Di dalam Islam, solat (sembahyang) merupakan kewajipan paling utama bagi penganutnya yang akil baligh dari semua lapisan, tapa pengecualian selama nyawa dikandung badan. Solat 5 waktu itu haram/berdosa besar ditinggalkan dengan mudah demi alasan yang tidak syar'ii.

Andainya ada orang yang mengatakan dia tidak tahu, maka dakwaan itu adalah suatu kepura-puraan disengajakan semata-mata untuk menipu Allah, padahal dia menipu dirinya sendiri. Di zaman ini sepatutnya tiada seorang pun penganut Islam yang siuman/waras masih jahil tentang kewajipan solat 5 waktu ini.

Tiada sebab yang yang halal bagi seseorang Islam meninggalkan solat selain dari haid atau nifas atau tertidur atau terlupa sehingga luput waktu solatnnya. Jika seseorang meninggalkan solat selain faktor itu, maka ertinya dia sengaja mengingkari perintah Allah atau dihalangi syaitan dari menunaikannya sebab mabuk minum arak atau berjudi; sebagaimana kenyataan Allah di dalam ayat 91: Surah al-Maidah bahawa sebab arak dan judi, sehingga godaan syaitan itu menghalang manusia dari mengingati Allah dan menunaikan solat.

Kita amat dukacita kerana masih ramai umat Islam kini yang berterusan memperkecilkan mustahaknya solat 5 waktu. Lebih dahsyat lagi terdapat kalangan pemimpin kita atau tokoh-tokoh masyarakat yang dihormati itu sengaja mengabaikan solat fardhu. Mereka lebih menumpukan masa kepada hal-hal yang bukan perkara asas dalam Islam.

Mereka boleh sibuk dalam perayaan atau sambutan Maulid Nabi s.a.w, majlis Isra' Mi'raj, majlis Tilawah al-Quran, akedami nasyid, akedami al-Quran, seminar-seminar dan muktamar anjuran negeri atau kebangsaan; seolah-olah menjadi ukuran islamiknya atau bantuan besar kepada tertegaknya Islam melalui cara sedemikian, sedangkan mereka tidak menunaikan solat 5 waktu atau sengaja melengah-lengahkannya.

Ukuran yang sebenarya terletak kepada tiang agama iaitu mengerjakan solat. Siapa yang menegakkannya maka tegak-teguhlah agama. Sebaliknya siapa yang meninggalkannya bermakna dia memusnahkan Islam pada diri sendiri dan masyarakatnya. Menunaikan solat farhdulah sebenarnya bererti jasa bakti mereka menegakkan agama Islam.

Tugas sebagi pemimpin / tokoh masyarakat memang banyak, berat dan sulit. Tetapi itu semua bukanlah menjadi alasan hingga tidak sempat untuk bersolat, untuk bersyukur kepada Allah dan mengingati-Nya. Fardu solat 5 waktu itu adalah kemestian yang tidak boleh dipisahkan sama sekali betapa sibuk sekalipun pemimpin/tokoh masyarakat itu dengan tugas-tugas sehariannya. Hubungannya dengan Allah dengan solatnya jangan sekali-kali diabaikan. Betapa bijak sekalipun kita, namun sebagai orang Islam kita tetap perlukan hidayah Allah dalam setiap langkah dan aktiviti yang kita lakukan.

Dari penjelasan al-Quran, ternyata hikmat besar perintah menyuruh setiap muslim menunaikan solat ialah supaya terhalangnya dari melakukan apa jua perbuatan jahat, sumbang. tidak jujur, hina, dibenci dan lain-lain perlakuan yang tergolong di dalam senarai perkara-perkara mungkar, tidak berakhlak dan tidak berperikemanusiaan.

Para pemimpin atau tokoh-tokoh masyarakat mesti menjauhi kelakuan yang hina dan menjerumuskan diri dengan amalan dosa. Mereka mesti bertindak betul, amanah dan adil. Mereka wajib membuat keputusan yang saksama, tepat dan sesuai dengan kepentingan rakyat. Perbuatan dan tindak-tanduk mereka hendalah tidak lari dari landasan-landasan kebenaran, perikemanusiaan, berakhlak mulia dan tinggi budi-pekertinya.

Apakah yang dapat menghalang mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang hina, melakukan penyelewengan, mengetepikan kebenaran dan membuat keputusan-keputusan yang berat sebelah? Apakah yang dapat menyekat mereka dari sifat kepentingan diri, melanggar lunas-lunas peri-kemanusiaan, khianat, menindas, berbuat zalim, menyebar fitnah sesama sendiri dan melakukan rasuah sewenang-wenangnya? Apakah yang dapat menahan nafsu mereka dari minum arak, berjudi, berzina atau mengerjakan perkara-perkara haram; sedangkan mereka adalah tokoh-tokoh yang diberi kepercayaan memimpin masyarakat? Semuanya tidak dapat dihalang, disekat dan ditahan seandainyai faktor penghalang utama iaitu SOLAT tidak dikerjakan/tanpa kekal mengabdikan diri kepada Allah melalui solat fardhu 5 waktu itu.

Kita tidak mahu adanya para pemimpin/tokoh-tokoh masyarakat kita menjadi sasaran kecaman akibat hanya tahu menyuruh rakyat berpegang kepada ajaran Islam atau menjadi rakyat yang baik sedangkan mereka sendiri tidak mengerjakan solat dengan sempurna atau hadir solat hanya pada waktu-waktu sempena/ hari-hari tertentu sahaja.

Kita mahu melihat para pemimpin/tokoh-tokoh masyarakat kita disanjung, disegani dan dihormati kerana jasa baik, kewarakan dan ketekunan mereka dalam mendekatkan diri kepada Allah dengan solat fardhu 5 waktu.

Selain kewajipan setiap diri muslim kepada Allah, solat mengandungi banyak hikmat yang langsung membentuk diri muslim yang berdisiplin, sentiasa waras, berjiwa besar dan bersih, bersifat merendah diri kepada Maha Penciptanya; semuanya ini amat penting dan bernilai sewajibnya ada pada diri setiap pemimpin dan tokoh masyarakat.


SEKARAT

bagai sampan kecil dioleng ombak besar
samudera yang saujana. sesekali
terlambung tinggi, sesekali ngeri

serangga senja kesasar mencari sarangnya
sebelum kelam menyingkir terang siang

sang maut tidak digaduhkan lain urusan
dengan tali pancingnya perlahan atau kejam
akan menyentap harapan,
sebelum ditelan atau kehabisan umpan.


Rabiul-akhir 1420
Racun Abadi 2001.



Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (183) Surah al-Baqarah.

Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t menyatakan bahawa dalam setahun ada dua belas bulan. Salah satu dari bulan-bulan mengikut kalendar Islam ialah bulan Ramadhan, bulan ke sembilan. Pada tahun keempat hijrah, umat Islam telah disyariatkan supaya mengerjakan ibadat berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan. Ibadat ini adalah termasuk di dalam Rukun Islam. Jadi, tiap-tiap orang Islam yang mukallaf wajib mengerjakan puasa.


Perkataan ‘puasa’ disebut ‘soum’ di dalam bahasa Al-Quran yang bererti menahan diri daripada makan, minum, bercampur dengan isteri dan lain-lain yang membatalkan puasa mulai terbit fajar (subuh) hingga saat tenggelam matahari (waktu maghrib). Dalam jangak masa siang tersebut, orang-orang beriman mestilah mengawasi diri mereka dari melakukan sesuatu perbuatan yang ditegahkan oleh hukum Islam.


Amalan berpuasa ini juga pernah diwajibkan oleh Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang terdahulu. Difardhukan kepada umat nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Berpuasa juga merupakan sejenis amalan umum (universal) yang ada pada kebanyakan ajaran agama.

Dalam syariat Islam, amalan ini difardhukan bertujuan melatih manusia supaya bertaqwa, menilai diri dalam kepatuhan dan taat setianya terhadap perintah Allah di samping berpantang dengan larangan-larangan-Nya.

Demikian pula Allah akan memberikan ganjaran yang besar kepada hamba-Nya yang berpuasa sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud, “ Setiap amalan Bani Adam itu adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya”.(riwayat Abu Hurairah). Dalam hal ini Imam al-Qurtubi dalam tafsirannya mengatakan bahawa ‘puasa sebenarnya adalah merupakan (hubungan) rahsia di antara hamba dengan Tuhannya’.

Firman Allah yang bermaksud:

“ (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin, maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (dari memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (184) Surah Al-Baqarah.


Puasa sebulan pada bulan Ramadhan yang diwajibkan itu mempunyai kelebihan yang besar. Namun begitu bagi sesiapa yang sakit, keuzuran yang tenat ataupun bersafiran yang diharuskan oleh syarak (perjalanan jauh melebihi dua marhalah = 90km) seperti kerana belajar, mencari rezeki, menziarah saudaranya sesama Islam dan sebagainya; maka mereka diberi keringanan untuk berbuka untuk memakan ubat atau mencegah kepenatan selama masa sakit atau perjalanan. Namun begitu mereka wajib pula mengganti puasanya bagi hari-hari puasa yang ditinggalkan itu pada hari-hari lain selepas bulan Ramadhan. Tetapi jika mereka tidak juga berupaya untuk menggantikannya, mereka dikehendaki membayar fidyah menurut peraturan yang ditetapkan syarak.

Begitulah kemudahan yang diberikan oleh agama Islam, dalam pada memerintahkan sesuatu kewajipan, ia juga memberi keringanan (rukhsah) berdasarkan keupayaan diri masing-masing hamba Allah yang beriman, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan” (Surah Al-Baqarah: 286)


SETELAH LAMA DIAM

setelah lama diam
senyap bersemi dalam kelam kurungan
dia merempuh satu persatu jaring hijab itu

dinding labirin yang menggari hayat
masih kebal. karat mazmumah apakah
kejap tegar memaku pintu
benar wujudkah laman luas
di hujung sana

tanpa menafikan bukti dan lambang
mengharap mimpi dan kenyataan
lorong hakiki itu
tetap menjaluri pembuluh akal

walau saraf rasa dilusuh usia
namun mata basirahnya celik ceria
sempat menangkap erti ke dalam diri
pancaran mahmudah itu
menyinari seluruh sanubari.

Ramadhan, 1421
Beris Kubor Besar.
Racun Abadi 2001.



MENCARI DETIK MUQABALAH

Dia faham benar rukun sejahtera sebagaimana mengenal
serabut sengketa. Musuhnya kini kehilangan kubu dan
senjata. Rakannya membayang wajah asing dan mengerikan
dia lagi kesasaran

dia faham benar lubuk puaka sebagaimana mengenal
sergahan karma. Sahabatnya kini mencampak benci dan
maki. Seterunya menyatakan senyum akrab dan mengujakan
dia lagi tergamam

Detik muqabalah itu umpan segar punya cangkuk
tajam laksana manis pengidaman atau helaan tali,
nanti disentak mati. Adakah.

28 Rejab 1429,
Kota Bharu.


Pada zaman sekarang, bersalaman tangan (hingga kadang-kadang berpelukan kerana lama tidak berjumpa) antara lelaki dgn perempuan hampir sudah menjadi tradisi. Antara pemimpin sesama pemimpin atau rakyat, antara guru dengan murid, sahabat handai, lakonan artis2 drama dalam tv @ filem dan acara pemberian anugerah atau hadiah. Semua itu dapat kita tonton secara langsung depan mata atau pada kaca tv. Maka itulah menjadi ikutan masyarakat.

Tradisi hina itu meruntuhkan akhlak Islami yg mesti ditegakkan. Bahkan kalangan mereka yg menganggap kebiasaan itu jauh lebih baik dan tinggi nilainya dari syariat Allah yg mengharamkannya. Amalan itu dikatakan mereka tidak menjadi soal asalkan hati ikhlas, tiada niat jahat di sebaliknya. Malah kalau diajak berbincang segi syariatnya amalan demikian, anda akan dianggap kolot out of date. ekstrim, susah didekati, putus silaturrahim dan berbagai alasan yg bercampur dgn kejahilannya. Maka jadilah bersalaman tangan antara sepupu, ipar, biras, isteri bapa sauadara, suami ibu saudara lebih cepat dari pandangan mata.

Seandainya mereka tahu nasihat syarak, kemudian difikir secara jernih bahawa amalan itu adalah dosa; tentu mereka tidak akan meneruskan amalan dilarang itu. Sentiasa melakukan dosa, akan memudahkan berlakunya amalan dosa yg lebih besar. Akhirnya menjadi fasiq, nauzubillah min zaalik.

Rasulullah s.a.w bersabda yg maksudnya: " Sungguh ditusukkan salah seorang dari kalian dengan jarum dari besi lebih baik dari dia menyentuh wanita yg tidak halal baginya"- hadith riwayat al-Tabrani.

Rasulullah s.a.w menyatakan hal demikian adalah zina tangan, sebagaimana sabda baginda mafhumnya: " Kedua mata berzina, kedua tangan berzina, kedua kaki berzina dan kemaluan pun berzina"- hadith riwayat Ahmad ibn Hanbal.

Dan adakah lagi orang yg hatinya lebih baik dan bersih dari hati Nabi Muhammad s.a.w ? Namun begitu Baginda menjelaskan maksud: " Sesunguhnya aku tidak menyentuh tangan perempuan"- hadits riwayat Ahmad ibn Hanbal.

" Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan wanita" - hadith riwayat at-Tabrani.

Dan dari 'Aisyah r.a dan beliau berkata, maksudnya: " Dan demi Allah, sungguh tangan Rasulullah s.a.w tidak (pernah) menyentuh tangan perempuan sama sekali tetapi beliau membai'at mereka dengan perkataan" - hadith riwayat Muslim.

Hendaknya takut kepada Allah, orang2 yg mengancam cerai isterinya yg solehah kerana tidak mahu bersalaman tangan dengan rakan2nya. Perlu diketahui bahawa bersalaman tangan berlapik @ memakai alas terhadap lawan jenisnya yg bukan mahram, hukumnya tetap haram.

Salam yg sebenarnya adalah ucapan Assalamualaikum, bukan semestinya bersalaman tangan dgn bukan mahram yg mengakibatkan dosa itu.

Taqwa seseorang itu ialah menghindari segala dosa dengan kemahuan yg sebenar2nya dan takut akan melanggar larangan Allah dan rasul-Nya..



RELATIF

Kemungkinan kalimat sukar menjadi baris
selain terselam pada kesibukan suara
sebelum sempat kautulis apa-apa

Dengan silukah atau berani
kau menafsir rangkap apologi
deru nafas dan dasar ingatan
berhanyutan menyatu diri
bagai malam di biara sepi

Kita adalah penyaksi
kehidupan dan rasa murni
kata-kata pula barang bahasa
lahir dari sedar; tetapi
sesekali bagai jalan kota
bergaris
berbahagi
berbulatan
bersimpangan
mahunya kita mengekal haluan.

KL.
Racun Abadi 2001.

Dua tiga hari lepas saya menerima SMS dari seorang kawan, catatan beliau seperti berikut:

Tadi saya jumpa seorang bukan Islam. Dia nak jual sekeping syiling yang ada gambar kaabah dan ayat Yasin dengan harga RM120/=, kebetulan saya tiada wang sejumlah itu..

Saya yang mengagak beliau hendak mengetahui khasiat syiling tersebut dari segi perubatan atau kelebihan lain lantas menjawab bahawa tiada khasiat apa-apa benda itu. Jangan mudah percaya, sebab ianya boleh menjerumuskan kita kepada tahyul dan khurafat. Orang itu hanya mahu wang RM120/= sahaja. Nanti menyesal jika membelinya. Rugi saja-saja.

Beliau kemudian membalas:
Memang saya tahu khurafat / tahyul tapi rasa tak sedap (hati-p) duit tu ada pada orang cina...dia kata nak letak depan tokong dia.

Saya menjawab pula dengan pesanan ringkas:
Salam. Lupakan dari ingatan saudara. Tiada apa-apa yang jadi persoalan. Cuma cubaan nak usik minda. Jangan tergugat. Tak berdosa kita walaupun katanya nak diletak di tokong. Lebih baik disedekahkan wang itu kepada yang lebih memerlukan seperti murd kita yang daif di sekolah.

Saya sengaja mencatat kembali hal tersebut di sini agar menjadi renungan. Bahawa banyak perkara menduga hidup kita seharian. Menduga fizikal kita dengan penyakit / kemalangan. Menduga mental kita dengan persoalan2 rumahtangga, keluarga, perasaan, harta benda dsb.
Menduga iman kita sama ada dari segi akidah, keyakinan, kemantapan kepercayaan dan lain-lain yang berkaitan dengan perkara ghaibiyyat. Tentang akhirat dan hal ehwalnya, sebagai contoh. Atau tentang syariat dan muamalat.

Ikut tercabar minda kita ialah suasana alam persekitaran kita , sesama manusia lain baik sesama Islam atau bukan Islam. Ianya berkisar di dalam rungkup/ruang lingkup sosial, politik dan ekonomi hidup sementara ini.

Kita akan rugi selamanya, bukan saja tidak untung atau pulang modal.
Allah swt menjelaskan setelah sumpah-Nya 'Demi masa'. Mafhum firman itu: Manusia yang untung ialah Orang2 yang beriman (memahami, menghayati Rukun2 Iman dan mengamalkannya), beramal soleh (melakukan kebaikan menurut kehendak Allah dan Rasul melalui cara menatap al-Quran dan hadis atau baca buku2 agama/ mendengar pengajaran orang2 'alim yg muktabar). Maknanya mengerjakan perkara pahala di samping takut sangat dengan hal2 dosa. Itulah sifat taqwa.

Allah swt juga menyuruh kita berpesan2 memberitahu perkara benar, beristiqamah dengannya. Kebenaran hanya pada nas al-Quran dan hadis, bukan semata-mata akliah / bergantung pada pemikiran; apatah lagi pemikiran orang2 bukan Islam yang bertentangan dengan nas.

Kita juga diperintah agar berpesan2 supaya bersabar seumur (sokmo) hidup. Sabar mengerjakan perintah Allah. Sabar menanggung dugaan hidup. Sabar mempertahankan kebenaran. Sabar mengerjakan pahala, menghindari dosa. Sabar terhadap tibanya bala bencana. Berpesan2 itu tandanya ada ukhwah sesama manusia beriman. Saling prihatin dan punya tanggungjawab terhadap sesama manusia kerana Allah.

Perbuatan orang bukan Islam yang hendak meletak syiling berlukisan gambar kaabah dan coretan khat ya dan siin itu di tokongnya itu dia punya pasal. Tidak akan tergugat agama kita, malah seolah dia sendiri mengagumi benda itu; tetapi mengapa tidak menerima dan mengagumi agama Islam sendiri. Itulah jelasnya sifat kufur mereka.

Kawan saya itu juga mengutus SMS bercatatan:
Apa cara hindari fitnah dan umpat/keji orang?

Nak saya jawab melalui SMS nescaya agak panjang. Maka saya cuba catat di blog ini agar beliau dan kita dapat berkongsi pandangan.

Kerja fitnah, umpat/keji ini adalah dosa besar. Fitnah mudahnya bermakna sengaja menimbulkan angkara jahat terhadap masyarakat atau individu. Selalunyanya fitnah itu tidak berasaskan kebenaran. Umpat pula menjaja/menceritakan hal buruk seseorang individu kepada orang lain (termasuk perbuatan gossip) bertujuan menjatuhkan maruah atau orang yg diumpat itu menerima kesan/ pada buruk. Manakala perbuatan keji mengeji bermaksud menghina orang lain secara berdepan, di media2 letronik, blog atau akhbar> hubaya2 kerja sebagai wartawan!

