Semalam seorang sahabat telah menghantar e-mail kepada saya bertanyakan pandangan tentang 'Pena Mufti' yang terakhir buah tangan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Maza) mantan Mufti Negeri Perlis. Tulisan Dr Maza itu termuat di halaman khususnya dalam akhbar Mingguan Malaysia Ahad 30.11.2008. Katanya itulah buah tangan beliau yang penghabisan ketika masih berada di kerusi pejabat Mufti Negeri Indera Kayangan itu sejak 2 tahun sebulan itu.

Sahabat itu juga telah memforwardkan sedikit pandangan rakannya (seorang pemegang Ph.D) di sebuah kementerian mengenai Dr Maza peribadi dan hasil karyanya. Katanya:

Assalamualaikum. Artikel yang menarik dan sangat sesuai untuk difikirkan bersama. Saya sudah lama mengikuti perkembangan mufti dari Perlis ini sejak beliau dilantik lagi. Beliau cuba membawa pembaharuan dalam minda umat Islam di negara kita. Tetapi memang benar kata beliau bahawa bukan mudah untuk mengubah minda manusia. Kita sudah maju dan mampu menghasilkan pelbagai inovasi dalam pelbagai bidang. Dalam bidang agama, kita masih belum keluar daripada paradigma lama. Kita perlu lebih banyak menelaah dan membaca agar boleh berfikir secara rasional dan membuat justifikasi berdasarkan dalil akli dan nakli.

Banyak tulisan Ustaz Asri telah dipertikaikan tanpa dirujuk dan dibaca dengan sempurnanya. Kita tidak memberi ruang yang sewajarnya yang berfikir adakah yang dikatakan itu benar atau tidak? Adakah beliau merujuk sumber-sumber yang betul atau tidak? Apakah seuatu itu bertentangan dengan norma dan sesuatu yang kita lakukan, terus kita katakan itu salah.

Oleh itu, bagi saya apa yang dikemukakan oleh Dr Asri adalah sesuatu yang membuka minda kita dan menjadikan kita lebih kritis serta mendorong kita mendalami agama.Kita hendaklah menggunakan akal yang diberikan ALLAH SWT serta bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai pembimbing kita sepanjang zaman. Sekian.

Siapalah saya untuk mengulas memberi pandangan tentang Dr Maza diri, prinsip dan hasil karya tuan mufti yang terkenal berketarampilan itu. Namun untuk tidak mensia-siakan permintaan sahabat, saya telah mencatat sedikit tanggapan saya melalui e-mail kepada beliau tanda berkongsi pandangan atau ingatan tentang mantan Mufti Negeri Perlis tersebut. Catatan e-mail kepada sahabat saya, itu saya abadikan begini:

Salam.
Tentang ' Minda Mufti' Dr Maza tu saya dah tatap. Begitu juga pandangan rakan Ph.D holder tu.

Hidup ini Allah Taala telah sediakan pro-kontra. Positif-negatif. Pahala-dosa. Syurga-neraka. Namun sunnah juga adalah 'setiap kebenaran akan ditentang'. Tengok dan teliti sirah para rasul. khususnya sirah baginda kesayangan kita Nabi Muhammad SAW. Tatap semula sejarah sahabat, tabiiin, ulama silam dan ulama kini sama ada di Timur Tengah atau Timur Jauh ni. Hatta di Malaysia dan Indonesia. selain ditentang kuffar, bawaan pengajaran para rasul dan mereka yg mengikut rasul-rasul itu yang mukhlisiin akan dihambat diri dan minda mereka.

Tidak aneh dan tidak menghairankan. Setiap kebaikan akan dirusuh dan dimusuhi nafsu mazmumah manusia pada setiap masa serta di mana jua, malah akan disokong oleh kekuncunya termasuk iblis! bukankah iblis telah mengisytiharkan penentangan terhadap ketaatan bani Adam?

Para penjahat itu akan membaham secara nyata atau secara senyap malah sentiasa mahu mewaswaskan hati para pembaik yang tulus memperjuangkan prinsip dan method kebenaranIlahi. Mereka juga mewaswaskan hati para pengikut orang-orang baik atau mahukan kebaikan. Mereka tidak akan angkat tangan mengaku kalah atau berhenti dari memusingkan minda malah kehidupan orang-orang beriman selagi orang-orang beriman semua belum tunduk kepada kejahatan mereka itu.

