Zaid dan Yong Hadiri Kongres, Nafi Sertai KeADILan
- Harakahdaily

SHAH ALAM, 30 Nov (Hrkh) - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Yong Teck Lee terus mencetuskan persoalan mengenai fahaman politik mereka apabila muncul membuat kejutan di majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) di sini semalam.
Bagaimanapun Zaid yang ditemui selepas itu tetap menafikan penyertaannya sebagai ahli parti berkenaan. "Ya, saya masih ahli Umno, saya masih belum dipecat," katanya ringkas.
Jelas beliau kehadirannya ke kongres berkenaan kerana menerima jemputan dan atas dasar minat yang mendalam tehadap politik.
Ditanya sama ada kekerapannya yang dilihat sering menghadiri majlis-majlis anjuran parti pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah kerana bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat, beliau tetap menidakkannya. "Saya sekadar tunjukkan minat dalam politik...itu saja," katanya.
Menurut beliau, pakatan pembangkang bukanlah musuh namun sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.
Diminta mengulas sama ada beliau sedar bahawa dengan kehadirannya hari ini akan menyebabkan Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata tidak takut mengenai perkara itu. "Saya rasa saya tak takut mengenainya (tindakan), saya lebih takut akan kesihatan saya sekarang ini...saya tak berapa sihat," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Sallehuddin Hashim turut mengesahkan bahawa hingga kini PKR masih belum menerima sebarang permohonan kemasukan Zaid mahupun Yong.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin./wann_

TPM: Kronologinya bermula beliau digantung kedudukannya dalam Umno. Dia tidak terpilih untuk mewakili BN bagi kawasan Parlimen Kota Bharu pada PRU12 dulu sebab dia bukan lagi Ketua Perhubungan yang sahih ketika itu. Namun PM merangkap Presiden UMNO telah memilihnya ke jawatan senator seterusnya dia menjadi Menteri di JPM mengepalai urusan undang-undang dan kehakiman negara. Dia dikatakan bermurah hati menguruskan bayaran ex-gratia bernilai jutaan RM kepada beberapa mantan Yang 'Arif yang dipecat lama dulu. Dia Dato' Zaid Ibrahim juga mantan YB Parlimen Kota Bharu itu punya pegangan tersendiri.

Dato' Zaid pernah menjemput MB Kelantan hadir jamuan di rumahnya di Kota Bharu. TG Nik Abdul Aziz Nik Mat telah hadir ke majlis itu. Lalu beliau dipandang menambah kontroversi yang sedia ada. Beberapa hari lalu pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan PKR, dia hadir. Memang logik alasan beliau selaku ahli politik demi minatnya yang mendalam dalam bidang politik dijempat ke majlis itu. Dia hadir dengan jelas, selaku ahli UMNO, belum dipecat.

Dato' Zaid tidak keluar dari UMNO. Dia lebih takut kepada kesihatan fizikalnya akan lebih terganggu dari takutkan tindakan pihak atasan parti tersebut. Ternyata Dato' Zaid punya prinsip yang mahal harganya. Dia bukan penakut atau pak angguk semata. Namun begitu setakat ini dia masih menafikan menyokong atau menyertai mana-mana parti dari Pakatan Rakyat musuh ketatnya itu.

Kita tidak tahu apa yang tersirat pada niat dan hati beliau. Namun tindakan beliau hadir ke majlis PKR @ majlis besar parti pembangkang yang sangat dimusuhi UMNO itu mencetuskan tanggapan 'lain' dan tambah menggetus perasaan UMNO. Memang UMNO mudah terasa dengan feel ahlinya yang sebegini. Ibarat anak dara tanpa restu ibu bapa telah berkunjung ke rumah lelaki yang amat dibenci mereka. Gadis itu sudah tentu menderhaka dan amat degil!

Kita rasa Dato Yong Teck Lee Presiden SAPP juga ada alasan tersendiri. Dia punya perinsip kukuh bertentangan dengan PM dan BN. Kehadirannya ke majlis besar PKR itu sudah tentu mengundang 'berang' di hati atasan BN. Dato YTL juga ketara degil dan menunjukkan kurang setia kepada pucuk pimpinan BN. Kedegilan YTL berdepan pihak BN ketara sejak berbulan lalu asalnya berfaktorkan ketidakadilan dalam BN sendiri. Orang Sabah menurutnya, baik YB atau rakyatnya dilepas-pandang oleh KL. Sudah tentu ada lagi faktor-faktor lain lagi yang tidak sempat dicatat di sini yang mungkin pula mejadi kejutan baru.

Dato' Zaid Ibrahim dan Dato' Yong TL telah berbuat sesuatu menurut prinsip masing-masing. Kita wajar hormati prinsip mereka. Untuk mendapat populariti? Kita rasa tidak. Kerana pengejar populariti selalunya ada motif lain lagi. Mereka berdua sudah popular dalam politik tanah air. Ada orang sanggup korbankan wang banyak untuk mempertahankan prinsip. Ada orang sanggup korbankan status bagi mempertahankan prinsip. Kita rasa mereka berdua punya alasan bagi pertahankan prinsip masing-masing.

Kita tunggu dan lihat arah angin yang akan bertiup. Kita juga mahu lihat 'angin' diri mereka akan kemana halanya. Barangkali nanti kita akan dapat melihat angin itu boleh menjadi ribut kuat di dalam cawan besar milik Pak Lah dan BN atau tidak. Ataukah akan bertambah sudu-sudu PR untuk mengacau keladak di dalam cawan besar BN sehingga ia semakin bergolak.



Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu ?
Oleh Jundullah

 Al-Fatihah kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail yang meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland dekat sini kira-kira 6.30 petang tadi dan takziah kepada seluruh ahli keluarga beliau. Pastinya kepetahan suara beliau menjawab soalan-soalan ahli parlimen akan diingati.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi Bernama hari ini. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau mengalahkan calon dari PAS, Hj Mohamad Sabu dan Maimun Yusuf (Bebas) dengan majoriti sebanyak 628 undi. Beliau memperolehi 32,562 undi berbanding lawannya memperolehi 31,934 undi dan calon Bebas hanya mendapat 685 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu, terdapat 1,357 undi pos bagi Parlimen Kuala Terengganu dan 1,089 dikira sebagai undi manakala 157 ditolak. Daripada 1,089 kertas undi pos yang dikira, 999 undi memihak kepada calon BN. Jika kertas undi pos ini ditolak, ia akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Petisyen memohon semakan semula keputusan telah difailkan oleh PAS Terengganu di Mahkamah Tinggi April yang lalu. Analisis yang dibuat tanpa undi pos, kemenangan akan memihak kepada PAS dengan jentera pilihan raya PAS Kuala Terengganu menyifatkan kira-kira 900 undi pos antara punca kekalahan PAS lalu kerusi itu dimenangi Razali yang memperoleh 32,562 undi manakala Mohamad Sabu meraih 31,934 undi.

Suruhanjaya Pilihanraya akan membuat keputusan tidak berapa lagi, dan ramai beranggapan satu pilihanraya kecil akan diadakan pada hujung bulan Disember. Maka dimana peluang PAS dan Pakatan Rakyat untuk merampas kembali dan menambah kerusi parlimen akan terbuka luas dengan kemungkinan ayam sabung PAS Hj Mohamad Sabu akan bertanding semula.

Sumber : Jundullah
Layari : http://pasjohorbahru.com/

TPM: Alfatihah buat almarhum. Moga Allah mengampuni dan merahmatinya. Ucapan takziah buat keluarganya. ' Setiap yang hidup akan menempuh kematian'.

Pastinya akan berlangsunglah lebih kurang hujung Disember ini satu lagi PRKecil bagi mengisi iklim politik negara kita. Ogos lepas PRKecil Permatang Pauh. Sejarah tercatat seorang mantan TPM (dan lain-lain jawatan menteri kabinet Malaysia), mantan timbalan presiden UMNO, mantan Ketua Pemuda UMNO, mantan Presiden ABIM dan SUA WAMY....dan mantan banduan Penjara Sungai Buloh.... kini menjadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Ahli Palimen merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat: Dato Seri Anwar Ibrahim.


Iklim politik sentiasa berubah bagai pantai yang dilanda bah. Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah dan Dato Seri Najib belum kebah dari demam PRU12. Bagai dilanda tsunami. Puing-puingnya masih bertaburan, belum dibaikpuih sepenuhnya. Isu-isu kebejatan dan kelemahan sebahagian pemimpin BN dan kekuncunya masih belum diberi penawar yang baik. Penyakit-penyakit dalam politik, ekonomi dan sosial belum dapat diubati atau didukuni oleh para pawang. Dalam pada itu kerajaan BN / UMNO yang berpenyakitan dengan menggunakan media perdana sedang sasau mencari kelemahan Kerajaan Pakatan Rakyat yang terbentuk di Kedah, P.Pinang, Selangor, Perak dan Kelantan (johan menunggu) selepas tsunami PRU12.

