Alhamdulillah. Kita berada di awal Muharram tahun 1430H. Moga kita diampuni Allah, dirahmati dan dilindungiNya seumur. Insya Allah. Fakta persoalannya:

1. Berapa ramai kalangan kita yang memahami 'hijrah' sebenar bahawa ia bukan semata satu perpindahan tubuh badan Rasulullah s.a.w.
2. Tahukah kita hijrah itu dari keadaan apa ke keadaan bagaimana.
3. Apakah sekadar mengingati dan merayakan, sedangkan generasi umat Islam masih juga tidak berubah ke tahap lebih bertaqwa dan diredhai.
4. Nabi Muhammad s.a.w diutus untuk mendidik / memuliakan akhlak manusia selaku khalifah Allah pemegang amanah memakmurkan bumi serta selaku hamba Allah yang patuh kepadaNya.
5. Mengapa Nabi Muhammad s.a.w tidak kembali tinggal di Makkah, kota kelahiran baginda. Baginda menetap di kota Madinah dan datang ke Makkah selepas itu hanya buat menunaikan fardhu haji dan kembali semula sehingga wafat di Madinah.
6. Mengapa kesemua ciri-ciri kehidupan Islam yang sempurna itu kukuh di Madinah sehingga menjadi contoh terunggul Negara Islam.
7. Mengapa kita sering memisahkan politik dengan Islam; padahal Nabi s.a.w adalah Penganjur Agama Islam merangkap pemimpin politik Negara Islam Madinah yang paling sempurna.

Tujuh fakta dan persoalan ini mengajak kita berfikir sambil mengenang susah sukar baginda Rasulullah s.a.w dan Saydina Abu Bakar As-Siddiq r.a di perjalanan menuju kota 'bercahaya/hidayah' dari kota 'bermasyarakat syirik /jahiliyah' ketika itu. Sejak peristiwa hijrah dalam tahun 622M itu bermulalah tahun 1 Hijriah dan kedua kota tersebut menjadi kota suci 'haramaian' bagi umat Islam hingga kini dan selamanya.


mula terhimpun

tanah semenanjung ini

dari benih duri

gejolak dendam panas atas angin

rembatan laut tengah

mengilir sejarah

berakar tumbuh

menepis debu gurun

sambungan puaka

laut mati di utara


regim haiwan

menyembur racun iri khianat

merajalela rosak berleluasa

para peribumi bersuaka

di perbatasan mengumpul

nafas pada deret sengsara

sesekali terhidu hanyir bunga kubur

dihembus rahang kebencian,

tanpa mempeduli

kalimat makmur

atau detik tenang


menyifatkan sosok tanahair ini

ada keruh berlangsung lama.

berkeladak

di daerah kelahiran

ke ruang sementara

mereka lebih suka berduka

merangkul bayang

ditinggal mentari cukup hitam

memanjang

cukup ngeri


gaza,

kaudengarkah vokal simpati

pita nadi kami

berdenyut tanpa bakti

rentet duka itu amat tenar

mengheret usiamu

jendela jauh ini

cuma upaya menangkap lagu

liriknya berbaris berjutaan keluh

menarikh hari-hari luka dan aduh!


Ramadhan 1, 1418

Mastika, Ogos 1989


Kawasan Parlimen P36 Kuala Terengganu akan jadi medan tempur ceramah parti politik seperti medan jual ubat tepi jalan.Masing-masing penceramah akan menyampaikan suara, isi dan berbagai gaya penyampaian bagi memperkatakan kelebihan, menarik minat dan sokongan para pendengar. Berbagai penawar, ubatan dan cara rawatan dilaungkan bagi meyakinkan audien mereka.

Begitulah kini penceramah politik akan bertegang minda dan suara mengajak para pengundi supaya memberi undi memenangkan calon-calon mereka. Pastinya pihak BN/UMNO akan lebih bersungguh untuk mempertahankan kerusi parlimen miliknya itu sebelum ini. Malu dan gerah besar jika calonnya YB Senator Datuk Wan Farid Timbalan Menteri Dalam Negeri itu tersungkur masuk parit. Lagipun fenomena dalaman BN dan dalam 'cawan 'UMNO masih 'ribut ' hingga pertengahan Mac tahun depan maka ditakuti sangat-sangat akan berlaku terlebih dahulu peralihan kuasa Januari 2009M di P36 Kuala Terengganu kepada pihak lain.

Selain kemenangan ini akan menjadi hadiah tahun baru hijrah kepada presidennya TG Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang selaku orang Terengganu, pihak Parti Islam Se Malaysia (PAS) juga akan menggandakan usaha untuk mendapat kedudukan pada kerusi P36 Kuala Taerengganu itu atas tiga faktor utama:

1. Pas/ pihak pembangkang pernah memiliki kerusi parlimen P36 ini.
2. PAS sudahpun memenangi 3 dari 4 keusi DUN kawasan ini dalam PRU12.
3. Naib Presiden PAS, Hj. Mohamad Sabu kalah tipis kepada almarhum YB dari BN di PRU12 dulu.
Tentu PAS amat mengharap pas/lulus/menang dan memajoritikan undi berpihak kepadanya.

Calon2 lain sama ada dari AKIM,Bebas Nek Maimun atau Bebas pedagang sekerap getah dari Rantau Panjang Kelantan hanya gelenyar, kacau daun, cari glamer, berudang sebalik batu atau cari 'duit lebih' saja.Namun mestinya PRKecil P36 adalah pembuka pentas bagi drama 'ribut awal tahun' bagi panggung politik Malaysia 2009M. Akan tibakah anak tsunami menggegar pelabuhan dan pantai BN/UMNO yang masih belum kebah dari tsunami PRU12 mac lalu? Ataukah akan bercahaya terang kembali 'bulan' di Pantai Batu Buruk?

Para pengundi di sana nanti akan dibodek, akan disogok/digosok, akan dipujuk-puji, dirapati malah akan dicari walau di rumah-rumah usang segenap lorong bandar atau luar bandar itu. Sumbangan material, pitis dan rawatan akan disalurkan ke segenap bucu @ ruang. Tidak mustahil pak-pak menteri, orang-orang besar, para pemimpin, para penceramah upahan akan bergeliwa' turun padang bersama rakyat tempatan. Suasana hangat akan jadi seperti akan menyambut hari raya, patutlah kita panggil ianya pilihanraya!

Akan kelihatan juga para wartawan, peminat-peminat dan para pemerhati politik amatur /profesional akan juga memberi tumpuan hebat sambil menonton, menganalisis dan mencongak fenomena iklim di Kuala terengganu mutakhir ini. Harapan kita tidak akan ada pihak yang menjadi ' Para Samseng Kampung Dusun' yang akan merosakkan 'tayar' PRK P36 ini.

Di kawasan ini tiada pihak barangkali menjanjikan pembangunan kerana P36 adalah kawasan bandar Bandaraya Kuala Terengganu 'Islam Hadhari Terengganu Bestari' yang sediakala kaya dan membangun. Isu-isu yang akan digodeh mungkin sedikit berbeza. Setakat ini, isu hudud, isu perpaduan dan isu pembahagian wang royalti beratus-ratus juta yang akan dileburkan kepada rakyat negeri serta orang-orang Kuala Terengganu mula didendangkan oleh pihak media tentunya milik BN/UMNO.

Sudah tentu pihak yang kaya pitis akan mencanang projek mega-maggienya sambil mencerna keburukan ke atas parti lawan. Manakala pihak memperjuangkan Islam akan mewar-warkan konsep kebajikannya sambil menjanjikan kebaikan Islam, keadilan dan agenda membenteras kebejatan pimpinan/pemerintahan kerajaan pusat sekarang.

Pihak Akim dan calon-calon bebas jangan susah hati, anda buatlah menurut kebebasan yang anda fahami.BN/UMNO tidak, Pas pun bukan. Oleh itu siapa kawan anda dan siapa musuh anda kita tidak tahu! Kena langkah baik, kehidupan anda akan berubah jadi kaya mendadak selepas PRKecil P36 ini.Siapa tahu? Sekurang-kurangnya kaya glamer! Orang-orang akan sebut anda sebagai 'mantan bakal YB'.

Orang-orang lain di luar kotak PRK Kuala Terengganu tunggu dan lihat. Anda buatlah spekulasi dan ramalan sendiri asalkan logik dan berpatutan. Tidak salah begitu asalkan jangan menyebarkan fitnah. Semua orang tahu bahawa fitnah itu lebih dahsyat dari pembunuhan. Jangan juga mudah percaya dengan fitnah. Tepuklah dada tanya iman dan kewarasan. 'Cctv' dari langit sentiasa fokus ke arah siapa saja di muka bumi ini. Berwaspada dan ingatlah Allah seumur!

December 26, 2008 8:32 PM

Setelah dirinya dituakan oleh usia
dan diuzurkan pula oleh penyakit
lelaki itu seringkali berpindah
dari rumah derita ke hospital sengsara

Semasa terlantar di rumah
dia disuapkan kasih sayang
oleh isterinya yang sabar,
semasa terlantar di hospital
dia disuntik ubat dan rawatan kemanusiaan
oleh jururawat dan doktor pakar

Sudah bertahun-tahun
tubuhnya lumpuh, hatinya luluh
sudah bertahun-tahun
dia menyimpan impian untuk sembuh

Pada suatu subuh
sedang azan dikumandangkan oleh mu'azin
tercabutlah nyawa dan roh
dari jasad lelaki itu
maka berakhirlah penderitaannya di dunia
yang pernah dialami bersama
oleh isterinya, jururawat dan doktor

Kesabaran isterinya teruji lagi oleh kematian
sementara kepakaran jururawat dan doktor
telah dibataskan oleh kekuasaan Allah.

WADI LETA S.A
Kota Bharu, Kelantan.
Utusan Zaman 25 Jun 2000.

TPM: sajak ini mengetuk minda kita. ia membariskan ayat-ayat peri seorang tua menderita sakit yang lama hingga menemui ajalnya. setiap diri akan mengecapi maut. boleh gambarkan lelaki uzur itu adalah kita? sungguh hari tua dan maut adalah ketentuan /qadar yang pasti menggiliri setiap diri. tiada siapa upaya lari. mahu tidak mahu ia akan datang memilih kita!

kadang-kadang terfikir: jikalah kita sedang keuzuran atau menanggung sakit, terbaring lama tanpa anak cucu sudi jenguk menziarah; adakah silap kita sendiri dulu-dulunya kita juga tidak menziarahi datuk atau nenek kita yang sedang terbaring uzur? adakah kita biasa atau pernah menziarahi orang sakit baik saudara mara, jiran maupun sahabat handai?

adakah kita lebih mementingkan kerja-kerja mencari rezeki, patuh akan tanggungjawab pejabat atau sayangkan hari-hari cuti daripada menuruti kewajipan / sunnah menziarah orang sakit. apatah lagi orang yang terlantar itu ayah bonda / datuk nenek sendiri? berbaloikah pendapatan banyak yang kita perolehi dan berasa bahagia sedangkan kita tidak @ gagal melaksanakan tuntutan wajib atau sunnah melunaskan tanggungjawab syariat dan sosial Islam?

kita tahu fadhilat melawat saudara-saudara kita yang meninggal dunia atau terlantar sakit namun kita lupa mengamalkannya. baginda Rasulullah yang kita imani kerap menggesa umat agar melaksanakan tanggungjawab sosial ini. hablumminallah wa hablumminannaas. baginda junjungan s.a.w meminta kita mendoakan kebaikan untuk saudara kita itu malah menyuruh kita mengiringi jenazahnya ke kuburan bila berlaku kematian. adakah persoalan-persoalan sebegini sering mengetuk kotak fikiran kita?

wajar kita tahu bahawa selain rawatan dari doktor dan ubatan, kunjungan dari pelawat juga adalah penawar baik buat pesakit, apatah jika pelawat membawa muka manis, sapaan mesra dan doa syifa'nya untuk membantu agar pesakit punya semangat hayat yang kuat serta segera sembuh.


bunyi tone SMS jam 7.45 malam masuk ke telefon genggamku. aku lengahkan sedikit masa untuk membacanya demi menghabiskan sedikit lagi wirid selepas solat maghrib. kemudian telefon rumah berbunyi. diangkat oleh isteriku terdengar beliau bercakap agak cemas. dia menyatakan dik norina beritahu ayah kami sedang ketenatan, tidak mahu berkata-kata dan nafasnya tidak seperti biasa. segera kuambil HPku, benar ada pesanan ringkas mencatat ' ayah nampak sangat letih". ringkas tapi segera kufahami maksudnya.
kami sekeluarga bergegas ke rumah ayah. kulihat ayah terbaring lemah. lantas kuucap salam dan memberitahu akan kedatangan kami. ayah membuka mata. sempit saja, namun aku tahu dia sedar dan menjawab akan sapaanku. amat perlahan. ku bisik kependengarannya agar jangan lupa Allah. dia mengangguk sekali dua. terusku talqinkan 'laa ilahaillallah'. lidah beliau bergerak-gerak tanda mengikut sebutanku. syukur. kemudian kami dengar dia mengucap 'ya Allah' beberapa kali. dengar tak dengar mulutnya semacam menyebut kalimah jalalah itu.
kumohon untuk membaca al-quran daripadanya. dia mengangguk bersetuju. aku, dah, siti, ahmad, adli, hilmi dan adik na membaca bersama surah yaasin. ayah kelihatan semacam mengikuti bacaan kami. mulutnya bergerak-gerak. alhamdulillah.
mak long rafeah, kak dah dan abang him, azimah dan asri juga tiba menziarah ayah. shukri suami dik norina bergegas ke klinik dr azhar kubang kerian untuk mohon datang segera merawat ayah. adikku mohd dani di KL pesan agar berbuat demikian. sepulangannya, shukri memberitahu dr azhar akan datang esok. tak apalah, kami terus mengharapkan kebaikan buat ayah. insya Allah. selepas itu ma memberi ayah minum dan sedikit telur separuh masak. mujur nampaknya ayah dapat menelan makanan itu walau sedikit.
kami sekeluarga pulang ke rumah jam 11.00 lebih bila melihat keadaan ayah yang agak reda dan lebih baik dari tadi. ayah dapat tenang dan tidur. kami pulang membawa harapan dan doa agar ayah dikurniakan kebaikan apa jua oleh Allah menurut iradat dan qudratNya jua. moga ayah kami diampuni dan dirahmati Allah sentiasa.



Sudah pasti akibat marah, dendam dan benci maka 4 replika babi kertas dibakar di Masjid Tanah, Melaka sebagai memprotes kerja pihak tidak bertanggungjawab yang menggantung kepala babi di depan kain rentang Majlis Permuafakan Ummah (Pewaris).


Pewaris mengadakan majlis membakar replika babi itu direstui dan diketuai oleh SU Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman. Kira-kira 800 orang menyertai majlis 'tunjuk perasaan' itu.


Mereka juga mengugut jika isu itu tidak diselesaikan, mereka akan membawa satu replika babi ke perhimpunan Umno Mac depan; dan mahukan pimpinan PKR dan PAS berusaha menghapuskan ternakan babi di kawasan tersebut Mereka telah memberi taklimat kepada penduduk di situ tentang isu berkenaan serta menyerahkan nota kepada Ketua Umno bahagian Masjid Tanah meminta kerajaan menutup ladang-ladang babi itu.


Rabu lalu, penduduk di situ menemui bangkai kepala babi hutan digantung pada kain rentang berhampiran bulatan Tanjung Bidara-Kuala Sungai Baru, Alor Gajah. Penggantungan kepala babi itu merupakan insiden ketiga.


Pada 18 Oktober lalu, peniaga dan pengunjung menemui bangkai kepala babi di tepian Pantai Pengkalan Balak. Pada 13 November pula, kepala babi didapati tergantung pada pintu pagar rumah seorang AJK Umno bahagian Masjid Tanah.


Berikutan itu, Ketua Menteri pula telah menyerahkan isu panas itu kepada seorang Exconya dari MCA agar menyesaikannya dengan baik. Kita tuggu dan lihat keberkesanannya.


Persoalannya mengapa ketiga-tiga insiden itu berlaku di Melaka sahaja? Siapa pihak pelampau yang melakukan kerja yang sensitif itu? Adakah pihak tersebut marahkan orang-orang Islam di Masjid Tanah, ingin menguji UMNO di kawasan itu atau mahu menguji KM Melaka Dato' Seri Mohd Ali Rustam?


Beberapa tahun lalu, isu ladang khinzir di Bukit Pelanduk, Selangor geger sehingga jenama 'khinzir' disebut semula nama asal sebutan bahasa Melayunya 'babi'. Bertambah geger bila kerajaan PR Selangor dan kerajaan negeri Kedah mahu membuka ladang hewan tersebut secara sistematik / terkawal.


Isu ini hangat dipolitikkan oleh pihak UMNO. Namun belum reda hal yang berlaku di Selangor dan Kedah, alih-alih isu kepala babi muncul di Melaka, negeri tadbiran bakal calon Timbalan Presiden UMNO itu. Kenapa ya?


SEPATUTNYA TURUN 48 SEN DAN HARGA MINYAK RM1.42 SAHAJA- GUAN ENG.

Oleh- Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - Harga petrol sepatutnya diturunkan 48 sen kepada RM1.42 dan bukan diturunkan 10 sen sahaja, seperti yang dilakukan oleh kerajaan semalam, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut beliau, keputusan kerajaan menurunkan harga petrol sebanyak 10 sen kepada RM1.80 mulai semalam tidak menunjukkan harga pasaran sebenar, di mana harga pasaran minyak mentah dunia semasa berlegar sekitar RM157 satu tong (US$45). Keputusan itu juga, katanya, tidak memberi kesan besar kepada peningkatan pendapatan orang ramai.

"Pada 2005, harga minyak mentah dunia berada sekitar RM164 setong (US$47) dan harga petrol di Malaysia adalah RM1.42 seliter. Jadi perkiraan yang sama perlu diguna pakai dalam menentukan harga semasa petrol di negara ini," kata Guan Eng.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya semalam, beliau juga meminta kerajaan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya menurunkan tarif elektrik berikutan harga bahan api yang semakin menurun sejak kebelakangan ini.

"Harga petrol sudah diturunkan beberapa kali sehingga RM1.80 tetapi tarif elektrik masih kekal seolah-olah harga petrol masih RM2.60 seliter," katanya. Menurutnya, TNB menggunakan 60 peratus gas dan 40 peratus arang batu untuk menjana elektrik untuk keperluan pengguna.

"Harga gas menurun sedikit tetapi arang batu menurun lebih 50 peratus. Jadi TNB tidak mempunyai apa-apa lagi alasan untuk tidak menurunkan tarif elektrik," kata Guan Eng. Beliau berkata, jika TNB mampu membayar RM4 bilion setahun kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) untuk tenaga yang tidak digunakannya, ia juga harus mampu menurunkan tarif elektrik kerana ia digunakan oleh keseluruhan rakyat negara ini. Sumber: Harakah Daily Net 18 Disember 2008.

TPM: Sebagai salah satu negara pengeluar minyak, wajarnya kita dapat membeli bahan api itu dengan harga lebih murah dari harga terkini, walaupun baru 2 hari lepas harga minyak diturunkan seciput lagi, seposen. Macam orang banyak, kita juga mengharapkan harga barangan akan turun di pasaran.

Betul kata KM Pulau Pinang tu, patut benar kerajaan menyuruh TNB menurunkan tarif elektrik yang digunakan oleh semua rakyat tu. Kenapa ianya masih kekal semahal sewaktu harga minyak RM2.60 seliter dulu, lagipun harga arang batu di pasarannya juga telah jatuh murah! Keprihatinan dan kerjasama semua pihak mengurangkan beban rakyat marhein sangat-sangat diperlukan.S.O.S.

HARGA PETROL, DIESEL TURUN 10 SEN LAGI.
Malaysiakini..Dec 15, 08 5:34pm

Harga minyak petrol dan diesel masing-masing turun 10 sen seliter berkuatkuasa mulai tengah malam ini. Berikutan itu, harga petrol RON97 dikurangkan dari RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter dan harga petrol RON92 pula dikurangkan dari RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.
Manakala diesel dikurangkan daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.
Penurunan harga minyak bagi kali ketujuh sejak Ogos lalu itu, diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Dalam satu kenyataan, Abdullah berkata, penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter itu adalah sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.
Berkuatkuasa tarikh yang sama juga, tambahnya, harga petrol dan diesel bersubsidi bagi nelayan diturunkan 13 sen seliter - dari RM1.43 seliter kepada RM1.30 seliter - sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini.

TPM: Inilah kali ke 7 harga minyak diisytihar turun sejakbulan kemerdekaan empat bulan lepas. Terima kasih daun keladi. Kalau boleh nak rendahkan lagi.Walaupun penurunan agak ciput-ciput namun mengurangkan sedikit beban para pengguna kenderaan bermotor terutama mereka yang berulang-alik ke tempat kerja atau mencari rezeki. Mereka yang ke tempat kerja melebihi jarak 20km ulang-alik setiap hari atau para penjaja bermotor akan berasa sedikit lega. Harga tiket tol macam mana?

Bagaimana pula dengan harga barangan keperluan harian, barangan dapur contohnya setakat ini masih belum turun secara umum. Peniaga-peniaga tidak makan pujuk dalam bab ini! Masih mahal. Beras, ikan, sayuran dan sebagainya masih ditakuk dulu malah makin tinggi harganya. Tarif elektrik macam mana pulak? Memang kesemua tu ada kaitan dengan kenaikan harga minyak mendadak baru-baru ini. Harga minyak turun, harga barangan tak turun-turun.

Harga makanan dan minuman di restoran @ kedai-kedai makan? Semuanya perlu dipantau oleh pihak berkuasa dan para pengguna. Adakah penjual-penjual atau kedai-kedai yang menjual mahal itu perlu dipulau dahulu baru hendak mengubahkan harga barangan mereka? Anda boleh mengubahnya.

PUISI HUJUNG TAHUN


menghala kudrat dari usia sementara. dalam soal
ada kepenatan bersembunyi dan mencari
manusia kerdil mengharung maya!

kita songsong debur gelombang meninggalkan
bangsal lahir ke ruang luas mengembang fikir,
mengutip bijaksana diapung segara
syurga di ujung mata

lingkung penjara kedua ini bermula hukum
memintas baligh. ada goda sejuta. ada duga semata

pelayaran dari laut selatan. mati angin kita kayuh jua
ke utara. di sana tetap setia singgahan penghabisan
bekalan terbaik itu kita pelihara. kita makmurkan
kewaspadaan dan pengarapan setulus zikir
kita hulur ke penghadapanNya.


Zulihijjah 17.


SAJAK MATA RANTAI



kelam dingin
kedengaran pintu diketuk
terduga kau
sedang tiba membawa hari esok
membuka mata
tetapi merantai kemas indera
bersedaging
antara lamunan dan serba rasa
kita berborak
dalam beberapa waktu lamanya
kita bersorak
mengepung was-ragu semaunya
langsung kita
terlupa merapat gagang pintu
angin tajam
menerobos bagai irisan sembilu
mengupas semangat
sebelum tercerna harapan
kisah lama lampau
terungkit tanpa saringan
kau pula asyik
mematai kekhilafan di luar
sasau dirimu
perlu diusir ke lain ruang
biarkan
bercengkerang di lingkungan sifar
di batas terkurung
mengkaji erti kecundang
kita berbahagi
kita terima tiap bahagian
kita bergilir
kita lalui tiap baris giliran
mata rantai
pasti menghubung lunas dan gerak
asal segala
tidak dirisau nafsu atau tindak
mentah-mentah
kita tolak pintu sangkaan itu
kamar damai
segera pasangkan lelangit baru.


darul-naim,


Pilihan Raya Kecil bagi kerusi P36 Kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan berlangsung pada 17 Januari ini. Tahun depan. Lebih kurang sebulan lagi dari tarikh hari ini. Hampir 10 bulan lalu, para pengundi kawasan tersebut telah memberi mandat kepada wakil BN Datuk Razali Ismail (almarhum) yang memperolehi majoriti 628 mengatasi calon PAS Hj Mohamad Sabu. Pada tarikh tengah bulan satu nanti sudah pasti akan bertanding semula calon-calon dua parti BN dan PAS ekoran kematian Datuk Razali Ismail di IAB Genting Highland baru-baru ini.

Bagaimana agaknya kedudukan dan keadaan kedua-dua parti bertentangan itu kini? Kita rasa walaupun BN akan pertahankan segenap upaya dan sehabis harta, situasi dirasai bertimbang 50-50. BN akan bermatian mempertahan maruah dan kekuatannya sebab P36 KT itu adalah sedia hak miliknya; walaupun jika mengikut jumlah undi PAS 3per4 DUN di Parlimen K Trg itu telah memihak kepada PAS.

Dahulu apa yang berlaku, Hj Mohamad Sabu tewas kepada Datuk Razali (almarhum) dengan majoriti kecil sebanyak 628 pangkah. Bagaimana hal sedemikian terjadi? Adakah PAS lemah di Kuala Terenganu? Keputusan di DUN-DUN ternyata menolak kenyataan ini.

Apakah calon yang PAS kemukakan lemah dan tidak dikenali? Hampir mustahil Hj Mohamad Sabu Naib Presiden PAS itu tidak dikenali. Beliau terkenal sebagai pemimpin PAS yang berwibawa, lantang dan berani.

Tetapi kenapa para pengundi memilih calon PAS di kerusi DUN sebaliknya memilih calon UMNO untuk kerusi parlimen? Adakah kerana kelebihan batang tubuh almarhum Datuk Razali Ismail menjadi pilihan utama atau bersebabkan Hj Mohamad Sabu bukan anak tempatan? Atau adakah berfaktor pengundian pos atau wujudnya para pengundi hantu? Ataupun bersebabkan gangguan daun oleh Nenek Maimun, calon bebas paling popular PRU12 itu?

Menurut kajian, khalayak pengundi di Negeri Terengganu Darulaman tidak sama dengan pengundi di Negeri Kelantan Darulnaim. Selain kewibawaan calon yang dilihat, mereka juga mahu calon-calon mereka mestilah warga tempatan yang mudah ditemui dan dapat memberi sumbangan segera. Inilah pilihan mereka dan sedia memberi suara majoriti.


PAS pernah mencalonkan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden di Parlimen Besut dalam PRU suatu waktu dulu. Di saat PAS menang besar di Terengganu, namun Ustaz Nasyaruddin tewas di kerusi parlimen Besut. Pada PRU12 8 Mac lalu Timbalan Presiden PAS itu dipertaruhkan di kerusi parlimen Bachok, Kelantan; didapati beliau menang besar mengalahkan Datuk Awang Adik mantan bakal MB Kelantan.

Berasaskan keputusan markah PRU12 lalu, sang pungguk di Kuala Terengganu ternampak gayanya tetap rindukan 'bulan'. Bulan berlatar hijau itu akan mengambang semula menghala cahayanya ke P36. Sang bulan akan merendah mencabar sang dacing lama yang sedia menanti setelah terbuka peluang. Apakah akan menjadi realiti bahawa pungguk tidak bertepuk sebelah dan bulan akan menakluki kawasan itu dengan cahayanya? Ya, bolehkah bulan jatuh ke riba nanti dan dacing akan kempunan tidak ada bahan lagi buat menimbang?

Walaupun hukuman menang kalah pada masa depan belum diketahui, percaturan strategi perlu diambil kira. Semua pihak penyokong bulan mestilah menghormati keputusan yang bakal ditentukan siapa calon pilihan parti untuk mendaftar nama calon pada 21 Disember ini. Para penyokong tegar sang bulan usahlah rajin membuat sebarang spekulasi dengan pandangan peribadi siapa-siapakah bakal menjadi panglima yang akan diketengahkan.

Di sana ada pemimpin-pemimpin yang pastinya lebih arif dan maklum, melalui majlis syuranya akan membuat pilihan siapa yang bakal /layak mengisi kerusi dewan parlimen dari PAS nanti. Calon itulah juga nanti akan upaya bersuara menyampaikan hasrat rakyat dan jemaah Islam. Oleh kerana kita memahami konsep berjemaah, maka tunjuklah contoh baik, adab syura dan pemesyuaratan Islam; selanjutnya terimalah keputusan dari pihak atasan itu dengan lapang dan dan penuh harapan sedia patuh merapatkan saf untuk menggapai kemenangan.



Assalamualaikum,

Kepada semua sahabat yang membaca blog ini yang belum Islam, saya menyeru tuan-puan supaya memeluk Islam. Untuk memeluk Islam senang sahaja. Tuan-puan isytihar dengan menyebut:
لا إله إلا الله
Transliterasi: La ila ha illal lah
Terjemahan: Tiada tuhan melainkan Allah

محمد رسول الله
Transliterasi: Muhammadur Rasullullah
Terjemahan: Muhammad itu pesuruh Allah
Untuk menjadikan ia lebih formal, sedikit penambahan diletakkan di awal perkataan tersebut:
أشهد أن لا إله إلا الله
Transliterasi: Asyhadu al la ila ha illallah
Terjemahan: Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah

أشهد أن محمد رسول الله
Transliterasi: Asyhadu anna Muhammadur rasulullah
Terjemahan: Aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah
Apabila anda menyebut kalimat-kalimat tersebut dengan penuh kesedaran dan dengan penuh rela, anda telah memeluk Islam.
Apa yang saya janjikan kepada tuan-tuan?
Saya tidak menjanjikan apa apa kepada tuan puan, Tetapi Allah menjanjikan syurga kepada tuan-puan.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.(al-Quran: Surah al-Bayyinat:7)

Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah ridha terhadap mereka dan mereka pun ridha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang-orang yang takut kepada Tuhannya.(al-Quran: Surah al-Bayyinat: 98:8)

Mudah-mudahan posting ini jatuh ke sanubari tuan-puan dan dapat hidayah dari Allah.





Diucapkan Salam 'Eiduladha Minal'aidiin Walfaiziin Taqabballahu Minna Waminkum.
10 Zulhijjah 1429H bersamaan 8 Disember 2008

hari raya haji aidiladha 2007Saya ucapkan selamat menyambut Hari Raya 'Eiduladha kepada para sahabat handai, saudara mara dan kenalan di mana jua anda berada. Moga kita semua dirahmati Allah. Moga para hujjaj di Tanah Suci akan beroleh kesejahteraan dan haji yang mabrur. Semoga korban kita diredai Allah.


demokrasi: terkemaluan

manusia zaman batu ternyata lebih pakai otak bila berusaha menutup bahagian bawah pusat masing-masing supaya tidak `terkemaluan' daripada sekumpulan manusia peserta demontrasi berbogel (alangkah seronoknya jika mereka turut bermasturbasi beramai-ramai depan kaum keluarga masing-masing), hanya kerana sewa kediaman dinaikkan? apa taraf otak kumpulan manusia ini? di bawah taraf otak manusia zaman batu atau di bawah taraf (ulang: di bawah taraf) otak haiwan berkaki empat? kenapa tidak berdemontrasi gantung diri atau berdemontrasi terjun bangunan semasa harga barang keperluan harian naik? takut mati?


Semalam seorang sahabat telah menghantar e-mail kepada saya bertanyakan pandangan tentang 'Pena Mufti' yang terakhir buah tangan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Maza) mantan Mufti Negeri Perlis. Tulisan Dr Maza itu termuat di halaman khususnya dalam akhbar Mingguan Malaysia Ahad 30.11.2008. Katanya itulah buah tangan beliau yang penghabisan ketika masih berada di kerusi pejabat Mufti Negeri Indera Kayangan itu sejak 2 tahun sebulan itu.

Sahabat itu juga telah memforwardkan sedikit pandangan rakannya (seorang pemegang Ph.D) di sebuah kementerian mengenai Dr Maza peribadi dan hasil karyanya. Katanya:

Assalamualaikum. Artikel yang menarik dan sangat sesuai untuk difikirkan bersama. Saya sudah lama mengikuti perkembangan mufti dari Perlis ini sejak beliau dilantik lagi. Beliau cuba membawa pembaharuan dalam minda umat Islam di negara kita. Tetapi memang benar kata beliau bahawa bukan mudah untuk mengubah minda manusia. Kita sudah maju dan mampu menghasilkan pelbagai inovasi dalam pelbagai bidang. Dalam bidang agama, kita masih belum keluar daripada paradigma lama. Kita perlu lebih banyak menelaah dan membaca agar boleh berfikir secara rasional dan membuat justifikasi berdasarkan dalil akli dan nakli.

Banyak tulisan Ustaz Asri telah dipertikaikan tanpa dirujuk dan dibaca dengan sempurnanya. Kita tidak memberi ruang yang sewajarnya yang berfikir adakah yang dikatakan itu benar atau tidak? Adakah beliau merujuk sumber-sumber yang betul atau tidak? Apakah seuatu itu bertentangan dengan norma dan sesuatu yang kita lakukan, terus kita katakan itu salah.

Oleh itu, bagi saya apa yang dikemukakan oleh Dr Asri adalah sesuatu yang membuka minda kita dan menjadikan kita lebih kritis serta mendorong kita mendalami agama.Kita hendaklah menggunakan akal yang diberikan ALLAH SWT serta bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai pembimbing kita sepanjang zaman. Sekian.

Siapalah saya untuk mengulas memberi pandangan tentang Dr Maza diri, prinsip dan hasil karya tuan mufti yang terkenal berketarampilan itu. Namun untuk tidak mensia-siakan permintaan sahabat, saya telah mencatat sedikit tanggapan saya melalui e-mail kepada beliau tanda berkongsi pandangan atau ingatan tentang mantan Mufti Negeri Perlis tersebut. Catatan e-mail kepada sahabat saya, itu saya abadikan begini:

Salam.
Tentang ' Minda Mufti' Dr Maza tu saya dah tatap. Begitu juga pandangan rakan Ph.D holder tu.

Hidup ini Allah Taala telah sediakan pro-kontra. Positif-negatif. Pahala-dosa. Syurga-neraka. Namun sunnah juga adalah 'setiap kebenaran akan ditentang'. Tengok dan teliti sirah para rasul. khususnya sirah baginda kesayangan kita Nabi Muhammad SAW. Tatap semula sejarah sahabat, tabiiin, ulama silam dan ulama kini sama ada di Timur Tengah atau Timur Jauh ni. Hatta di Malaysia dan Indonesia. selain ditentang kuffar, bawaan pengajaran para rasul dan mereka yg mengikut rasul-rasul itu yang mukhlisiin akan dihambat diri dan minda mereka.

Tidak aneh dan tidak menghairankan. Setiap kebaikan akan dirusuh dan dimusuhi nafsu mazmumah manusia pada setiap masa serta di mana jua, malah akan disokong oleh kekuncunya termasuk iblis! bukankah iblis telah mengisytiharkan penentangan terhadap ketaatan bani Adam?

Para penjahat itu akan membaham secara nyata atau secara senyap malah sentiasa mahu mewaswaskan hati para pembaik yang tulus memperjuangkan prinsip dan method kebenaranIlahi. Mereka juga mewaswaskan hati para pengikut orang-orang baik atau mahukan kebaikan. Mereka tidak akan angkat tangan mengaku kalah atau berhenti dari memusingkan minda malah kehidupan orang-orang beriman selagi orang-orang beriman semua belum tunduk kepada kejahatan mereka itu.

Mereka juga akan menganjur pelbagai kebaikan dhirar malah memproklamirkan kejahatan amalan mereka itu sebagai muslihiin alias pembaikan juga ( itulah gerakerja munafiquun sebagaimana mafhum firman dalam surah Al-Baqarah: 11-12). Bukankah itu pula kerja-kerja dajjal. Dajjal akan berusaha memutar-belitkan perkara baik menjadi negatif di mata masyarakat. Manakala perkara jahat dan derhaka kepada Allah alias perkara maksiat ditukar menjadi/sebagai kebaikan, bermanfaat, menghiburkan, menguntungkan dalam semua aspek politik, ekonomi, sosial, seni maupun agama. Konon segalanya mahu hadhari.

Selalunya mereka beroleh kemenangan sebab mereka telah sudi membuat apa saja tektik buruk di luar syariat; yang mana pihak para pembaik tidak sudi melakukan tektik-tektik kotor atau luar dari batas-batas kemunasabahan syariat.

Mereka sanggup menggunakan minda, tenaga anggota-tenaga-indera, material dan para pengikut demi mencetus ketakutan kepada orang-orang yang taat kepada hukum agama. Malah golongan pembaik itu akan dipulau, dibenci, disakiti zahir dan batin. Tidak kurang yang terkorban syahid seperti Almarhum Sayyid Qutb, Sayyid Hassan Al-Banna dan lain-lain di Mesir dulu. Para mujaddin begini terdapat juga di Sudan, di India, Indonesia dan Malaysia. Logiknya serupalah kita seorang guru di sekolah pun jika kita amat prihatin dengan disiplin alias undang-undang sekolah; kita akan diseterui oleh pelajar-pelajar. Guru begini tidak popular bahkan dibenci. Bukankah keadaan itu yang dihadapi guru-guru disiplin dan pengetua yang kerap menyebut tentang pembaikan sekolah.

Golongan pembaikan ini akan wujud di mana-mana pun dan akan ditentang pula oleh para penjahat pula. Itulah lumrah dan sunnatullah. Allah Taala sengaja menduga hamba-hambaNya, siapa kalangan mereka yang dapat mengerjakan amalan terbaik! (mafhum firman ayat 2: Surah Al-Mulk).

Mereka para penjahat campur kejahilan mereka itu, tidak akan takut kepada ancaman nas al-Quran dan hadis. Mereka tidak bimbang / takut kepada ancaman hukuman akhirat malah risiko di dunia pun, apatah lagi jika mereka sedang memiliki kuasa politik dan ekonomi. Bukankan kuffar di negara kita bersungguh-sungguh mahu menguasai kedua bidang ini. Jiran, Pattani kita dan Singapura mereka sudah dapat!!

Ya mereka tidak gerun dan bimbang dengan ancaman agama walau sesetengah mereka sendiri berlatar belakang pendidikan tinggi Islam, para agamawan. Kenapa ada ulamaussu' (berilmu agama tapi jahat) atau ulama syaitan akhras (berilmu agama tetapi jadi syaitan bisu)?

Memang penggoda nombor wahid bagi manusia ialah iblis; namun dalam al-Quran ada menjelaskan harta dan pangkat malah hidup ini adalah barangan menggoda, ghurur dan lahwun;sedia menjadi musuh, tipuan dan melalaikan. Dunia ini perhiasan. jJdi siapakah yang tidak mahu akan perkara melekakan, menghibur dan perhiasan-perhiasan indah?

Kenapa dengan Dr Maza, mantan Mufti Negeri Perlis? Beliau okey telah melaksanakan amanah Tuhan setakat keupayaannya. Setakat izin ilmu dan kemahuannya. Setakat masa dan kedudukan yang diberikan kepadanya. Dia telah berjaya hingga sekadar hari terakhirnya di kerusi mufti, namun dia telah meninggalkan nama dan tugasan baik menurut prinsip dipeganginya. Kita tabik hormat kepada Sahibul Fadhilah ( bah. Arab: Tuan Terutama!) Dr Mohd Asri Zainal Abidin. Kita kini berasa rugi dengan penamatan tugas di Pejabat Mufti Negeri Perlis itu? Barangkali tidak. Dr Maza akan mendapat peluang lebih baik selepas ini. Cuma kita akan bimbang / takut penanya dihilangkan dari halaman akhbar perdana itu, mana tahu!

Menjadi ulama, ustaz dan pendakwah memang mencabarkan. Mereka telah ditakdirkan memilih bidang agama, menuntut ilmu Islam! Mengikut hukum, setiap orang yang berilmu (tahu) Islam wajib memberitahu pengetahuannya kepada orang lain. Memberi teguran, ingatan dan halangi kemunkaran. Halangi kemunkaran dengan kudrat; kalau tidak mampu kena ubahkan juga dengan kata-kata. Tegur atau nasihatkan. ' Agama itu nasihat!' Nasihatkan dengan kata-kata atau tulisan. Jika tidak mampu juga wajib kena cegah pula dengan hati! Sangat lemah iman seseorang ulama atau ustazn jika hanya dengan hati (yakni tidak merestui kemunkaran itu). Itulah mafhum tuduhan Rasulullah SAW kepada mereka. mereka tidak mahu dituduh memiliki iman yang sangat lemah.

Ironinya kalaulah mereka tidak menegur, memberi ingatan dan berusaha menghalang kebejatan masyarakat, ertinya mereka telah berdosa kepada Allah. Mereka sangat takutkan dosa melebihi orang-orang lain, sebab mereka faham isi al-Quran segi bahasa, rasa dan syaraknya bahawa azab Allah itu pedih dan benar. Sesungguhnya ulama sejati sangat takutkan / sangat bertaqwa kepada Allah (mafhum firman). Sebaliknya jika menjalankan tugas wajib amanah Allah itu mendepani masyarakat, sudah tentu mereka akan disanggah balik, dikecam, diancam, diISA, dikurung beberapa lama ( saya teringat Pak Hamka, moga Allah merahmatinya), dibesarakan, dipulau, disakiti malah ada yang dibunuh kejam. Mereka dituduh ekstremist alias pelampau agama. Itulah bacaan yang sama dengan kuffar barat terhadap mujaddid Islam. Kini jadilah masyarakat kita di Malaysia juga mengidap penyakit Islamofobia yang kian kronik itu hingga sukar diubati; maka jadilah hukum-hakam dan ajaran Islam berada di kandang orang salah!

Terbaru. Fatwa terkini dari Majlis Fatwa Kebangsaan tentang kegiatan penkid dan senaman Yoga-Hindu masih disanggah dan dikecam. Menjadi kontroversi pula. Beberapa orang ahli majlis adalah bekas prof-prof saya di universiti dulu. Mereka bukan calang-calang individu dari segi ilmu dan akhlak mu'minnya. Namun ditentang juga keputusan fatwa itu dan tidak dilulus-mudahkan oleh kaum Melayu-Islam sendiri. Nasib mereka dan nasib masyarakat kitalah. Maka memang wajarlah keadaan begini menjadi mangkin kepada semakin bertambahnya fenomena fasik, maksiat dan jenayah di negara kita yang dipimpin oleh orang-orang yang jahil. Rasuah dikatakan politik wang jika jadi amalan kumpulan tertentu, zina dikatakan hubungan jenis tanpa nikah, judi dibenarkan, arak menjadi minuman regular dan lain-lain salahguna istilah serta tanggapan terhadap hukum agama.

Masyarakat banyak tidak tahu dan tidak mahu tahu apa yang ada di dalam minda dan perasaan para ulama dan ustaz-ustaz yang ikhlas. Cubalah dinginkan rasa dan waraskan akal menilaikan kriteria dan tugas mereka. Mereka juga punya tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat manusia seperti penjawat-penjawat lain apatah lagi dengan Maha Penciptanya.

Syabas Dr Maza dan para cendikiawan Islam Malaysia yang punya prinsip, tidak mengejar status dan fulus. Anda semua adalah para ulama yang menghabiskan masa dan usia pada menegur dan perbaiki masyarakat. Teruskan kerja-kerja soleh itu; anda semua adalah pewaris tugasan nabi-nabi. Semoga sejahtera seumur dan sebutilah kami bersama di dalam doa berkatmu.