Untuk menghindari fitnah/umpat/keji orang memang sukar selama manusia punyai sifat2 mazmumah antaranya dengki, khianat, sombong, jahil, ikut nafsu jahat (ammarah bissu') dll.
Namun kita perlu mencari jalan lagumana hendak menhidari perkara tersebut. Pada pandangan saya:
1. Kukuhkan iman terhadap Allah dan Rasul-Nya.
2. Bertawakkal kepada-Nya.
3. Suka mengerjakan amalan baik dan berkeras/ nekad mahu menjauhi dosa/ maksiat.
4. Berdoa agar diselamatkan Allah dari menjadi bahan fitnah/umpatan dan kejian orang.
5. Hindari diri kita dan k'ga kita dari amalan fitnah/umpat/keji terhadap kepada orang lain.
6. Jauhi sifat2 mazmumah spt sombong, berkepentingan diri, merasakan diri kita lebih dll.
7. Berusaha menghayati sifat2 mahmudah spt membersih hati, sabar, bertenang, ingat Allah sokmo dll.

Ya Allah ampunilah kami dan kedua ibubapa kami.
Ya Allah jauhilah kami dari sifat2 mazmumah, fitnah, umpat dan keji orang.
Letakkan di hati kami sifat2 mahmudah dan hiasinya dengan nur hidayah dan rahmat-Mu sentiasa.
Aamiin.


CELUPAR

Sewajarnya kepalamu dipanah petir
atau balasan celupar itu kau dimamah
kifarat sepanjang hayat. gigi dan bibir
adalah pagar dan sekat suara sebelum ini
berleluasa. tetapi kau ganas melampauinya

kencang angin menyaman kampung setelah
dihadang pohon-pohon, tetapi kau melepaskan
celupar di luar sedar.

Mac 1990
Racun Abadi 2001

Suatu petang pada pertengahan tahun lepas, saya berada di sebuah restoran bersama seorang kawan. Minum petang secara kebetulan setelah bertemu dengan kawan yang lama tidak berjumpa.

Sedang kami bercakap-cakap, masuk seorang hamba Allah yang agak kusut masai personalitinya. Nampaknya dia seorang yang 'kurang' apabila dia kelihatannya banyak berbicara seorang diri. Sambil memandang kami pelanggan-pelanggan yang ada, dia bertutur lancar dan agak kuat suaranya. Mungkin ingin menarik perhatian kami semua. Antara butir-butir kata yang sempat saya denngar ialah:

" kita lo ni kena peritah ko hatu-hatu . banyak hatu-hatu jadi oghe besa, pelik sungguh". (kita sekarang diperintah oleh hantu-hantu. banyak hantu menjadi pemimpin, pelik sungguh).

Seorang pelanggan yang ada kedengaran bertanya mengapa dia berkata demikian.
Dengan cepat dia menjawab:

" bakpa tidaknya, ada puak tu hak patut kena reje bokte kih zina. telibat kih eda dadah, patut kena gatung mati. tapi telepah, ada kih bunuh oghe, patut kena bunuh balik, tapi sume dok hido' lagi. tak kena hukung, jadi oghe besa kita pulak tu". ( Kenapa tidaknya, di kalangan mereka yang patut kena rejam sebab berzina, terlibat kes edar dadah, sepatut kena hukuman gantung hingga mati tapi terlepas, ada kes bunuh orang, patut kena hukum bunuh balik, tetapi semuanya masih hidup, tidak dihukum, malah ada yang menjadi pemimpin kita pula).

Kami berpandangan sesama sendiri mendengar hujah orang yang kami anggap 'kurang' itu. Sama ada benar tidaknya kata-kata beliau, kami rasa perlu ambil masa untuk berfikir sejenak dua. Hal ini ada kaitan dengan urusan pentadbiran dan undang-undang yang diamalkan di- negara kita sejak lama. Tidak Islamik. Cuma kita dapat katakan ' apa boleh buat ', sampai bila kita kena ikut mendendangkan lagu Si Luncai itu, biarkan...biarkan.

Sedikit coretan kisah benar itu memberi ingatan kepada saya betapa 'orang kurang' pun boleh menilai suasana yang berlaku di tanah air tumpah darahku ini. Saya rasa kegawatan yang terjadi, yang mungkin akan menempah bencana yang semakin berat kepada bangsa dan negara adalah merupakan hukum karma kerana kejahilan dan kefasikan yang berleluasa.

Tetapi malangnya bagi sesetengah orang , mereka tidak menyakini apa-apa bencana yang berlaku sebagai hukuman Tuhan. Akibat ego dengan ilmu dan kuasa, mereka lebih suka menganggap bencana itu adalah biasa saja, fenomena alam dan sebagainya.

Ingatlah bahawa Allah Taala telah menyatakan bencana dan kerosakan yang berlaku adalah akibat perbuatan tangan ( kuasa & sengaja) manusia sendiri. Allah Taala juga menceritakan semula kisah kerajaan @ umat-umat terdahulu yang musnah adalah kerana kemungkaran mereka menolak hukum-hukum Allah dan para rasul-Nya di samping tidak amanah (khianat) , tidak adil (zalim) dan membiarkan berbagai kemaksiatan berlaku. Malah mereka menentang hebat para rasul, nabi-nabi dan orang-orang menegakkan kebenaran.
Semua itu adalah 'ibrah/ pengajaran kepada kita semua.


WASWAS 50-50

Era serba-salah telah mengepung minda
mengetepi serba-benar adalah punca
tidak keruan itu

Kita dialogkan dengan publik
bahawa menduakan standard ini,
penyakit waswas 50-50 amat sukar diubati.
Hebahkan seluruh pelosok mencari dukun terpakar

Atau lekapkan tangan di hati
tanya tenang di sebalik degup yang tersembunyi.

05.03.1993
Racun Abadi 2001.


PARAGRAF UNTUK PM

Tanah air yang kita usaha dengan peluh
dan minda punya ideologi wangsa
berbagai. Laksana rumah pangsa
berpenghuni ramai

Memerlukan aturan petak sama
lulus rencana benar pembahagian, adil

Negara bagus, tuan diampun Tuhan.


Kota Bharu.
Racun Abadi 2001.

Meneliti akbar2, menonton warta pada kaca tv dan mengunjungi blog2 hingga ke hari ini kita dirundung kelam-kabut. Tak habis2 berita dan ulasan selari yg sensasi memualkan. Dari satu macam rasa tidak puas hati @ dendam @ tidak mahu menerima kenyataan, maka berekorlah episod umpat, tuduh, fitnah dan langgaran hukum naqli serta akli.

PM Pak Lah dan gabungan parti2 Be Endnya diserang gugup selepas banyak kehilangan darah daging akibat pukulan hampir maut PRU12. Tun M dan rakan2 sewaktu dengan beliau terus menyalahkan Pak Lah & menantu & rakan2 4th floornya, langsung menyuruh Pak Lah undur sambil meniup angin agar bara kemarahan org2 parti Melayu itu ikut mendesak Pak Lah undur.

Desakan itu sama nadanya dengan kemahuan parti2 dalam PR. Bagai yg kita tahu alih2 Tun M yg undur dari parti kebangsan itu dgn janji akan sertai balik selepas Pak Lah undur. Demam tak kebah org2 Be End akibat kekalahan teruk semakin menjalar sakit.

DSAI pula selaku pemangkin PR mula menjaja ambisi pihak PR hasil kemenangan PRU12 untuk menakluki parlimen Malaysia menjelang September nanti. Beliau dikatakan menyebut ada sebahagian MP Be End akan memihak kpd PR atau keluar dari Be End. Walaupun usul undi tidak percaya SAPP dari Sabah tidak jadi kenyataan, namun kecut perut + demam masih belum kebah Be End menyulitkan rawatan memulih keceriaan mereka.

Kembalinya Ezam MN dengan peti2nya ke ketiak parti & pemimpin yg pernah dicercanya, menyuntik sedikit pelali tahan sakit buat org2 parti kebangsaan tu. Namun mereka masih belum betul2 segar. Tambah pula diusik oleh Hantu Wanita Mongolia macam anak pontianak itu masih belum lesai; kabarnya melibatkan dalang2 yg bukan sebarang dalang. Sekonyong2nya RPK pula dipaksa bermalam dilokap akibat jampiannya kesasar, kisah masih dibicara, belum berakhir di rumah pengadilan. Cerita RPK mengejutkan khalayak. Ketegasan RPK diterjemah punyai iras2 benar dan dia berani menjolok sarang sang ular. Sudah tentu RPK mendapat simpati pihak yg membangkang Be End & Pak Lah serta memanda2 beliau.

Hari2 semakin meruncing. PR semakin kukuh walau pelbagai isu buruk tentang negeri2 perintahan PR diwar-war buruk pada media perdana Berita Hairan, Utusan Meloya, Radio & TV-TV skima, khususnya TV3suku. Setengah2nya ada yg keburukan/kelemahan itu ditanggung rakyat negeri2 berkenaan sejak belum merdeka dari Be End, belum PRU12 @ sejak ditadbir oleh mantan MB2 terlucut jawatan tu. Mereka nak tengok bila PR memerintah negeri2 akan terus jadi kaya, mewah dan maju serta merta; hilang segala masalah. Mana boleh kan?

Dalam keadaan gawat itu, watak Sayfool muncul dengan kisah dilawat-lewat-liwat 8x oleh watak yg ditakuti Be End era kini Unwar. Maka bermula pula satu episod tuduh, fitnah, umpat di dada2 akhbar perdana dan media TV. Ada gambar2, tapi bukan barang bukti. Blog-blog pula ada pro-kontra sendiri. Ada tsunami baru melanda masyarakat negaraku Malaysia Darul-Hadhari.
Nama-nama negara lain terkait juga seperti AS, Turkiye dan Australia.

Tuduh menuduh melarat kepada ancaman. Istilah2 'laporan polis', 'pengakuan bersumpah', 'tarik balik akuan bersumpah', 'diculik' 'campur tangan asing', 'no komen', 'enggan mengulas lanjut', 'bohong', 'mubahalah', 'junjung Quran di masjid negara', ' nik aziz jadi org tengah', 'tak gentlemen', 'nak kena bunuh', 'dia masih berada dalam negara' ...dan banyak lagi muncul menubi minda rakyat. Rakyat mula pandai dan galak buat spekulasi yg berbagai hingga mengganggu solat dan ketenangan. Teringat filem Pendekar Bujang Lapok, " Cubaaannn". Dugaan utk mematangkan bangsaku @ menghukum bangsaku. Allah saja yg tahu.

((Dalam pada itu pihak PR + NGOs telah menganjur perhimpunan 1 juta orang menunjuk perasaan agar mendapat simpati kerajaan dlm hal kenaikan harga minyak mendadak/harga barang melambung. Kata pihak keselamatan, perhimpunan itu tidak halal, tetapi dibenarkan berlangsung di stadium bagi mengelak terganggunya 'tah apa-apa'. Kata media perdana hadirin himpunan itu sekitar 6000 saja. Gagal. Kata pihak penganjur mereka berhasil mengumpul hampir 70,000 hadirin. Berjaya. Itu pun tak muat stadium. Takkan sejuta nak isi tempat tu.

Ada ucapan pembesar2 PR termasuk LKS dari DAP, pemimpin Pas ( bukan Mursyidul 'Am Tokguru Nik Aziz dan Presiden Hj Hadi) dan DSAI. Isu teknikal adanya ' hiburan pentas' usah bincanglah. Yang Be End taja dan izin buat hari2 sama ada di TV, Jom Heboh atau underground di pusat2 hiburan, kelab malam2 tidak pula dibisingkan. Maaf ajalah. Lain kali jangan buat dan bertobatlah.. ))

Cubalah kita periksa sendiri nama watak-watak yg terlibat @ dikaitkan secara langsung atau tidak dalam keserabutan kegawatan/kebejatan kisah sehari dua ini. Kalau boleh catatkan dalam buku diari. Bukan apa2, cuma buat ingatan anak cucu nanti bila mengingati perihal bangsa sendiri. Dalam buku-buku sejarah tanah air pun ada nama-nama watak dan perwatakan tertentu, sama ada sebagai hero & pengikut2nya atau penyangak & pengikut2nya. Watak putih atau hitam. Protogonis atau antogonis. Mereka itu adalah penyebab kepada kegawatan. Namun akhirnya masa berlalu meninggalkan kesan sama ada positif atau negatif.

Dalam keadaan demikian, jangan lupa ada juga individu2 yg memberi pendapat dan ulasan terhadap watak2/peristiwa tersebut. Kita pula nilaikanlah dengan waras, jangan guna emosi atau kejahilan. Suasana perselisihan umat adalah satu rahmat. Benarkah? Kalau kita fikir bagaimana boleh menjadi rahmat. Kita kena ikhlas dan kembali kepada nas. (al-Quran dan Hadith) Mahu bersumpah junjung Quran, tapi tidak ikut syariat dan hukumnya al-Quran. Mana boleh jadi. Ingat sebagai hamba Allah setiap suara, tulisan dan malah gerak-geri kita dicatat oleh-Nya dan akan menerima hukuman-Nya.

Solat hajatlah mohon sejahtera dan selamat. Solat istikharahlah mohon Allah meletakkan kita dalam golongan benar; jangan lupa pula solat fardhunya. Bertakwalah. Insya Allah. Dia bersama kita. Kita bimbang, takut kita dipimpin oleh orang-orang fasik. Tak suka solat, tapi suka maksiat. Tidak gemar kerja baik & ikhlas, tapi gemar kerja dosa dan lalai.