Mereka juga akan menganjur pelbagai kebaikan dhirar malah memproklamirkan kejahatan amalan mereka itu sebagai muslihiin alias pembaikan juga ( itulah gerakerja munafiquun sebagaimana mafhum firman dalam surah Al-Baqarah: 11-12). Bukankah itu pula kerja-kerja dajjal. Dajjal akan berusaha memutar-belitkan perkara baik menjadi negatif di mata masyarakat. Manakala perkara jahat dan derhaka kepada Allah alias perkara maksiat ditukar menjadi/sebagai kebaikan, bermanfaat, menghiburkan, menguntungkan dalam semua aspek politik, ekonomi, sosial, seni maupun agama. Konon segalanya mahu hadhari.

Selalunya mereka beroleh kemenangan sebab mereka telah sudi membuat apa saja tektik buruk di luar syariat; yang mana pihak para pembaik tidak sudi melakukan tektik-tektik kotor atau luar dari batas-batas kemunasabahan syariat.

Mereka sanggup menggunakan minda, tenaga anggota-tenaga-indera, material dan para pengikut demi mencetus ketakutan kepada orang-orang yang taat kepada hukum agama. Malah golongan pembaik itu akan dipulau, dibenci, disakiti zahir dan batin. Tidak kurang yang terkorban syahid seperti Almarhum Sayyid Qutb, Sayyid Hassan Al-Banna dan lain-lain di Mesir dulu. Para mujaddin begini terdapat juga di Sudan, di India, Indonesia dan Malaysia. Logiknya serupalah kita seorang guru di sekolah pun jika kita amat prihatin dengan disiplin alias undang-undang sekolah; kita akan diseterui oleh pelajar-pelajar. Guru begini tidak popular bahkan dibenci. Bukankah keadaan itu yang dihadapi guru-guru disiplin dan pengetua yang kerap menyebut tentang pembaikan sekolah.

Golongan pembaikan ini akan wujud di mana-mana pun dan akan ditentang pula oleh para penjahat pula. Itulah lumrah dan sunnatullah. Allah Taala sengaja menduga hamba-hambaNya, siapa kalangan mereka yang dapat mengerjakan amalan terbaik! (mafhum firman ayat 2: Surah Al-Mulk).

Mereka para penjahat campur kejahilan mereka itu, tidak akan takut kepada ancaman nas al-Quran dan hadis. Mereka tidak bimbang / takut kepada ancaman hukuman akhirat malah risiko di dunia pun, apatah lagi jika mereka sedang memiliki kuasa politik dan ekonomi. Bukankan kuffar di negara kita bersungguh-sungguh mahu menguasai kedua bidang ini. Jiran, Pattani kita dan Singapura mereka sudah dapat!!

Ya mereka tidak gerun dan bimbang dengan ancaman agama walau sesetengah mereka sendiri berlatar belakang pendidikan tinggi Islam, para agamawan. Kenapa ada ulamaussu' (berilmu agama tapi jahat) atau ulama syaitan akhras (berilmu agama tetapi jadi syaitan bisu)?

Memang penggoda nombor wahid bagi manusia ialah iblis; namun dalam al-Quran ada menjelaskan harta dan pangkat malah hidup ini adalah barangan menggoda, ghurur dan lahwun;sedia menjadi musuh, tipuan dan melalaikan. Dunia ini perhiasan. jJdi siapakah yang tidak mahu akan perkara melekakan, menghibur dan perhiasan-perhiasan indah?

Kenapa dengan Dr Maza, mantan Mufti Negeri Perlis? Beliau okey telah melaksanakan amanah Tuhan setakat keupayaannya. Setakat izin ilmu dan kemahuannya. Setakat masa dan kedudukan yang diberikan kepadanya. Dia telah berjaya hingga sekadar hari terakhirnya di kerusi mufti, namun dia telah meninggalkan nama dan tugasan baik menurut prinsip dipeganginya. Kita tabik hormat kepada Sahibul Fadhilah ( bah. Arab: Tuan Terutama!) Dr Mohd Asri Zainal Abidin. Kita kini berasa rugi dengan penamatan tugas di Pejabat Mufti Negeri Perlis itu? Barangkali tidak. Dr Maza akan mendapat peluang lebih baik selepas ini. Cuma kita akan bimbang / takut penanya dihilangkan dari halaman akhbar perdana itu, mana tahu!

Menjadi ulama, ustaz dan pendakwah memang mencabarkan. Mereka telah ditakdirkan memilih bidang agama, menuntut ilmu Islam! Mengikut hukum, setiap orang yang berilmu (tahu) Islam wajib memberitahu pengetahuannya kepada orang lain. Memberi teguran, ingatan dan halangi kemunkaran. Halangi kemunkaran dengan kudrat; kalau tidak mampu kena ubahkan juga dengan kata-kata. Tegur atau nasihatkan. ' Agama itu nasihat!' Nasihatkan dengan kata-kata atau tulisan. Jika tidak mampu juga wajib kena cegah pula dengan hati! Sangat lemah iman seseorang ulama atau ustazn jika hanya dengan hati (yakni tidak merestui kemunkaran itu). Itulah mafhum tuduhan Rasulullah SAW kepada mereka. mereka tidak mahu dituduh memiliki iman yang sangat lemah.

Ironinya kalaulah mereka tidak menegur, memberi ingatan dan berusaha menghalang kebejatan masyarakat, ertinya mereka telah berdosa kepada Allah. Mereka sangat takutkan dosa melebihi orang-orang lain, sebab mereka faham isi al-Quran segi bahasa, rasa dan syaraknya bahawa azab Allah itu pedih dan benar. Sesungguhnya ulama sejati sangat takutkan / sangat bertaqwa kepada Allah (mafhum firman). Sebaliknya jika menjalankan tugas wajib amanah Allah itu mendepani masyarakat, sudah tentu mereka akan disanggah balik, dikecam, diancam, diISA, dikurung beberapa lama ( saya teringat Pak Hamka, moga Allah merahmatinya), dibesarakan, dipulau, disakiti malah ada yang dibunuh kejam. Mereka dituduh ekstremist alias pelampau agama. Itulah bacaan yang sama dengan kuffar barat terhadap mujaddid Islam. Kini jadilah masyarakat kita di Malaysia juga mengidap penyakit Islamofobia yang kian kronik itu hingga sukar diubati; maka jadilah hukum-hakam dan ajaran Islam berada di kandang orang salah!

Terbaru. Fatwa terkini dari Majlis Fatwa Kebangsaan tentang kegiatan penkid dan senaman Yoga-Hindu masih disanggah dan dikecam. Menjadi kontroversi pula. Beberapa orang ahli majlis adalah bekas prof-prof saya di universiti dulu. Mereka bukan calang-calang individu dari segi ilmu dan akhlak mu'minnya. Namun ditentang juga keputusan fatwa itu dan tidak dilulus-mudahkan oleh kaum Melayu-Islam sendiri. Nasib mereka dan nasib masyarakat kitalah. Maka memang wajarlah keadaan begini menjadi mangkin kepada semakin bertambahnya fenomena fasik, maksiat dan jenayah di negara kita yang dipimpin oleh orang-orang yang jahil. Rasuah dikatakan politik wang jika jadi amalan kumpulan tertentu, zina dikatakan hubungan jenis tanpa nikah, judi dibenarkan, arak menjadi minuman regular dan lain-lain salahguna istilah serta tanggapan terhadap hukum agama.

Masyarakat banyak tidak tahu dan tidak mahu tahu apa yang ada di dalam minda dan perasaan para ulama dan ustaz-ustaz yang ikhlas. Cubalah dinginkan rasa dan waraskan akal menilaikan kriteria dan tugas mereka. Mereka juga punya tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat manusia seperti penjawat-penjawat lain apatah lagi dengan Maha Penciptanya.

Syabas Dr Maza dan para cendikiawan Islam Malaysia yang punya prinsip, tidak mengejar status dan fulus. Anda semua adalah para ulama yang menghabiskan masa dan usia pada menegur dan perbaiki masyarakat. Teruskan kerja-kerja soleh itu; anda semua adalah pewaris tugasan nabi-nabi. Semoga sejahtera seumur dan sebutilah kami bersama di dalam doa berkatmu.

2 Responses so far.

  1. asmkm.

    ibnu qayyim, ibnu taimiyah, al-shatibi, imam abu yusuf (sekadar menyebut beberapa nama) ada penentangnya, kerana aliran pemikirannya yg berbeza. inikan pula kita, yg bukan tabi' dan tabi'in. dlm dunia akademik, perbezaan aliran pemikiran itu satu lumrah dan ia adalah academic exercise. bila ia nak direalisasikan dlm masyarakat awam, lagilah susah. tapi kita kena berpegang kpd hadis bermaksud, jika betul.. dua pahala, jika salah satu pahala.wallahuaklam. tq

  2. ikhtilaf umat adalah baginya rahmat. rahmat kepada yang amanah dan ikhlas. hilang rahmat buat pengkhianat. hendaknya kita di pihak amanah dan benar itu. namun bertentangan idea walau sebagai acadamic exercise, perlu ada adabulikhtilaf. ulama silam okey. lillah. ulama kini berikhtilaf demi menegak benang basah. nawaitu hanya pertahankan status, pihak dan pitis! kadang2 masyarakat awam makin keliru; pemimpin melagakan ulama dan massa ikut mengecam ulama. kitabullah dan sunnah sepi menjadi buku sejarah. berleluasalah era serba-salah.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda