawai petugas bilik membuang undi tertidur 'jemu'?


Sepatutnya BN-Umno mengejar untuk merampas Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Penanti tetapi tidak mendapatinya. Yang dikendung Kuala Terengganu pula telah keciciran! Bagaimana pula dengan Manek Urai? Apakah lagi taktik, tuduhan dan elat yang akan digunakan oleh BN-Umno bagi ' mencapai matalamat menghalalkan caranya' ?

Suatu waktu dulu kecoh TKM Pulau Pinang merangkap Adun Penanti terlibat dengan pecah amanah @ rasuah membabitkan kerja-kerja kuari di Pulau Mutiara itu. Media massa pro-Umno bukan sekali mengacah dan mendedah hal keburukan fe'el TKM itu. Pihak SPRM juga bertindak segera dengan menganggap sosok itu benar terlibat.

Lantas berikutnya Mohd Fairus terdesak meletak jawatan, malu dan suasana kini mengancamnya. Dia beralasan mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dia ditahan ditambak Johor katanya dalam perjalanan ke Pulau Singapura. BN terkejut juga dengan perletakan jawatan itu dan sudah tentu akan berlaku Pilihan Raya Kecil di Penanti! BN mula menuduh pihak PKR khasnya DS Anwar Ibrahim punya agenda tertentu.

Najib selaku ketua BN-Umno merancang BN tidak bertanding PRK Penanti. Tun Mahathir mencadangkan Umno-BN masuk gelanggang. Namun akhirnya Najib lebih masin suaranya setelah bermesyuarat: ' Kita BN tidak ikut rentak PKR, membazir wang, menyusahkan rakyat dan 'tah apa-apa"....... Ada orang kata pihak BN dah gerun nak masuk kawasan PKR tu, tambah-tambah BN dah kalah 1-4 dalam PRK yang baru lalu selepas demam PRU 12 yang belum kebah-kebah.

Kabar terbaru setelah PKR meletak calon barunya Dr Mansor Osman di PRK Penanti, ada empat lagi calon bebas mengisi borang pencalonan termasuk mantan calon bebas yang kalah di Bukit Gantang. Macam-macam menanti di Penanti.

Tapi benarkah Mohd Fairu meletak jawatan dulu kerana serabut dengan karenah media pro-BN yang sibuk menggomolnya atau kerana mahu sambung pelajarannya? Dan kenapa SPRM ikut cepat bertindaak semacam mengugut dan menakut-nakutkan beliau? Fairus jadi kambing hitam pulak dah?

Paksu Wil Pemimpin Berjiwa Rakyat Kembali Ke Rahmatullah

AlFatihah - ADUN PAS Manek Urai Kelantan, YB Hj Ismail bin Yaacob @ Paksu Wil 60, telah kembali ke rahmatullah 5.50 pagi ini. Jenazah disembahyangkan di Masjid Kg Manek Urai Lama diimamkan oleh YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan bersama lebih 2000 orang yang hadir. Ribuan rakyat mengiringi jenazah almarhum yang sangat disayangi itu ke kubur yang tidak jauh dari rumahnya.

Almarhum adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan pernah menjadi wakil rakyat kawasan tersebut sejak 1986. Kematian almarhum dianggap satu kehilangan besar bagi kerajaan dan kepimpinan Pas Negeri Kelantan.

Pilihanraya kecil akan diadakan dalam masa 60 hari dari kekosongan kerusi Dun.

P/raya Mac 2008 Allahyarham ADUN PAS Ismail Yaacob 5,746 undi, BN Zulkifli Omar 4,364. Majoriti PAS 1,352. Manik Urai di Parlimen Kuala Krai.


Kita tidak tahu adakah satu tunjuk perasaan atau sekadar pernyataan sikap kecewa bila ada kumpulan yang memakai baju T hitam dan menyalakan lilin. Bagi sesetengah orang, memakai pakaian serba hitam adalah tanda berkabung kerana ada kematian. Hitam tanda gelap gelita dan putus harapan. Warna hitam gelap itu juga menandakan fenomena menakutkan. Namun ada pula yang mewar-warkan bahawa 'black is beutiful'! Lawan hitam ialah putih. Kalau hitam itu menawan, maka bagaimana dengan putih? Kain kafan juga putih adanya.

Nyalaan lilin pula bagi sesetengah orang ialah bagi mengharapkan cahaya terang terutama setelah berlaku 'black-out'. Selain itu ia menggambarkan suasana pemujaan sambil menyatakan sikap dukacita kerana sesuatu sebab.

Tetapi apa yang terjadi mutakhir ini ialah ada pihak tertentu yang alergik dengan pakaian serba hitam dan nyalaan lilin. Beberapa orang pihak parti pembangkang telah ditahan akibat melanggar larangan berbuat demikian. Petang rabu 20 Mei 2009 antaranya mencatat sejarah lagi dengan penahanan 11 orang termasuk dua orang YB dari DAP (boleh baca di sini). Penahanan yang tidak munasabah itu dikatakan mencacatkan demokrasi amalan negara ini.

"Hanya kerana mereka memakai baju hitam dan menyalakan lilin serta mengadakan kempen mengumpul tandatangan bagi mendesak Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan, mereka ditangkap", kata YB Teresa Kok Ahli Parlimen Seputeh.

Kenapa pihak tertentu itu takut sangat dengan warna hitam dan nyalaan lilin? Adakah keadaan itu benar-benar menggambarkan demokrasi makin lumpuh? Kalau sudah menjadi alahan kepada pihak tertentu, wajarkah fenomena ini terus mengusik mereka? (baca lagi...)



Cepat sungguh Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Rasuah (GERAK) bergerak bila timbul isu menegatifkan pihak PR. Isu politik wang atau sogokan yang dilaporkan media entah apa2 telah amat menyinggungkan GERAK pimpinan Mohd Nazree Mohd Yunus. Kelihatan semacam melangkaui tugas2 SPRM. Padahal tidak ada pun ' politik wang ' yang berlaku, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Dato' Mustafa Ali. Jelas beliau, ada pihak tertentu sengaja mencari isu buat memecah-belahkan perpaduan parti Pas.

Di Alor Setar, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, adalah sesuatu yang malang sekiranya berlaku amalan rasuah di kalangan perwakilan Pas menjelang pemilihan parti nanti.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah bagaimanapun yakin gejala itu tidak berlaku dan mahu dakwaan terbabit dibuktikan, jika benar ada individu memberikan rasuah kepada perwakilan.


"Saya tidak tahu mengenai perkara ini dan orang boleh kata macam-macam namun kita tak boleh tuduh sahaja. "Buktikan siapa, bila dan di mana perkara tersebut berlaku," ujar beliau.


Media perdana memang sengaja mahu mewar-warkan fenomena begini jika wujud dalam PAS, mereka sudah tentu akan mengheret isu ini sebagai bahan letupan menentang parti Islam yang sangat dimusuhi itu. Padahal penyakit rasuah @ politik wang adalah sahihnya amalan Umno sebagaimana yang sering terjadi bila berlaku apa jua pemilihan baik pilihan raya mahupun pemilihan pemimpin dalam Umno sendiri. Sejarah sudah mencatatkan 'peristiwa' pemecatan, pergantungan dan pemucatan muka kalangan pemimpin mereka akibat amalan politik wang itu.


Setara mana kuasa GERAK dapat menyergah pelanggan politik wang dalam Umno? Tidak nampakpun hasil yang positif, melainkan kelihatan bias GERAK sendiri dalam tindakannya. Apatah lagi Sdr Ezam Mohd Noor, mantan Pengerusi GERAK telahpun bersila setia di dalam rumah besar Umno. Dan kita lihat orang muda penggerak GERAK kini, sdr Muhammad Nazree pun lebih rajin berdehem kepada Pas dan PKR berbanding pandangan sinis beliau terhadap Umno.


Antara isu yang selalu dihangatkan oleh Umno-BN yang berkaitan dengan Pas ialah isu kerjasama, perpaduan @ 'unity government', muzakarah (saling berbincang) dan muqabalah (saling bertemu)!. Sesudah menerima nasib mengecewakan dari PRU12 Umno-BN sangat memerlukan kekuatan baru. Tamparan hebat dari lima kali PRK, pihak Pakatan Rakyat tetap menang bergaya mengakibatkan Umno-BN mencari-cari dahan buat bergantung hayat.

Peralihan kuasa dan pertukaran / penjenamaan semula pemimpin-pemimpin mereka masih belum tersuntik kuasa baru. Mereka kelihatan sangat mengharapkan luang-luang untuk mereka lemahkan lawan sambil mengasah batu api melaga-lagakan pihak PR. Usaha mereka rasakan berhasil dengan konflik yang berlaku di negeri Perak. Kerajaan Perak pasca PRU12 adalah milik Pakatan Rakyat telah diikhtiar dan digodeh sehingga berlaku 'perkara ajaib' di dunia; satu-satunya negeri yang mempunyai 2 Menteri Besar dan 2 Speaker Dewan Undangan Negeri!

Belum tamat molek isu-isu panas itu dihangat semula isu 'government unity' kononnya cadangan presiden Pas TGHH yang tidak direstu ahli-ahli malah Mursyidul-'Am TGNA. Media massa mereka juga menggegerkan isu tulisan Nik Abduh Nik Abd Aziz putera TGNA merangkap Timbalan Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan di dalam blognya; di samping menghebohkan banyak lagi isu kononnya ada 'clashed' dalam Pas. Mereka juga menghangatkan kononnya ada perselisihan di antara pro-ulama dan pro-profesional dalam kepimpinan Pas. Isu itu dah 'stop'.

Kenyataan Mursyidul-'Am Pas TG Nik Abd Aziz mutakhir memberi kelegaan bukan sedikit buat ahli-ahli Pas yang mudah tersinggung dengan 'lagaan' media pro-Umno dan musuh-musuh jemaah Pas. Kenyataan dan ucapan pemimpin-pemimpin Pas sering disalah-ertikan dan sengaja diputar-belitkan buat menghingar iklim baik jemaah Pas.

Mendapatkan kemenangan dari kelemahan dan perpecahan musuh adalah salah satu method dalam perjungan. Barangkali itulah yang sangat-sangat diharapkan oleh Umno-BN. Mereka sengaja mencari lubang. Mereka sengaja mengasah tanduk buat menyondol apa saja demi menyusahkan orang lain.

Namun peluang mereka kini agak kesasar bila Mursyidul-'Am TGNA memberi kenyataan yang menjadi pukulan separuh mati kepada rancangan mereka. TGNA menyelamatkan ragu-ragu dan penyakit was-was di kalangan ahli tentang kepimpinan ulama atau kepimpinan profesional. Kita mahu ulama yang profesional atau profesional yang ulama. Terima kasih Tok Guru !!!