KEPADA JURI

Tuduhan itu benar membabi-buta
kauakurkan perasaan. Lunaknya menyeretku
dengan tali tohmah tanpa luang pembelaan
Apalah ada pada sidang, jika kaurampas masa
tiada senggang

Sel gelap berdinding keliling atau jerut
tali gantung sekalipun, bukan pemisah antara
benar dan salah selagi manusia berbudaya upah
Kebenaran adalah kematian
ia pasti datang.

Kuala Lumpur.
Racun Abadi 2001


WAWASAN UNTUK PEMIMPIN

Lama muncul dalam mimpi para rakyat
berbagai resepi bagi menyiap kehidupan
di celah wajah-wajah tidak bahagia mereka
beban menindih, duri menyiat harapan
Seorang lelaki yang hayatnya sesuai
dengan ucapan, menyetujui kesejahteraan
mencintai serba kerukunan

Sesekali kita surut ke belakang
tidak dikelirukan ayat da kalimat semata
bahawa peradaban telah bangun dan jatuh
telah dilupakan orang atau tertimbus pasir
sejarah. Maka keyakinan akan lebih berbakti
lebih anggun dari seribu mimpi.

Awal 1992
Mastika, Julai 1992.



Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh, iaitu orang yang merdeka dengan orang yang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan,. Maka sesiapa (pembunuh) yang mendapat sebahagian pengampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan diyat (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya.” (178) Surah al-Baqarah.

Di antara perbuatan dosa besar ialah membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah. Jenayah membunuh yang begitu besar kesalahannya itu sudah pasti ada peruntukan balasan di dunia dan azab siksaan di akhirat yang disediakan oleh Allah Taala..

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Anas r.a:

ذكـر رســول اللة صلى اللة عليــة وســلم الكــبائـــر:

فـقـال الشـــرك بالـلة وعــقـوق الــوالــديــن وقــتـل الـنـفـــس

Mafhumnya: “ Rasulullah s.a.w memperingatkan bahawa di antara perkara al-Kabair (dosa-dosa besar) ialah mensyirikkan Allah, menderhakai kedua ibubapa dan membunuh manusia”.

Berdasarkan wahyu Allah Taala di atas dan hadith Nabi s.a.w, hukuman sewajarnya mesti dikenakan bagi penjenayah yang membunuh seorang muslim dengan sengaja. Hukuman mengikut syariat Islam itu dinamakan Hukum Qisas.

Hukum Qisas ialah satu bentuk hukum balas ( balasan yang seimbang) akibat terjadinya sesuatu pembunuhan (kehilangan nyawa atau darah) dengan sengaja. Pihak penguasa Islam atau hakim hendaklah memutuskan hukumannya dengan hukuman bunuh juga, begitu juga dengan yang melukai atau memotong anggota badan seseorang hendaklah dihukum dengan tindakan yang serupa perbuatannya itu.

Di dalam hukum Islam telah ditetapkan bahawa orang Islam tidak boleh dibunuh balas kerana telah membunuh orang kafir harbi, tetapi hamba beragama Islam yang dilukai oleh orang kafir (misalnya Yahudi) hendaklah dihukum balas dengan tindakan yang serupa.

Adapun pembunuhan yang terjadi di suatu tempat sedangkan pembunuhnya tidak diketahui, maka denda hukumannya hendaklah dikenakan kepada orang-orang di tempat terjadinya tragedi pembunuhan itu kecuali di antara mereka berhasil menyingkapkan pembunuhnya yang sebenar atau kemungkinan lain bahawa pembunuhnya berasal dari daerah lain setelah hal itu diketahui oleh pihak berkuasa. Sedangkan ahli waris yang terbunuh dapat menuntut hukuman pada pembunuhnya agar hakim dapat menghukum bunuh atau ditetapkan adanya denda kepada pembunuhnya agar mungkin denda itu dibebaskan.

Orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi (orang kafir yang ada perjanjian setia dengan pemerintahan Islam), maka hukumannya adalah dibunuh balas. Inilah tanda keadilan hukum Islam ke atas perbuatan jenayah itu walaupun pelakunya adalah seorang Islam terhadap orang yang bukan beragama Islam. Adapun pembunuh yang berpakat melakukannya lebih daripada seorang, hendaklah mereka dibunuh kesemuanya sesudah terbukti perbuatan jahatnya itu. Manakala hamba atau wanita yang membunuh orang merdeka maka hamba atau wanita itu hendaklah juga dihukum bunuh.

Rasulullah s.a.w telah melaksanakan hukuman balas / qisas bagi seorang Yahudi yang telah membunuh seorang hamba wanita yang beragama Islam. Tetapi dalam maksud umumnya bahawa hukuman barulah dilaksanakan jika orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, wanita dengan wanita, di samping terdapat hal-hal khusus yang berkaitan. Hukuman balas ini hendaklah dilaksanakan juga kerana melukai mata, hidung, telinga, gigi dan lain-lain.

Menurut pernyataan Al-Quran selanjutnya, jika si pembunuh itu telah memperolehi kemurahan hati keluarga mangsa yang dibunuh dengan memaafkannya (yakni tidak perlu dihukum bunuh balas); maka perlulah dibayar diat / ganti rugi.mengikut tuntutan pihak yang terbunuh. Begitulah keringanan yang merupakan rahmat dari Allah Taala terhadap hukuman tersebut. Menurut mafhum satu hadith Nabi s.a.w, denda bagi satu nyawa akibat pembunuhan itu ialah bernilai 100 ekor unta. Manakala jika terpotong satu jari tangan atau jari kaki dendanya 10 ekor unta, sebatang gigi dengan 5 ekor unta, luka tembus tulang dengan 5 ekor unta. (lihat HR Abu Daud).

Begitulah di antara keringanan yang diberikan oleh Allah dan rahmat-Nya terhadap hamba yang melakukan jenayah tersebut. Agama Islam amat mementingkan keharmonian dan kesejahteraan hidup. Betapa mahalnya nyawa setiap manusia; sebab itulah Islam bencikan permusuhan yang berlanjutan di kalangan manusia. Sikap berdendam antara satu sama lain adalah dilarang keras. Oleh hal yang demikian, jika ada pihak yang cuba membalas dendam lagi selepas dijalankan hukuman Qisas itu adalah melampau, haram dan berdosa besar.

