Pilihan Raya Kecil bagi kerusi P36 Kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan berlangsung pada 17 Januari ini. Tahun depan. Lebih kurang sebulan lagi dari tarikh hari ini. Hampir 10 bulan lalu, para pengundi kawasan tersebut telah memberi mandat kepada wakil BN Datuk Razali Ismail (almarhum) yang memperolehi majoriti 628 mengatasi calon PAS Hj Mohamad Sabu. Pada tarikh tengah bulan satu nanti sudah pasti akan bertanding semula calon-calon dua parti BN dan PAS ekoran kematian Datuk Razali Ismail di IAB Genting Highland baru-baru ini.

Bagaimana agaknya kedudukan dan keadaan kedua-dua parti bertentangan itu kini? Kita rasa walaupun BN akan pertahankan segenap upaya dan sehabis harta, situasi dirasai bertimbang 50-50. BN akan bermatian mempertahan maruah dan kekuatannya sebab P36 KT itu adalah sedia hak miliknya; walaupun jika mengikut jumlah undi PAS 3per4 DUN di Parlimen K Trg itu telah memihak kepada PAS.

Dahulu apa yang berlaku, Hj Mohamad Sabu tewas kepada Datuk Razali (almarhum) dengan majoriti kecil sebanyak 628 pangkah. Bagaimana hal sedemikian terjadi? Adakah PAS lemah di Kuala Terenganu? Keputusan di DUN-DUN ternyata menolak kenyataan ini.

Apakah calon yang PAS kemukakan lemah dan tidak dikenali? Hampir mustahil Hj Mohamad Sabu Naib Presiden PAS itu tidak dikenali. Beliau terkenal sebagai pemimpin PAS yang berwibawa, lantang dan berani.

Tetapi kenapa para pengundi memilih calon PAS di kerusi DUN sebaliknya memilih calon UMNO untuk kerusi parlimen? Adakah kerana kelebihan batang tubuh almarhum Datuk Razali Ismail menjadi pilihan utama atau bersebabkan Hj Mohamad Sabu bukan anak tempatan? Atau adakah berfaktor pengundian pos atau wujudnya para pengundi hantu? Ataupun bersebabkan gangguan daun oleh Nenek Maimun, calon bebas paling popular PRU12 itu?

Menurut kajian, khalayak pengundi di Negeri Terengganu Darulaman tidak sama dengan pengundi di Negeri Kelantan Darulnaim. Selain kewibawaan calon yang dilihat, mereka juga mahu calon-calon mereka mestilah warga tempatan yang mudah ditemui dan dapat memberi sumbangan segera. Inilah pilihan mereka dan sedia memberi suara majoriti.


PAS pernah mencalonkan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden di Parlimen Besut dalam PRU suatu waktu dulu. Di saat PAS menang besar di Terengganu, namun Ustaz Nasyaruddin tewas di kerusi parlimen Besut. Pada PRU12 8 Mac lalu Timbalan Presiden PAS itu dipertaruhkan di kerusi parlimen Bachok, Kelantan; didapati beliau menang besar mengalahkan Datuk Awang Adik mantan bakal MB Kelantan.

Berasaskan keputusan markah PRU12 lalu, sang pungguk di Kuala Terengganu ternampak gayanya tetap rindukan 'bulan'. Bulan berlatar hijau itu akan mengambang semula menghala cahayanya ke P36. Sang bulan akan merendah mencabar sang dacing lama yang sedia menanti setelah terbuka peluang. Apakah akan menjadi realiti bahawa pungguk tidak bertepuk sebelah dan bulan akan menakluki kawasan itu dengan cahayanya? Ya, bolehkah bulan jatuh ke riba nanti dan dacing akan kempunan tidak ada bahan lagi buat menimbang?

Walaupun hukuman menang kalah pada masa depan belum diketahui, percaturan strategi perlu diambil kira. Semua pihak penyokong bulan mestilah menghormati keputusan yang bakal ditentukan siapa calon pilihan parti untuk mendaftar nama calon pada 21 Disember ini. Para penyokong tegar sang bulan usahlah rajin membuat sebarang spekulasi dengan pandangan peribadi siapa-siapakah bakal menjadi panglima yang akan diketengahkan.

Di sana ada pemimpin-pemimpin yang pastinya lebih arif dan maklum, melalui majlis syuranya akan membuat pilihan siapa yang bakal /layak mengisi kerusi dewan parlimen dari PAS nanti. Calon itulah juga nanti akan upaya bersuara menyampaikan hasrat rakyat dan jemaah Islam. Oleh kerana kita memahami konsep berjemaah, maka tunjuklah contoh baik, adab syura dan pemesyuaratan Islam; selanjutnya terimalah keputusan dari pihak atasan itu dengan lapang dan dan penuh harapan sedia patuh merapatkan saf untuk menggapai kemenangan.



0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda