Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar .” (153) Surah al-Baqarah.

Kalimat ‘sabar’ sama ada disebut sebagai satu sifat manusia atau golongan, ataupun selaku penjelasan terperinci sifat ini; ia disebut d dalam Al-Quran lebih dari 100 tempat. Bahawa Allah s.w.t menyebut hal mengenai sabar di dalam kitab-Nya sungguh banyak, maknanya tidak ada satu sifat yang lebih afdhal daripada ‘sabar’.

Sabar dari segi bahasa yang mudah ialah menahan diri. Kebanyakan sifat sabar yang ditakrifkan oleh Al-Quran ialah menahan diri daripada mengerjakan perkara dosa atau perkara yang dibenci demi menuntut keredhaan Allah.

Allah Maha Kaya dan Berkuasa telah mengurniakan nafsu kepada manusia. Sifat semula jadi nafsu ialah mahukan sesuatu atau berkeinginan mencapai kemahuan diri. Allah s.w.t juga telah mengurniakan pelbagai sifat kepada manusia bagi mengendalikan diri termasuk sifat sabar. Al-Imam al-Ghazali r.a merumuskan bahawa sifat sabar terbahagi dua iaitu:

Pertama: Sabar jasmani: Tabah hati menanggung kesusahan badan terhadap kerja-kerja berat dalam mencari rezeki, kesukaran menunaikan ibadat, penderitaan sakit akibat luka atau tenat dan sebagainya. Tabah hati begini adalah terpuji apabila disertai sifat redha, berikhtiar berubat atau mengelaknya dengan cara yang diizin syarak.

Kedua: Sabar rohani: Menahan diri daripada menurut keinginan tabii dan runtunan hawa nafsu. Orang-orang yang beriman hendaklah bersabar, menahan diri daripada kehendak perut dan jantina yang melebihi batas, menahan diri daripada mengeluh, sombong, rasa takut, gopoh, marah, tamak dan sebagainya.

Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menghubungkan sifat sabar itu dengan akhlak orang-orang yang bertakwa. Para rasul, nabi-nabi dan siddiqiin adalah merupakan contoh-contoh terbaik sebagai hamba-hamba Allah yang kuat sifat sabar mereka. Mereka sentiasa diancam pelbagai kesusahan hatta maut sekalipun atau dijanjikan dengan pelbagai nikmat dunia; namun mereka tetap bersabar mempertahankan iman, di samping mengharapkan keredhaan Allah s.w.t semata-mata.

Jadi Allah s.w.t telah memberi pengharapan besar untuk mereka. Kepada mereka dijanjikan kesejahteraan serta nikmat kejayaan di akhirat nanti. Mereka akan memasuki syurga Allah serta mendapat penghormatan daripada para malaikat. Janji-janji nikmat itu disebut oleh Allah sendiri, antaranya firman Allah s.w.t :


Mafhumnya: “ Mereka itu semua akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya”. (Surah al-Furqan: 75)


Mafhumnya: “ Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya tempat kesudahan itu sebagai balasan amal kamu di dunia dahulu”. (Surah al-Ra’d: 24)

Islam sangat mementingkan sifat sabar kerana ia mempunyai nilai yang sangat tinggi baik dari segi agama dan akhlak. Ia bukanlah satu sifat sampingan, malah ia adalah sifat yang mesti bertunjang pada diri setiap orang yang beriman. Setiap individu muslim mesti memilikinya demi mencapai demi mencapai kesejahteraan diri dan masyarakat. Manusia tidak akan dapat mencapai kejayaan manakala dunia tidak akan aman serta makmur melainkan dengan adanya sifat sabar.

Sifat sabar sangat mustahak untuk mencapai kejayaan di dunia, begitu juga bagi memperolehi ganjaran akhirat. Tiada kemenangan di dunia ini dan tidak ada kejayaan di akhirat nanti melainkan dengan kesabaran. Segala cita-cita dan hasrat tidak akan terlaksana secara sempurna di dunia ini kecuali dengan sabar dan beristiqamah. Sesiapa yang sanggup bersabar, dia akan berjaya; sebaliknya jika tidak sanggup menahan kesabaran, dia akan gagal.

Memandangkan betapa indahnya sifat sabar itu, betapa perlu ianya dimiliki oleh orang-orang yang beriman maka kita hendaklah memohon kepada Allah s.w.t agar kita dikurniakan sifat sabar. Lagipun Allah sering menyebut bahawa Dia akan bersama dengan orang-orang yang sabar.

Mafhumnya: “ Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”.

Orang-orang yang beriman juga dikehendaki memohon sesuatu pertolongan dan perlindungan Allah bagi mengelak dari sesuatu yang tidak baik ( bala bencana, penyakitan dan sebagainya) melalui solat mereka. Mereka juga digesa agar dengan solat, mereka mendekati Allah bagi mendapatkan rahmat dan bantuan-Nya semasa menghadapi susah payah dalam menyempurnakan perintah Allah itu. Solat adalah tiang agama. Ruh sembahyang itu adalah khusyuk hati orang yang mengerjakannya kepada Tuhannya. Inilah sebesar-besar pertolongan dan semangat yang teguh untuk menghadapi sebarang perkara yang menyulitkan.

Mengikut undang-undang dan peraturan Allah s.w.t segala pekerjaan yang besar seperti
penyebaran agama Islam, mempertahankan kedaulatan Islam dan sebagainya tidak akan berjaya melainkan dengan kesungguhan dan kesabaran dalam menjalankan usaha pekerjaan tersebut. Di samping tabah menghadapi sebarang rintangan dan dugaan itu, orang-orang yang beriman sangat perlu menunaikan kewjipan solat, bermunajat serta berdoa supaya diberi kekuatan dan kejayaan.

Maka sesiapa yang tetap teguh, sabar dan beristiqamah dengan solatnya, nescaya dia termasuk di dalam golongan hamba Allah yang dikasihi-Nya. Dia akan mendapati setiap hajatnya dimakbul oleh Allah, dirinya sentiasa sejahtera dilindungi dan akan jadilah dia hamba Allah yang bertakwa yang akan memperolehi kebaikan di dunia ini dan kebaikan di akhirat nanti..

SAKARAT 2

Posted by dariana at 8:17 PM 0 Comments

Ini pintu masuk buat semua

Usah kuatir apa bakal terjadi

Setelah di dalamnya


Adakah masih sesat, gejolak api menjilat

Atau taman tempat berdiam, beriang-riang


Ada orang sangat rindu

Nama-nama disebut, diingat seluruh amal

Lantas berbekal takwa menuju gerbang


Alangkah bahagia, berlaba besar

Bangga dipelawa Tuhan. Berwajah putih

Dia ceria meninggalkan fana


Wujud antara dua tiada

Angin menggapai mutmainnah

Sekian lama digaduh lawwamah


Ini pintu masuk semua diri

Banyak melepasi nafas-nafas duniawi

Jiran tadi berkata-kata, usia membawanya pergi


Tuhan, bekal takwaku seekor hama

Mohon ampun, rahmat-Mu semata

Jika senja Kau jemput bertemu

Bagaimanalah bicara malam pertamaku.




27 Syawal 1428

Kerak laut bergegar merasuk gelombang

Gelombang bergelepar mencari daratan

Daratan kesasar membauri perasaan


Bumi menyimpan kafan dan airmata

Maka bercambahlah arwah dan derita


Itu gema raung di Meulaboh

Suara siapa tergantung pada ombak undur

Sesekali melambung sesekali tersungkur


Hidup diugah bala, berkemah di bawah sengsara

Tidak ada keriangan kecuali murung nestapa


Walau, musnah berdukungan segala harapan

Kini terdesak hidup dengan sarap pandangan

Bersyukur kami. Terima kasih pada-Mu Tuhan


Rumah-Mu, Masjid Baitur-Rahman

Alamat Kau hadiahkan agung kebesaran.



5 Mac 2005


Tapanji



Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu berkata ra’ina tetapi berkatalah unzhurna, dan dengarkanlah. Dan bagi orang-orang yang kafir adalah siksaan yang pedih .” (104) Surah al-Baqarah.


Hidayah Islam adalah merupakan nikmat yang paling besar kurniaan Allah s.w.t kepada manusia melalui perantaraan para rasul yang bermula daripada Nabi Allah Adam a.s sehinggalah rasul-Nya yang terakhir Nabi Muhammad s.a.w. Baginda Rasulullah s.a.w sebagai nabi terakhir diperintahkan menyampaikan risalah Islam untuk semua bangsa manusia. Seruan ke arah tauhid dan syariat Islam diteruskan oleh orang-orang yang beriman dari kalangan umat baginda hinggalah ke hari qiamat.


Berasaskan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w selaku manusia pilihan, manusia paling mulia di sisi Allah dan pemimpin agung untuk umat manusia; Al-Quran telah memberi panduan khusus cara-cara bergaul serta memuliakan baginda baik semasa baginda masih hidup ataupun selepas wafatnya.


Selain dari ucapan selawat dan salam sebagai tanda penghormatan kepada baginda, orang-orang beriman diperintahkan supaya bertutur kata dengan suara yang sederhana, merendah diri serta berbahasa sopan santun terhadap baginda. Orang-orang yang beriman dikehendaki menerima dan mengamalkan sunnah baginda, dilarang meminggirkannya apatah lagi menyanggahnya.


Nabi Muhammad s.a.w diutuskan kepada manusia sebagai rasul Allah yang terakhir dan membawa rahmat kepada seluruh alam. Baginda berjuang menentang kekufuran manusia terhadap Allah. Baginda mahu menegakkan kebaikan dan menghapuskan kemungkaran di muka bumi. Baginda mahu menghapuskan kejahatan sambil memberi teladan dengan akhlak yang mulia. Baginda amat mengambil berat terhadap umatnya dan berharap benar agar mereka terselamat dari siksaan azab neraka. Umat Islam wajib menghormati dan mengasihi Rasulullah s.a.w sebagaimana baginda mengasihi umatnya.


Menurut riwayat, biasanya sahabat-sahabat Nabi ketika berkata-kata dengan Rasulullah s.a.w, mereka selalu menyebut kalimat raa’ina yang maksudnya meminta Nabi mengambil berat kepada perkara yang mereka kemukakan. Orang-orang Yahudi juga ada datang bertemu Nabi s.a.w sambil menggunakan kalimat yang serupa dengan memutarkan bunyinya menurut bahasa Yahudi yang bermaksud menghina Nabi. Maka Allah telah melarang orang-orang Islam menggunakan kalimat tersebut dan memerintah mereka menggantikannya dengan kalimat unzhurna bermakna ‘berilah perhatian kepada kami’.




Nabi s.a.w sendiri tidak mahu orang-orang mukmin melakukan sesuatu perkara dengan keadaan yang serupa dengan orang-orang musyrikin, orang-orang kafir termasuk ahlil-kitab (orang-orang Yahudi atau Kristian). Bagi mereka cara hidup mereka, manakala bagi orang-orang mukmin sudah tentu cara hidupnya yang diajar oleh Islam melalui pernyataan Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Kafirun: Ayat 6:.


Mafhumnya: “ Untuk kamulah agamamu, dan untuk akulah agamaku”


Bermula kelainan tersebut ialah di dalam perkara-perkara keimanan. Bagi orang-orang Islam, mereka diperintahkan beriman kepada Allah Yang Maha Esa, tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun; termasuk beriman kepada beberapa Rukun Iman yang lain. Orang-orang Islam mempunyai cara beribadat yang berbeza sebagaimana yang disyaratkan Allah dan mempunyai tujuan / konsep tersendiri; manakala orang-orang bukan Islam dengan cara dan haluan mereka.


Perbezaan juga amat ketara pada aspek-aspek halal haramnya benda dan perbuatan, hukum dan konsepnya baik di dalam makan minum, berpakaian, pergaulan dan sebagainya. Pendek kata perbezaan itu berlaku di dalam semua aspek kehidupan seperti dalam urusan undang-undang (hukum), sosial, ekonomi atau politik. Pada syariat Islam, semua perkara tersebut tidak terlepas dari hukum Allah; semuanya mesti tunduk mengikut syariat Islam dalam mencapai keredhaan Allah. Motif utama laku perbuatan dan kehidupan manusia hendaknya beroleh kesejahteraan di dunia dan akhirat.


Oleh itu setiap orang yang beriman, seboleh-bolehnya menjauhi laku perbuatan yang semacam laku perbuatan orang-orang yang ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya. Apatah lagi jika laku perbuatan atau tutur kata itu bertentangan dengan tata susila sunnah; malah boleh menjatuhkan imej Nabi s.a.w.


Orang-orang kafir khususnya orang-orang Yahudi sejak dahulu menolak pengajaran dan panduan daripada para rasul kepada mereka. Sejarah memberitahu, malah Al-Quran melakarkan banyak kisah bagaimana kaum tersebut mengingkari peintah Allah melalui kitab-kitab-Nya dan lidah para nabi mereka terutama Nabi Allah Musa a.s dan Nabi Allah Isa a.s. Mereka memperolok-olokkan pengajaran untuk mereka. Mereka berdegil, malah menentang arahan rasul-rasul tersebut dengan berbagai cara dan helah.


Dua kabilah kaum Yahudi yang menghuni Kota Madinah pada zaman Rasulullah s.a.w pula tidak ramai yang memeluk Islam. Mereka.yang tetap berpegang dengan agama mereka itu terpaksa ikut berjanji setia membai’at Rasulullah s.a.w. Mereka itu terpaksa menerima pemerintahan Islam di Madinah, selaku kafir zimmi dari kalangan ahlil-kitab. Mereka dapat hidup bersama, dilindung serta dilayan selaku penduduk Kota Madinah yang lain.


Namun begitu ada di kalangan orang-orang Yahudi itu yang berpura-pura menganut Islam, berpura-pura tunduk di bawah pemerintahan Nabi s.a.w tetapi pada hakikatnya mereka menentang kenabian, memusuhi Rasulullah s.a.w sambil memperolok-olokkan ajaran Islam. Mereka itulah golongan munafiq yang menjadi musuh dalam selimut, api dalam sekam atau duri dalam daging kepada perkembangan Islam dan kesejahteraan umat Islam. Mereka sengaja mencari peluang untuk menjatuhkan umat Islam, memusnahkan ajaran Islam atau mencemarkan imej Islam.


Mereka juga sentiasa mencari pengikut-pengikut dengan apa cara sekalipun bagi memusuhi Islam sama ada dengan pemikiran, tenaga, material dan masa. Pelbagai tipu helah dilakukan baik secara kasar yang disedari atau secara lembut tanpa disedari oleh umat Islam sendiri. Mereka mahu agenda mereka berjalan dengan selamat yang akhirnya mengakibatkan Islam itu lesap dari muka bumi dan umatnya dihina, berpecah belah serta musnah ditelan sejarah.


Oleh sebab itulah setiap diri umat Islam mesti mengenali diri sendiri dan mengetahui siapa musuhnya. Mereka hendaklah menghormati Nabi s.a.w, menerima serta mengamalkan sunnah baginda. Setiap umat Islam hendaklah mengetahui langkah-langkah tipu daya golongan yang bermusuh dengannya, berikhtiar dan bertindak menjauhi setiap agenda mereka. Orang Islam harus berani menentang setiap maksud jahat mereka walau di mana mereka berada. Insya Allah dengan kesedaran dan tindakbalas umat Islam terhadap kegiatan jahat musuh-musuh itu, mereka akan terselamat, akan beroleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Posted by dariana at 12:49 AM 2 Comments

SYUKUR

Tarikh 7 Jun 2008, genap tiga bulan saya berada di rumah setelah menginap di HRPZ2 hampir setengah tahun. Sejak 2 Ramadan 1428H = 15 Sept 2007M hingga jumaat 29 Safar 1429H=7 Mac 2008M sehari sebelum PRU12. Terima kasih para perawat saya kalangan doktor, jururawat serta staf-stafnya di ICU, Wad Teratai, Wad Temenggung, Wad Panglima dan Wad 10 HRPZ2 khasnya Adi Teratai. Anda semua bagus dan berhak mendapat pujian, semoga kalian dirahmati Allah.

Terima kasih tidak terhingga buat kekasih saya @ isteri yang setia Hamidah; hanya sebuah puisi itu tanda segala-galanya. Terima kasih buat anak-anak: Long, Tia, Siti, Amad. Li yang jauh, Imi, dik Na serta menantu-menantu Zurida, Azman, Yukarmi. Terima kasih adik beradik dan waris-waris terdekat, jiran-jiran, sahabat jauh dan dekat. Terima kasih teman-teman penulis Rosli K Matari, Usman Ibrahim, AbdulHadi Yusoff, Mochetar Awang, Pyan Habib (wa tabik lu), Leo AWS, Nawawee Muhammad, Norlaila Ghafar, Darma Mohamad, Abham TR, Izani H.D (sekedar sebut beberapa nama- maaf) Terima kasih juga buat YB Dato’Husam Musa, YB Nik Amar Nik Abdullah, YBerusaha Pengarah JPN Hj Ismail Mohd Nor, KS Hj Zahari Daud, Pengetua Pn Hjh Sabariah Ibrahim dan rakan guru SMKKbH dan anak-anak murid, Hj Saupi KGMK dan rakan-rakan guru di sekolah-sekolah yang pernah saya bertugas dahulu. Berkat ikhtiar dan doa anda semua, Allah mengurniakan saat terbaik sehingga saya sempat merakamkan nota ini. Alhamdulillah. Rabbana lakalhamdu kama yanbaghi lijalaliwajhika wa’azimi sultanika
& Saya dapat discaj hospital 7/3/2008, bukan balik nak mengundi esoknya 8/3/2008, saudara. Saya belum layak ke peti undi, masih belum kuat dan tidak cukup tenaga ke situ. Namun semangat tetap ada. Walhasil PRU12 sudah berlalu dengan gelaram tsunami politik bagi negara kita. Keputusannya sudah termaklum. Tok Guru masih jadi Imam di Serambi Mekah bukan Che Awang.Air mata Tok Guru mengalir ke lain negeri. Ada perubahan lagi. Sebenarnya itulah masa untuk berubah. Bila ada sesuatu perubahan, jangan mudah panik. Adat berlakunya bah, pasti pantai berubah. Inikan pula dah tsunami. Yang menang bersabarlah jangan tinggalkan ‘Bukit Uhud’. Apatah lagi yang kalah, jangan biru hingga urat perut. Kita kena cari dan bertahan dengan kebenaran sejati punya Al-Haqqu itu.

Ingatlah. Kita masih berada dalam kerugian jika tidak sempurna Iman, Tidak berbuat baik (ikhlas kerana Allah), tidak selalu berpesan supaya sentiasa benar (Haq @ tidak batil) dan tidak selalu berpesan supaya sentiasa bersabar.
Cari untung ba...makamnya Jannah.
Wassalam.

Ziarahilah Kelantan ini

Negeri kurang maju tetapi cukup jaga jatidiri

Selatannya Pahang dan Terengganu,

Berjiran jua Perak, Kedah. Bersempadan Pattani.

Dimasinkan budu, dimaniskan madu

Diperkasakan agama dan diperkayakan seni

Hemah dirinya berbahasa hamba

Menyahut cabaran, tidak akan lari

Demi maruah dijaga hingga rela mati


Tanah kami terbentang menerima datang

Bagai meja makan sedia ikhlas untuk tetamu,

Cuma hidangannya sedap ala kadar

Di sini tiada cemburu dan iri

Sentuh dan rasailah hati budi kami

Angin dan tanahnya berhembus mendatar

Tidak seperti lain negeri,

Bukit dan gunungnya tinggi-tinggi

Sukar didaki anak-anak sendiri


Gua Musang akan menyambutmu

Batas Taman Negara ini indah tersendiri

Tersergam menonjol bukti kuasa Ilahi

Kota bergua punya keteguhan dan keramat,

pintu menghala daerah barat

Lebuh raya menjalar ke sempadan luar


Kota besar Kuala Krai gah dalam kitab sejarah

Kabarnya pelayar I-Ching benua China ada singgah

Raja puteri berdaulat di Tanah Serendah

Sekebun Bunga sang kijang bercanda

Kekal berlambang selaku tanda bendera merah


Kampung Machang kini pekan singgahan

Bandar berjenama buah wangi, masam dan manis

Maju berkembang, menghubungi empat penjuru jajahan

Sawah saujana dusun buahan ladang berbaris


Pasir Putih tanah asal sang pahlawan

Tok Janggut gelaran buat Tuan Haji Mat Hassan

Memugar Inggeris bukan derhaka baginda sultan

Pantang tunduk, lebih baik menjihad korban

Menerima syahid bersemadi di Pasir Pekan

Tanah Merah, bandar lama kereta api lalu

Bukit Panau menambat hati pengunjung

Jambatan bersejarah merentang arus sungai

Kanan kiri saudara mara mesra sekampung

Mengatur langkah anak watan menuntut ilmu


Pandangan Jeli punya balam bukit bukau

Diteroka, tumbuh mahsul memakmur rakyat

Belentara menjelma tanaman menghijau

Tanah tanih bermutu lambang hidup seikat

Garisan lebuh raya ke utara semenanjung

Mengisi merdeka di bumi ibu kandung.


Bumi paling kaya terkenal Pasir Mas

Saujana mata relung luas mengeluar beras

Sepakat kata sentiasa mengembeling tenaga

Daerah pesaka pemondokan ilmu agama

Jelitawannya menarik lembut peribadi bangsa


Kenangan silam mengungkap seribu kesan

Betapa Tumpat menjadi sut landasan

Keretapi menarik gerabak dan menolak asap

Kini bandar sempadan Pengkalan Kubor

Singgahan keluar masuk pelancong melabur


Pantai Irama tidak memisahkan lagunya

Sepoi angin Laut China Selatan mendesah

Pagi Bachok paling awal menyambut mentari

Malam suam kita pintas deru laut Tok Bali

Ada kenangan ada ingatan merantai hati


Jika kamu Melayu ingatlah Kota Bharu

Kota berbudaya, penghuni kasihkan kemesraan

Kota Bulatan Tuan Padang menjadi mercu

Tanda sehati merendah diri mendokong iman

Murah barangan, tidak mengejar untung lebih

Mahal nilaian, bukan maknanya suka menindih

Jenguk dampingilah kami di negeri Kelantan

Rakyat Tanah Melayu amat banggakan watan.


Jamadilakhir 1425

Jendela Timur, DBP 2005.

Sebuah buku berkulit hitam

Huruf-huruf putih

Tercetak jodol Apartied

Kenangan regim pretoria

Golongan karya. Minoriti Afrika Selatan


Mesejnya pengabadian

Milik dan hak manusia

Dunia ketiga.


Penjajahan kental lama

Merencam nasib mereka


Sebuah buku berkulit putih

Tentang manusia pura-pura

Mesej besar kemanusiaan

Tapi, terkoyak halaman dalam.


April 1984

Antologi Angin Paksa 2008.

1. PENGERTIAN IMAN


ALLAH Subhanahu wa taala dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhitung kepada manusia. Iman merupakan suatu nur atau cahaya petunjuk kurniaan Allah Taala yang paling tinggi nilainya Iman adalah suatu nikmat anugerah-Nya di samping nikmat-nikmat lain yang tidak terhitung.


Iman merupakan asas atau punca bagi manusia berfikir dengan baik, bertindak dengan baik dan mendorong ke arah amalan-amalan baik di dalam hidupnya. Dengan iman manusia akan menjuruskan segala amalannya menuju matalamat yang diredhai Allah.


Kalimah ‘iman’ adalah berasal dari kata dasar bahasa Arab yang bererti yakin atau percaya. Ia merupakan satu keyakinan yang teguh di dalam hati seseorang manusia terhadap kewujudan dan kebenaran Allah. Bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa, Pencipta serta Pentadbir seluruh alam. Maksud ‘iman’ yang lebih berfokus ialah kepercayaan di dalam hati, pengakuan dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota akan segala rukun dan perintah Allah.


Orang yang beriman jika seorang disebut mukmin (mu’min. Kalau bilangannya melebihi seorang (jamak), ia disebut mu’minun, mu’minin atau alladhina aamanu, yang bermaksud ‘orang-orang yang beriman’.


2. SIAPA ORANG YANG BERIMAN


Mu’ min adalah kalimat Arab yang bererti orang yang beriman. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyatakan tentang orang yang beriman, peranan, tanggungjawab dan kedudukannya di sisi Allah. Dinyatakan juga tentang sifat, sikap dan amalan-amalannya sebagaimana yang dikehendaki Allah. Malah dijelaskan juga natijah dan balasan baik terhadap keimanan mereka. Mereka akan diberi keistimewaan ketika di dunia ini dan semasa di akhirat nanti. Selalunya ayat-ayat yang ditujukan untuk orang-orang yang beriman akan disebut bersama amalan-amalan baiknya ‘ Innalladhina aamanu wa ‘amilussolihati…’

ءان الـــــذيــن أمـــــنــوا وعــــــــمــــلــواا لـــــــــــصـــالــــــــــــحــات

Ertinya: “ Sesungguhnya mereka yang beriman dan mengerjakan kebaikan...”


Di dalam Al-Quran memang terdapat banyak ayat yang Allah s.w.t tujukan kepada orang-orang yang beriman agar mengambil perhatian terhadap apa yang dimaksudkan oleh wahyu-Nya dengan jelas sama ada positif atau negatif dari segi konsepnya. Ayat-ayat tersebut didapati sama ada berupa maklumat, penjelasan terhadap masalah serta perintah terhadap peranan dan tanggungjawab selaku hamba Allah. Terdapat juga ayat-ayat yang menyatakan tentang balasan dosa, larangan, amaran, ancaman dan sebagainya terhadap orang-orang yang beriman. Ayat-ayat demikian dimulai dengan Ya ayyuhalladhina aamanu…

يـــــــــــأ يـهــا الـــذيــــــــن أ مــــــنـــــوا


Ertinya: “ Wahai orang-orang yang beriman…”


Jadi siapa sebenarnya orang yang beriman itu?


Selain memiliki makna iman di atas, orang-orang yang beriman sudah tentu memiliki banyak ciri kebaikan dan kelebihan sebagaimana yang dikehendaki Allah s.w.t. Orang yang beriman hendaklah mengaku benar apa yang dia imani dan sudah pasti menjadi orang yang taat dan patuh mengamalkan segala perintah Allah, kerana amalannya itulah benar-benar akan menjadi bukti keimanannya. Orang yang beriman merealisasikan keyakinan batinnya melalui perhambaan sejati terhadap Tuhan rabbul-jalil.


Pengertian bagi kalimat iman juga ialah aman dan amanah. Jadi, orang beriman hidupnya aman dan beramanah. Seseorang mu’min sanggup menerima segala perintah Allah sebagai satu amanah dalam hidupnya. Dia akan memelihara agama Islam dengan sentiasa menyuburkannya dengan baja ketaatan serta mempertahankan ketinggiannya dari dihina atau dimusnahkan. Dia sanggup bertindak dengan apa jua cara bagi menjaga kedudukan baik agama Islam daripada serangan musuh walaupun terpaksa berkorban harta dan nyawa kerana tugas besar itu juga adalah amanah.


Antara sifat-sifat orang yang beramanah ialah pergaulan yang baik sesama manusia, menepati janji, bercakap benar, berlaku adil, menyempurnakan hak, ikhlas dan sebagainya. Seseorang yang beriman tetap menentukan kehidupan hariannya mengikut ajaran Islam. Dia yakin terhadap kuasa Allah serta redha menerima qadha dan qadar-Nya. Keadaan ini boleh membentuk jiwanya selalu bersifat sabar, tenang dan tenteram. Iman itulah yang sering menjadi pengawal kepada fikiran dan perasaannya.


Orang yang beriman melihat seluruh alam sekitarnya sebagai tanda keagungan Allah. Segala kejadian baik dan buruk mempunyai hikmat tersendiri.. Kejadian itu juga menjadi iktibar kepada hidupnya. Dia tidah mudah takut, bimbang dan dukacita dalam apa jua keadaan. Dia tidak lupa kepada Allah dan selalu ingat bahawa Allah sentiasa melihatnya. Malah bila disebut nama Allah, hatinya akan gementar takut kepada Allah dan kebesaran-Nya. Dia berasa sangat takut kalau usianya berakhir padahal masih banyak perintah Allah yang belum dilaksanakan.


Seseorang yang memiliki iman yang teguh tetap berusaha supaya imannya terpelihara, sentiasa subur dan bertambah kukuh. Dia melaksanakan semua Rukun Islam, mengerjakan ibadat dengan ikhlas dan berkelakuan baik sepanjang waktu. Dia sedar dan tahu bahawa Allah mengetahui setiap perbuatan dan niat hatinya.


Oleh itu kita semua hendaklah memastikan kedudukan iman masing-masing. Menjaganya supaya tidak rosak atau terpesong. Hendaklah sentiasa menyuburkan iman dengan amalan baik, selalu membaca dan menghayati Al-Quran. Jadikan jalan hidup ini terkawal menurut garis panduan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w., semoga mendapat kebahagiaan semasa di dunia dan di akhirat nanti.


Kita hendaklah menyedari bahawa nikmat yang paling besar ialah nikmat iman dan Islam. Anugerah iman dan Islam ini menjadikan seseorang itu bertakwa kepada Allah. Semua kerja yang dilakukan mestilah berlandaskan iman, penuh kejujuran, bertawakkal dan penuh keikhlasan kepada Allah.


Selaku orang yang beriman, kita hendaklah sentiasa yakin dan ingat bahawa Allah sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui apa yang kita lakukan dan apa jua yang ada di dalam hati kita kerana melalui keyakinan dan kesedaran inilah kita akan selalu berwaspada di dalam setiap geraklaku pada setiap masa..


Oleh itu kita hendaklah selalu berdoa memohon daripada Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang agar mengurniakan kita iman yang berkekalan, petunjuk yang lurus dan ilmu yang berguna. Kita juga hendaknya memohon daripada-Nya agar dijauhkan dari kemurkaan-Nya; diselamatkan kita dari dosa dan kesesatan yang mengakibatkan kita disiksa di akhirat nanti.


  1. KELEBIHAN BAGI ORANG YANG BERIMAN


Orang yang benar-benar beriman sudah tentu akan mendapat kelebihan dan keistimewaan berbanding orang-orang lain. Mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah. Mereka akan memperolehi darjat terbaik hasil dari keimanan dan amalan baik sewaktu hidup di dunia. Malah mereka akan diberi keampunan yang amat luas di atas kesilapan yang dilakukan.


Mereka juga akan memperolehi balasan pahala yang berlipat ganda terhadap sumbangan baik dan ketaatan kepada perintah Allah semasa hidup di dunia ini; seterusnya akan menerima anugerah rahmat nikmat apabila di akhirat nanti.


Di dalam Surah al-Mu’minun: ayat 1-9, Allah s.w.t menyatakan keberuntungan besar bagi orang-orang yang beriman. Mereka akan mendapat kejayaan kerana khusyuk di dalam solatnya. Mengerjakan setiap amalan itu dengan sepenuh hati dan tumpuan kepada Allah.hadir hati semata-mata untuk mendapat keredhaan-Nya. Solat yang khusyuk akan meningkatkan iman dan menyebabkan hubungan yang baik dan lebih akrab dengan Allah.


Mereka juga akan berjaya sekiranya meninggalkan amalan sia-sia (lagha) atau tidak memberi faedah di dalam hidup sehariannya. Amalan lagha ialah perbuatan yang tidak ada nilai dan tidak memberi manafaat sama ada perkataan atau perbuatan seperti gurau senda, permainan yang tidak memberi faedah kepada jasmani dan rohani, percakapan kosong, membuang masa atau perkara yang boleh menjatuhkan maruah.


Orang-orang beriman akan beruntung apabila mengeluarkan zakat. Mereka berasa bahagia dan puas kerana dapat menyucikan harta dan dirinya melalui pertolongan kepada orang lain. Mengeluarkan zakat bererti mengagihkan sebahagian harta kepada orang yang memerlukan agar sama-sama menikmati rezeki kurniaan Allah di samping mengeratkan silaturrahim sesama manusia.


Dinyatakan juga mereka akan mencapai kejayaan setelah berupaya menjaga maruah atau kehormatan diri. Islam berkehendak agar umatnya berdiri di atas asas keluarga bahagia yang diredhai Allah Taala. Orang-orang yang beriman hendaklah menyalurkan keinginan naluri seksnya melalui cara yang diizin syariat. Hanya melalui jalan inilah akan terbentuknya masyarakat yang sejahtera dan cemerlang.


Di dalam pergaulan bersama masyarakat, orang-orang beriman digesa menzahirkan kelakuan atau akhlak yang mulia. Sebuah masyarakat akan sejahtera dan harmoni jika ahli-ahlinya mempunyai sifat-sifat mahmudah (terpuji). Selain sifat-sifat bertanggungjawab dan kewajipan mematuhi perintah Allah Taala selaku hamba-hamba-Nya orang-orang yang beriman semestinya menjauhi sifat-sifat negative iaitu sifat mazmumah (tercela). Mereka hendaklah sentiasa menjaga amanah dan menunaikan janji. Berhubung baik dengan Allah selaku khalifah dan hamba-Nya di bumi, orang-orang beriman juga mesti menyempurnakan amanah serta janjinya di kalangan sesama manusia.



Orang-orang yang beriman akan mendapat kejayaan di dunia dan akan mencapai syurga di akhirat nanti sebagaimana janji-janji Allah Taala. Mereka yang mengerjakan solat dengan sempurna dan berterusan akan terdidik menjadi hamba yang taat. Mereka akan menjadi hamba yang pasti beroleh keampunan dari Allah s.w.t dan mencapai nikmat keuntungan sebenar nanti


Setinggi-tinggi syukur dan pujian diangkatkan ke hadhrat Allah Subhanahu wa Taala, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang atas taufiq dan hidayahnya-Nya memberi kesempatan saya menterjemah dan menyediakan petikan huraian beberapa ayat Al-Quran pilihan di dalam buku ini.


Selawat dan salam sejahtera diaturkan khusus buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. penghulu segala nabi dan rasul a.s yang diutuskan Allah sebagai pembawa rahmat-Nya bagi seluruh alam; yang diutuskan ke tengah-tengah masyarakat manusia untuk mengajak serta menyeru mereka ke jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Salam sejahtera juga diiringkan untuk keluarga, sahabat-sahabat serta semua pengikut baginda sejak dahulu hingga kini.


Risalah ini sengaja diberi judul “WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN” kerana isi kandungannya adalah huraian dari maksud ayat-ayat Al-Quran yang dimulakan dengan ayat:


‘ Ya ayyuhalladhina aamanu” yang memberi mafhum ‘Wahai Orang-Orang Yang Beriman’ . Satu seruan khusus untuk mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya agar mengambil berat dan memberi perhatian kepada apa jua gesaan atau kehendak Allah berdasarkan ayat-ayat tersebut.


Di dalam kitab suci Al-Quran terdapat banyak lagi ayat seruan yang dituju khusus kepada individu atau golongan tertentu agar mengambil perhatian terhadap wahyu Allah dan perintah-Nya. Selain seruan kepada orang-orang yang beriman ( seruan paling banyak dan sudah tentu ditujukan kepada orang-orang Islam ) terdapat ayat-ayat yang didahului dengan seruan: Wahai Nabi, Wahai Rasul, Wahai Bani Adam, Wahai Manusia, Wahai Bani Israil, Wahai Orang-Orang Kafir, Wahai Orang-Orang Yang Diberikan Kitab, Wahai Orang-orang Yahudi dan Wahai Diri Yang Mutmainnah (sekadar dikumpul beberapa contoh).


Semua ayat yang dimulakan dengan lafaz seruan itu sudah tentu didedikasikan kepada mereka yang tersebut agar mengambil perhatian berat terhadap apa yang difokuskan oleh Allah s.w.t. Mereka yang terbabit hendaknya membaca dengan teliti, memahami akan tujuan ayat dengan hati-hati sambil mengambil dan menunaikan apa jua perintah atau makluman. Mereka disuruh mengambil panduan, pengajaran, teladan, perbandingan, hukum-hakam dan gesaan yang terkandung di dalam ayat-ayat tersebut. Di sinilah terletaknya hikmah sebahagian dari mukjizat Al-Quran sebagai wahyu Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umat baginda. Seolah-olah Allah sendiri yang berhadapan dengan mereka yang beriman; berkata-kata dengan lembut bermaksud dan berbicara dengan kalimah berhikmah. tanpa adanya hijab dan wasilah, Allah s.w.t menyatakan wahyu-Nya baik mengenai perkara akidah, syariat maupun akhlak. Hendaknya pihak orang-orang yang beriman pulalah yang prihatin mendengar dan taat menerimanya sami’na wa ata’na lalu terus bertindak dengan penuh bijaksana melaksanakan perintah Allah.


Jadi dengan huraian atau tafsiran ringkas yang diberikan berdasarkan ayat-ayat yang dimulakan dengan Wahai Orang-orang Yang Beriman, diharapkan kita dapat mengambil pemahaman dan pengajarannya, paling tidak kita mengetahui bahawa di dalam kita suci Al-Quran banyak ayat-ayat yang secara terusnya menuding dengan jari telunjuknya ke dada, minda dan diri orang-orang yang beriman; maka tidak dapat tidak kita wajib mematuhinya. Selaku hamba Allah s.w.t yang mahu lari sedaya upaya dari azab-Nya akibat kejahilan diri, kita mahu terselamat dan mendapat perlindungan di akhirat nanti sehinggalah kita termasuk ke dalam golongan hamba-Nya yang diredhai Allah.Insyallah.


Berada di sini

Suara orang dan desis daun

Berkecimpung kembali ke zaman silam

Artifak menyokongku mengenal sanggar

Neraca dan titis air

Bicara pada rahsia. Buah khuldi tidak

Jadi ditelan. Tersekang pada rengkung

Perempuan itu memilih bahasa bujukan

Terbaik.


Kita terkial,

Terkial dengan kesalan tidak sudah

Dengan kekhuatiran dengan kesukaran

Menanggung gundah

Kita berada di batas ini

Lakaran amal menjana hayat

Bagai aturan lalu-lintas

Sebuah kota maya

Terkepung di dalam usia

Cuma iman menyingkir durja;


Perempuan itu adalah Asiah

Memohon hanya sebuah rumah

Untuk dihuni di beranda

Syurga.


Kota Bharu, Kelantan ABDULHADI MUHAMAD

25.6. 2005

Mereka juga hari ini menggendala keamanan

Mengejar sosok damai tanpa carta waktu

Cita-cita antagonis mengatasi harga

Hayat tujuh puluh nabi; lalu

Apalah nilai derita peribumi

Menyata perasaan di lorong mati


Berdiri di tebing ini

Kaki kejang dan nafas lelah

Gagal mengeja vokal simpati, selain

Mengutuk yang sedia terkutuk

Mereka mencurah darah

Kita menghitung gerah


Sejuta sukukata persis apa

Pukul dan dentum dari perut besi

Lidah apinya meragi ulu hati, perit

Luka lama dibasuh cuka. Ribu baris puisi

Apalah makna butir peluru menggetus

Saraf memeceh usus; para saudara

Menyimpan tulus


Mereka para pemusnah harapan itu

Semata mengenal metafora ganas

Imaginasinya dendam dan buas

Berpadakah kita mencanang ‘satu’.


Februari, 1988.

Majalah Al-Islam, Oktober 1988.

Setelah

Sekian kali berkandas angin

Dia hampir mati tersepit

Bila dunia ditungganginya terbabas

Sejak disah alami kerabunan,

Sering ingatannya hilang

Tentang hari esok atau

Warna-warni hidup


Ditangkap mendalangi tindakan

Pancainderanya tanpa batas

Yang arif menjatuh kalimat

Hukum penjara seumur nafas

Keluar masuk mentari ke gua rahsia

Lelaki serba uzur itu masih berkeliar

Di ujung tahun dengan kudrat

Terakhir menghabis baki usia


Sering menanggung wajah

Sendiri penuh kekhuatiran

Sesekali mencongak dengan nadi

Bertumbuk dengan dendam; sebelum bergari

Dikurungnya pengenalan diri

Demi buruan khalayak tidak habis

Mencemburuinya.


Sesuatu ingin dikhabarkan

Melampaui desak sebu

Bertahun dipintas kesal

Luluh dalam degup ragu

Tidak mungkin

Ditinggalkannya dunia ini

Kecuali dengan ratib rindu

Sambil menghayun langkah ke sunyi sepi

Yang menabur manik sedu sedan

Kecuali dengan bersih kasih

Ketika menutup pandang dari baur debu

Yang menyamar jalan kembali pulang.


Zulkaedah 1409,

Masjidil Haram.

Majalah Al-Islam, Julai 1990.


Terima Kasih PakLah ..!!

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Rakyat mesti melahirkan suara protes dan menunjukkan bantahan yang besar kepada kerajaan supaya menimbang semula kenaikan bahan bakar yang diumumkan semalam kerana ia secara jelas mencetuskan suasana gawat dan menambahkan lagi beban kos sara hidup penduduk negara ini.


Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata bantahan itu perlu dibuat Imagesegera memandang keputusan kenaikan harga minyak adalah sesuatu yang mengejutkan ramai pihak malah tidak menyangka kerajaan bersikap 'kering hati' dalam membuat keputuasan tanpa mengambil kira kesulitan yang bakal dihadapi rakyat.


Atas keputusan semalam katanya, beliau selaku penyelaras Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes), akan berbincang bersama jawatankuasa pagi ini untuk mengambil tindakan dan langkah seterusnya bagi menyedarkan dan meminta kerajaan untuk menurunkan semula harga minyak.


"Jika kerajaan boleh buat keputusan melalui kuasanya tanpa mengambil kira nasib rakyat maka rakyat juga boleh menunjukkan kuasa melalui suara protes mereka. Keputusan naik dan turun ini berada di tangan kerajaan maka rakyat mestilah menunjukkan bantahan yang di buat secara menyeluruh di seluruh negara.


"Jika Perdana Menteri merayu supaya rakyat untuk tidak berdemonstrasi maka rakyat juga boleh berdemonstrasi untuk 'merayu' supaya kerajaan menurunkan harga minyak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.


Tambahnya, keputusan kerajaan untuk mengikut harga pasaran minyak dunia telah dilaksanakan oleh kebanyakan negara namun bezanya kadar gaji penduduk negara-negara itu melebihi penduduk di Malaysia yang secara tidak langsung tidak membebankan kos hidup.


"Memang kerajaan ikut sistem negara luar yang tidak memberi subsidi seperti Singapura tetapi penduduknya mendapat gaji berlipat kali ganda dan taraf hidup mereka lebih stabil berbanding rakyat kita yang semakin lama semakin teruk keadaannya," katanya


Selain itu kesan kenaikan minyak ini juga turut dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan tidak memiliki kenderaan kerana ianya akan membabitkan kenaikan kos pengangkutan awam dan harga barangan keperluan harian pula.


"Golongan yang miskin dan tidak ada kena mengena dengan kenaikan ini turut terjejas kerana sudah pasti harga barang dan keperluan lain juga turut naik seiring kenaikan bahan bakar ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.


Beliau turut menganggap bahawa rebet atau pulangan wang melalui cukai jalan yang diberikan kerajaan hanya sebagai 'pemujuk' sementara kepada rakyat dan ianya tidak bersifat keuntungan atau kemudahan jangka panjang.


"Bayar RM150 atau RM625 sekali setahun sahaja tetapi menderita setiap hari, apa gunanya? Ini semua sekadar nak mengaburi mata dan memujuk rakyat semata-mata," katanya.


Semalam Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan harga minyak diesel dinaikkan kepada RM2.58 berbanding M1.58 seliter sebelumnya.


Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel berkuatkuasa tengah malam semalam.


Sejak 2004, harga petrol naik sebanyak 97.1 peratus manakala harga diesel pula naik setinggi 231 peratus