Di dalam satu ayat lain Allah berfirman :


Mafhumnya: Dengan sebab itulah Kami telah menetapkan ke atas Bani Israil bahawa sesiapa membunuh (satu jiwa) tanpa sebab atau melakukan kerosakan di bumi, seolah-olah dia telah membunuh semua manusia” (Surah al-Maidah: 32)

pendeknya bagi orang yang melakukan jenayah membunuh itu, selain dia dihukum gantung atau dipenggal kepalanya di dunia ini menurut hukuman Allah, di akhirat nanti mereka akan menerima siksaan azab di neraka pula sebagaimana firman Allah s.w.t :



Mafhumnya: “ Sesiapa yang membunuh orang mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia di dalamnya; dan Allah sangat murka dan mengutuknya sambil disediakan baginya siksaan yang sangat hebat. ” (Ayat 93: Surah an-Nisa’)

Jenayah melakukan pembunuhan ini termasuklah juga kepada ibu-ibu yang membunuh atau menggugurkan anak di dalam kandungannya akibat perzinaan (anak luar nikah) misalnya, sebagaimana yang sering berlaku di dalam masyarakat. Maka ibunya sendiri, bidan, doktor atau sesiapa juga yang terlibat merestuinya adalah berdosa besar, balasannya kelak adalah neraka Jahannam, menerima siksaan yang pedih.

Manakala bagi mereka yang berputus asa, gagal di dalam dugaan hidup, muflis dan sebagainya sehingga sanggup membunuh diri sendiri walau apa cara sekalipun, juga akan dihukum dengan azab siksaan yang hebat di akhirat kelak kerana kejahilan, hilang pertimbangan kemanusiaannya serta telah pupus imannya kepada Allah.

Maka selaku orang yang beriman, bertawakkallah kepada Allah serta selalulah berdoa mohon dijauhi-Nya daripada tindakan sesat yang didalangi nafsu jahat itu.






Bukan budaya kami menembak dan meletup orang
Altantuya Shaaribuu berkecai jasadnya di Tanah Melayu
Sebilah keris terhunus menghilang kisah malu

Seorang ayah menangis, malang apakah si anak
Kecaian jasadnya bahan saksi terkecil mahkamah
Tidak mampu memerangkap penjarah.

Orang keselamatan, wajar menyelamat bukan menjahat,
Keadilan makin mendung, juling mentarinya.
Mati ngeri rupanya dia di belantara puaka negara

Siapa menahan jerat, siapa pula terperangkap.
Model wanita Mongolia, seorang insan diganasi
Tanpa belas kasihan, tanpa upaya cerita.

Terjadi di tanah airku abad dua puluh satu.
Haiwan lebih jujur memberitahu
“Memang ia makanan aku”


3 Disember 2007

Mohd Rashidi Hassan

Sun | Jul 06, 08 | 7:15:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Hrkh) - Ulama terkemuka di Malaysia seperti Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya dan beberapa yang lain menegaskan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah.

Dato' Seri Harussani membuat penegasan itu berkata, Anwar yang dihadapkan pertuduhan melakukan liwat, tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ianya tidak menepati undang-undang Islam.

Ini kerana katanya, tuduhan yang dikenakan ke atas beliau oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah dakwaan jenayah yang termasuk dalam hukum kazaf.

"Kaedahnya dalam kes ini, ialah 'orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti' dalam mahkamah, jika dia gagal mengemukakan bukti, dia boleh dikenakan hukuman hudud," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mengulas mengenai cadangan beberapa pihak termasuk Mufti Perlis yang menggesa Ketua Umum KeADILan itu bersumpah untuk membuktikan beliau benar atau pun tidak, Harussani secara sinis mengatakan, "itu cadangan dari orang yang terlebih pandai."

Katanya, masalahnya dalam kes membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.

Mufti Perak itu turut memberi peringatan kepada umat Islam, khususnya orang-orang Melayu supaya tidak terikut-ikut dengan budaya agama lain yang bersumpah dengan kitab dan sebagainya.

"Tiada kaedah langsung kena sumpah dengan al-Quran, itu meniru budaya agama lain, sumpah yang ada dalam Islam cuma 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi'," tegasnya.

Menyuarakan pandangan yang sama, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya berkata, kes yang dituduh kes atas Anwar adalah yang membabitkan hukum kazaf, bukannya li'an.

"Sumpah hanya diterima dalam kes suami isteri atau li'an. Menyuruh tertuduh bersumpah dalam kes membabitkan kazaf menyalahi hukum syarak," tegasnya ketika dihubungi.

Menurut beliau, masyarakat Islam tidak harus dikelirukan dengan gesaan bersumpah, kerana sumpah bukannya sesuai dalam semua perkara.

"Isunya tidak ada sumpah dalam bab kazaf, orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan," tegas beliau

Hampir tiba ke pertengahan kedua tahun 2008, negaraku MALAYSIA BOLEH DARULHADHARI dilanda berbagai karenah. Kata setengah orang bahana 'tsunami politik' selepas PRU12 Mac lalu, impaknya hampir maksima hingga termengandunglah iklim tanah air tercinta ini dengan pelbagai penyakit. Penyakit bawaan warisan, dihurung pula virus PHD hingga muncul tumor degil yang tidak boleh melihat orang lain senang.
Tidak heranlah gejala-gejala ganjil itu menambah lagi keserabutan hingga timbul pula penyakit mental, penyakit dalaman, penyakit saraf dan kudis-kudis. Ada yang kronik hingga perlu ICU, ada yang perlu pembedahan, perlu tukar organ, perlu suntik dan kena telan ubat yang pahit. Semuanya adalah akibat tidak mahu merujuk kepada kebenaran, tidak mengingati dosa pahala, tidak kenal diri malah tidak mahu menerima kenyataan sehinggalah mudah hilang sabar.
Karenah kini semakin bernanah. Karenah berprofil tinggi. Kata orang kalau berada di tempat tinggi, selalunya mudah gayat selain dari akibatnya lebih tenat kalau terjatuh. Berada di tempat tinggi, orang mudah lihat sosok badan, pakaian, kelakuan dsb. Jadi jangan mudah heran jika anda difitnah, diumpat atau diperkatakan. Maaf kata, kalau anda manusia baik pun akan dilihat tidak baik oleh sesetengah orang yang 'sakit' dengan kedudukan anda. Apatah lagi jika anda manusia yang 'tidak baik' menurut agama dan kemanusiaan! Ya kalau anda bukan manusia JURUS ( JUjur luRUS) anda akan diperkatakan oleh manusia dari enam penjuru. Kalau anda di pihak benar, istiqamahlah, Allah tahu dan anda berharga mahal; tetapi jika berpegang pada dahan yang tidak benar, bagaimana? Tepuk dada tanya iman. Jangan tepuk nafsu tanya setan.
OK mana lebih gagah pengakuan bersumpah di mahkamah dengan laporan polis? Yang mana lebih berwibawa dan dapat diyakini keberanian atas dasar kebenarannya? Bagi rakyat yang tidak menelaah ilmu undang-undang, kita hanya tahu meneka dan membuat pelabagai spekulasi sambil menatap cereka wartawan atau menonton bualan bergambar TV1,2,3,7,8,9 atau rakan-rakan yang sewaktu dengannya. Kawan-kawan yang miliki internet pula boleh melayari lautan siber mengenderai blog-blog yang berkaliber atau berjenaka; sama ada akhirnya akan terselak atau tergelak.
Kita hanya dapat menunggu keletah iklim berikutnya. Mahu ribut berpanjangan hingga meruntuhkan bumbung atau mencabut dinding atau bagaimana, kita nanti. Tetapi berdoalah agar kita berada di pihak benar dan sejahtera. Dirahmati Allah.
Pengakuan bersumpah RPK, katanya berkaitan seks dan bunuh, di luar perikemanusiaan. Manakala laporan polis budak gagal meneruskan pengajian itu juga mengenai seks dan maruah, di luar tabii.
Apa nak jadi dengan bangsaku di abad 21, celaru, haru-BIRU, dadah dan dedah hingga dihinggapi Aids, berputih mata kehilangan pulau, jenayah kolar biru dan putih, rasuah ikan jerung dan bilis, belia merempit tak serik-serik buang nyawa dan duit, anak hilang dan buang anak, naik minyak naik barangan makin mahal, harga beras kian keras, akhirnya ramai anak-anak nak jadi 'angka sawan' negara.
Lain kali jangan pilih Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Mat Jenin, Si Luncai jadi imam. Jangan pilih hakim bersaksi ke lutut, duri dalam daging, pagar makan padi, anjing dengan bayang-bayang atau musang berbulu ayam.
Pilihlah jauhari yang mengenal manikam.

Posted by dariana at 5:51 PM 0 Comments




Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah  kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya. ” (172) Surah al-Baqarah.


Makanan, minuman dan pakaian adalah sebahagian daripada keperluan hidup manusia. Allah s.w.t. telah mencipta serta menyediakan pelbagai jenis bahan dan kejadian untuk manusia memproseskannya menjadi makanan, minuman dan pakaian mereka. Manusia menikmati dan berasa bahagia setelah mendapat keperluan itu dengan sempurna. Namun begitu syariat Islam membataskan bentuk dan jenis yang dihalalkan sahaja harus diguna-pakai oleh umatnya.

Kita wajib memakai pakaian yang menutup aurat dan bersopan. Islam tidak menegah umatnya berpakaian cantik, berjenama atau mahal harganya; asalkan pakaian tersebut bersih, kemas dan menepati ciri-ciri yang telah digariskan oleh syariat Islam.

Kita boleh mencapai kesihatan, kekuatan dan dapat mengerjakan ibadat dengan selesa apabila kita mengamalkan cara hidup yang sihat dan diredhai Tuhan.

Dalam soal makanan, kita perlu mengambil makanan yang mengandungi jenis zat yang terdiri daripada karbohidrat, protein dan vitamin. Pengambilan makanan yang seimbang membantu pertumbuhan badan dan melindungi diri dari serangan penyakit. Tubuh badan yang sihat akan memiliki ketahanan yang kuat.

Otak yang cergas juga berada pada badan yang sihat. Maka makanan dan minuman kita mestilah dari sumber pendapatan yang bersih dan halal.agar terjamin kesihatan badan bagi memperolehi kecergasan berfikir. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan umatnya mencari penghidupan melalui pekerjaan yang halal.

Makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan pada keseluruhannya halal kecuali yang memudaratkan atau bercampur dengan benda-benda yang haram. Manakala makanan daripada haiwan yang halal wajib disembelih mengikut syariat Islam terlebih dahulu di samping menurut kaedah pemakanan yang baik. Begitu juga sumber makanan dari laut juga adalah halal dimakan kecuali yang beracun.

Di dalam ayat berikutnya, Allah s.w.t berfirman:




Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi,  dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah;  maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Amat Pengampun, lagi Amat Mengasihani” (173) – Surah Al-Baqarah.

Syariat Islam dengan jelasnya telah mengharamkan kita memakan daging babi dan bangkai haiwan. Orang-orang Islam juga dilarang memakan binatang-binatang yang tidak disembelih menurut kaedah syariat Islam. Daging dan darah pada bangkai haiwan  adalah najis dan mempunyai kuman yang boleh membawa penyakit.

Agama Islam telah memberi rukhsah atau keringanan kepada umatnya sewaktu berada di dalam keadaan dharurat seperti ketika musafir, peperangan, kelaparan dahsyat dan sebagainya. Antaranya mereka tidak dikenakan dosa jika terpaksa memakan benda-benda yang diharamkan syarak, jika tiada makanan lain atau boleh membawa mati kalau tidak memakannya. Kita dibenarkan memakannya dengan syarat tidak melampaui batas. Allah s.w.t Maha Mengetahui keadaan kita yang sebenarnya pada waktu itu.

Antara hikmat keringanan diberikan kepada umat Islam adalah supaya mereka menjaga dan menyelamatkan nyawa dan akal.  Allah s.w.t telah menjadikan rezeki makanan dan minuman untuk kebaikan pembinaan fizikal dan mental. Oleh itu kita mesti memilih makanan dan minuman yang halal, segar dan berkhasiat.

Umat Islam hendaklah menjauhi makanan dan minuman haram bagi menjaga kesihatan tubuh badan, memelihara kewarasan akal serta menjaga maruah diri. Syariat Islam tidak mahu manusia terjerumus ke lembah kebinasaan. Umat Islam wajib menghindari dari makanan dan minuman yang memudharatkan.


اللـــهم بـــرك لنــا فيــما رزقــتـنـا وقــنـا عــذاب الــنار



“ Wahai Tuhan kami, berkatilah pada apa yang Engkau rezekikan kepada kami serta jauhilah kami dari azab nerakan’. Amin


Orang-orang yang sentiasa mengamalkan amalan soleh melalui pemakanan demikian, juga akan dimakbulkan doanya. Dia akan memperolehi pahala kerana mengikut sunnah di samping menjauhkan dirinya dari siksaan azab neraka di akhirat nanti.

Pulau terlepas
Batu terhempap
Putih mata

Rumah api tiada jalur gemilang berkibar
Jauh hati sampai bila kita bersabar.

23 Mei 2008.

NAIK MINYAK NAIK

Tiada haiwan selain gajah
Dikatakan naik minyak
Penghuni terbesar rimba itu
Membunyikan tempiknya tadi

Pelanduk dan musang bersembunyi
Meremang. ikut naik segala roma
Tidak terkecuali awak-awak serangga

Naik minyak naik
Memerah muka gajah meta
Senak perut senak
Memulas sakit mencair mata.

10 Jun 2008