Pelbagai isu telah dijom-hebohkan dan akan dihebohkan oleh kedua pihak BN dan PK apatah lagi bila adanya PRKecil spt di Permatang Pauh dulu. Kini PRKecil akan diadakan di Kuala Terengganu! Apakah pula isu-isu yang akan dikorek-korek-korekkan? Kita tunggu. Harapannya agar para pengundi di kawasan tersebut akan bersabar, rasional dan memilih bakal wakil rakyat yang sesuai dengan harapan masyarakat Islam dan ikut membangun bersama Islam. Anda akan disoal kelak mengapa memilih pemimpin yang bukan memperjuangkan serta menjalankan dasar-dasar Islam.

SELOKA NASIB MELAYU

Aduhai malang nasibmu Melayu
dagang lalu disangka wali
rupanya dagang mencari pitis
ada tanah dilaburkan
anak sendiri hidup menumpang
ada bahasa dibuang-buangkan
bahasa penjajah juga dipandang
kerana anak lemah Inggeris
seluruh ilmu hendak diInggeriskan
aduhai malang nasibmu Melayu
ada pemimpin asyik bersengketa
hidup rakyat tidak terbela
orang lain berjalan lurus
engkau berjalan bengkang-bengkok
aduhai malang nasibmu Melayu
bahasa orang diwajibkan di universiti
bahasa sendiri kurang dipercayai

Baha Zain


TPM: Sebuah sajak keluhan Sdr Baha Zain mengajak kita menyorot nasib bangsa akibat tidak betulnya tadbiran pihak berkuasa Melayu sendiri yang lebih mementingkan kuasa, diri dan kekayaan. Jenis pemimpin Melayu beginikah mahu membela umat Melayu. Hendak bela dan pertahan agama?


NEW YORK: Harga minyak mentah di pasaran dunia menjunam ke paras bawah AS$50 setong, sekali gus menyaksikan kemelesetan ekonomi dunia semakin meruncing.

Kontrak hadapan minyak mentah bermutu tinggi, “Light. Sweet’ bagi penghantaran Disember menurun AS$4 kepada AS$49.62 setong dalam dagangan elektronik New York Mercantile Exchange (Nymex) di Asia, petang semalam.

Ketika dagangan ditutup, penghantar kontrak Disember ditutup kepada AS$48.64 setong, paras sama pada Mei 2005. Kontrak penghantaran tidak pernah di paras bawah AS$50 setong sejak 18 Januari 2007.
Kontrak New York turut memberi kepada pasaran minyak Brent North Sea untuk Januari di London. Brent menjunam ke paras terendah AS$47.82 setong, turun AS$3.64 sebelum ditutup AS$48.08 setong. BHO 20.11.2008.

TPMelaka: Itulah kenyataannya. Berita mutakhir penurunan harga minyak global sudah pasti melegakan kita semua selaku rakyat Malaysia dan pengguna. Berita TV pagi ini melaporkan harga minyak di negara ini akan turun lagi menjelang 1 Disember nanti. Kita berharap dan sedia menanti. Namun yang paling kita harapkan ialah ikut turunnya harga barangan keperluan di pasaran yang dulunya ikut melonjak naik bila harga minyak melonjak naik, tetapi tidak turun-turun setelah kerajaan mengistiharkan 5 kali turunnya harga minyak. Kini RM2 seliter.

Harga barangan di beberapa supermarket dan mall di bandar dah ikut turun sebagai respons dari gesaan pihak kerajaan khususnya Datuk Shahrir agar menurunkan harga.

Tetapi supermarket dan mall itu letaknya di bandar2 besar, bagaimana dengan kedai2 runcit dan para pemborong biasa? Mereka tidak pun menurunkan harga barangan hingga ke hari ini. Sesetengah barangan tu, ada yang semakin mahal! Mereka punya jawapan dan alasan tertentu kenapa mereka masih menjual barangan keperluan dengan harga tersebut.


Golongan kaya dan serba mudah akan semakin kaya dan mudah. Golongan marhein / miskin yang majoriti rakyat pula akan semakin miskin dan sukar. Maka wajar benar pihak berkuasa memantau dan mengambil kira kesusahan rakyat jelata semasa fenomena ekonomi global yang kian meruncing ini.


Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
" Sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang jahat (fajir)"- riwayat al-Bukhari.

Pada hadis di atas Rasulullah s.a.w mendedahkan satu hakikat yang wujud dalam perjuangan menegakkan Islam bahawa umat Islam hendaklah mengambil sikap bijaksana sepanjang masa. Baginda mendedahkan bahawa barisan pejuang-pejuang dan pendokong-pendokong Islam tidak selamanya terdiri daripada mujahid mu'min yang soleh, berjuang dengan ikhlas untuk menegakkan Islam demi mematuhi seruan Allah dan mencari keredhaan-Nya.

Namun di dalam barisan itu tidak kurang wujudnya manusia-manusia fajir yang sering bermaksiat, munafik dan tidak beriman ikut berjuang. Pada zahirnya mereka gigih memperkuatkan Islam dan Islam benar-benar mendapat kekuatan hasil perjuangan mereka, tetapi jasa-jasa mereka yang baik kepada Islam itu tidak membawa sebarang nilai di sisi Allah. Perjuangan dan jihad yang sebenar mestilah terpancar dari iman dan keyakinan tidak berbelah bahagi terhadap Allah dan rasul-Nya.

Siapa pejuang fajir @ jahat itu?

Syeikh al-Maraghi menyebut, manusia fajir itu adalah sesiapa yang melanggar syariat Allah dan mencabul kehormatannya. Syeikh Al-Asfahani pula menyatakan perbuatan fajir ialah pencabulan terhadap kehormatan Islam. Seseorang pembohong juga adalah fajir @ jahat kerana berdusta merupakan satu sifat keji. Ibn Athir menjelaskan, " Manusia fajir ialah orang yang bergelumang dalam maksiat dan perbuatan-perbuatan haram".

Jadi setiap orang sama ada pejuang atau pemimpin umat Islam yang melakukan maksiat atau perbuatan haram yang kononnya berjuang menegakkan Islam maka dia adalah seorang yang fajir / fasik dan munafik. Menurut Syeikh Al-Hifni, " Termasuk di dalam golongan manusia fajir ialah orang 'alim yang tidak beramal dengan ilmunya sedang orang lain mendapat faedah dan beramal dengan ilmu yang diajarnya". Syeik Al-Manawi pula menggolongkan " Pemerintah yang zalim adalah juga golongan fajir @ jahat."

Syeikh Al-Hifni juga mencatatkan asal hadis di atas bahawa Nabi s.a.w melafazkannya sewaktu baginda melihat seorang tentera berperang hebat dalam pertempuran Khaibar dan berjaya mengalahkan orang-orang kafir sedang dia adalah munafik; lalu Nabi s.a.w menyatakan kepada para sahabat bahawa tentera itu adalah penghuni neraka. Sahabat-sahabat kehairanan kerana mereka ketahui yang lelaki itu telah berjaya menewaskan ramai musuh dan dia sendiri parah. Malamnya lelaki itu tidak juga mati namun dia telah membunuh dirinya kerana tidak tahan menderita sakit. Bila berita itu tiba ke pengetahuan Nabi, lalu baginda bersabda mafhumnya: " Aku adalah hamba Allah dan rasul-Nya, sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang fajir".

Peristiwa yang melahirkan hadis ini jelas menjadi panduan, bagaimana seorang yang bermati-matian berjuang mempertahan dan menegakkan Islam sedangkan dirinya fajir @ jahat lagi munafik. Perjuangan yang tidak ikhlas itu tidak menyelamatkannya dari azab neraka kerana dia masih mengerjakan amalan yang bertentangan dengan perjuangan sejati untuk menguatkan Islam itu.

Seorang orientalis J. Milton Cowan ketika memberi erti kepada kalimat 'fajir' dalam kamusnya telah membariskan sifat-sifat jahat berikut: libertine, profigate, roue, rake adultere, liar, insolent, impudent, shamless, bazen; yang membawa makna suka berzina, tidak menghormati wanita, cabul, cendala, hamba nafsu, berakhlak jahat, tidak bermoral, jahat dan kejam, pembohong, kasar budi, kurang ajar, tidak bermaruah dan tidak punya rasa malu.

Sejarah Islam mencatatkan sejak dahulu hingga kini bahawa terdapat banyak manusia fajir @ jahat itu telah dapat mengabui mata masyarakat dan umat Islam dengan perjuangan mereka yang gigih untuk menegakkan Islam, padahal hakikatnya perjuangan mereka itu bukanlah ikhlas tercetus dari dorongan iman dan demi mencapai keredaan Allah; malah kelakuan mereka masih tetap tidak terlepas dari amalan maksiat dan dosa-dosa besar.

Maka tidak hairanlah jika terdapat golongan seperti ini di dalam negara kita; mereka memberi sumbangan jasa pembangunan dan kemajuan kepada masyarakat Islam, sedangkan mereka sendiri tidak meninggalkan perkara-perkara maksiat dan tidak mencegah kemunkaran yang berleluasa di depan mata walau pun mereka memiliki kuasa untuk membendungnya.





Hari demi hari, makin banyak manusia yang suka menderhaka kepada Allah dengan meninggalkan perintah Allah dan sanggup melakukan perbuatan yang ditegah oleh-Nya. Manusia semakin liar dan lalai sehingga mahu membuat apa saja menurut kemahuan nafsu, walaupun bertentangan dengan fitrah atau semulajadi penciptaannya.

Di antara kejadian semula jadi / fitrah yang disyariatkan oleh Allah kepada manusia ialah lelaki menjaga sifat-sifat istimewa kelakiannya seperti yang telah diciptkan; dan kaum wanita menjaga sifat-sifat istimewa kewanitaannya sebagaimana asal diciptakan Allah. Ini merupakan satu faktor penting untuk para hamba-Nya bersyukur serta menjalani kehidupan dengan normal dan sejahtera.

Namun terdapat para lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya, padahal tindakan itu adalah menyalahi fitrah atau undang-undang kebiasaan menurut asal kejadian. Hal ini akan mengakibatkan fitnah, kerosakan dan kepincangan dalam perilaku kehidupan bermasyarakat. Perbuatan songsang ini adalah haram dan dilaknat oleh Islam. Para pelakunya sudah tentu mendapat dosa besar yang memusnahkan diri sendiri dan orang lain.

Sebuah hadis marfu' yang diriwayatkan oleh Abdullah bin 'Abbas r.a bermaksud: Rasulullah s.a.w melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

Abdullah bin "Abbas r.a juga meriwayatkan hadis yang berkaitan maksudnya:
Rasulullah s.a.w melaknat lelaki yang bertingkah laku seperi wanita dan wanita yang bertingkah laku seperti lalaki.

Penyerupaan yang dimaksudkan bersifat umum. Misalnya dalam melakukan gerakan anggota tubuh, dalam percakapan, corak berjalan dan dalam seluruh gerak diamnya seperti cara berpakaian, berambut panjang dan berdandan. Lelaki tidak boleh memakai gelang, kalung, anting-anting, gelang kaki atau berhias muka seperti perempuan. Sama ada mereka digelar pondan, bapok, si lembut atau maknyah oleh masyarakat atau tidak, golongan ini tetap luar biasa / abnormal.

Kadangkala golongan ini sengaja mengguna perilaku mereka buat memikat serta memuaskan nafsu sesama jenis / homoseks sambil mencari wang melalui pelacuran dengan lelaki lain. Malah ada di kalangan mereka yang berbangga dan sanggup menukar jantina. Berlakunya cinta sejenis, sodomisma, perbuatan liwat dan seumpamanya seperti kaum Nabi Lut a.s yang kufur, fasiq dan tidak bermoral itu; akan menempah ancaman kebinasaan yang lebih teruk dari Allah..

Kaum wanita juga ditegah keras memakai pakaian yang direka khas untuk kaum lelaki walaupun menutup aurat atau kononnya nampak sopan. Mereka dilarang sengaja bersifat seperti lelaki dengan lagak berambut pendek, cara berjalan, makan minum, bercakap dan sebagainya sehingga rela dikatakan seperti lelaki, malah ada yang bernafsu terhadap sesama perempuan hingga mengakibatkan berlaku pula perbuatan lesbian / seks sesama jenis wanita.

Jadi perbuatan sumbang dan abnormal ini sangat menyalahi syarak dan akhlak Islam ini adalah bermula dari peniruan / penyerupaan sifat-sifat yang dilarang tadi.

Perbuatan dan tindakan demikian boleh merosakkan masyarakat; akibatnya akan timbul pula penyakit-penyakit kronik sampingan yang lebih sukar diubati dan akhirnya akan membinasakan umat dan agama Islam.

Kaum lelaki dan wanita mestilah menjaga hak dan perbezaan jenisnya dengan bertindak memakai pakaian yang sesuai dengan fitrahnya sepanang masa, walau di mana mereka berada. Allah Taala Yang Maha Mengetahui telah mensyariatkan peraturan-peraturan yang sesuai dengan kejadian hamba-hamba-Nya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya:
Allah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.

Berleluasanya perbuatan haram / abnormal ini di dalam masyarakat bermakna makin berleluasanya manusia menempah laknat Allah.