Zaid dan Yong Hadiri Kongres, Nafi Sertai KeADILan - Harakahdaily
SHAH ALAM, 30 Nov (Hrkh) - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Yong Teck Lee terus mencetuskan persoalan mengenai fahaman politik mereka apabila muncul membuat kejutan di majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) di sini semalam.
Bagaimanapun Zaid yang ditemui selepas itu tetap menafikan penyertaannya sebagai ahli parti berkenaan. "Ya, saya masih ahli Umno, saya masih belum dipecat," katanya ringkas.Jelas beliau kehadirannya ke kongres berkenaan kerana menerima jemputan dan atas dasar minat yang mendalam tehadap politik.
Ditanya sama ada kekerapannya yang dilihat sering menghadiri majlis-majlis anjuran parti pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah kerana bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat, beliau tetap menidakkannya. "Saya sekadar tunjukkan minat dalam politik...itu saja," katanya.
Menurut beliau, pakatan pembangkang bukanlah musuh namun sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.
Diminta mengulas sama ada beliau sedar bahawa dengan kehadirannya hari ini akan menyebabkan Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata tidak takut mengenai perkara itu. "Saya rasa saya tak takut mengenainya (tindakan), saya lebih takut akan kesihatan saya sekarang ini...saya tak berapa sihat," katanya.Dalam pada itu, Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Sallehuddin Hashim turut mengesahkan bahawa hingga kini PKR masih belum menerima sebarang permohonan kemasukan Zaid mahupun Yong.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin./wann_
TPM: Kronologinya bermula beliau digantung kedudukannya dalam Umno. Dia tidak terpilih untuk mewakili BN bagi kawasan Parlimen Kota Bharu pada PRU12 dulu sebab dia bukan lagi Ketua Perhubungan yang sahih ketika itu. Namun PM merangkap Presiden UMNO telah memilihnya ke jawatan senator seterusnya dia menjadi Menteri di JPM mengepalai urusan undang-undang dan kehakiman negara. Dia dikatakan bermurah hati menguruskan bayaran ex-gratia bernilai jutaan RM kepada beberapa mantan Yang 'Arif yang dipecat lama dulu. Dia Dato' Zaid Ibrahim juga mantan YB Parlimen Kota Bharu itu punya pegangan tersendiri.
Dato' Zaid pernah menjemput MB Kelantan hadir jamuan di rumahnya di Kota Bharu. TG Nik Abdul Aziz Nik Mat telah hadir ke majlis itu. Lalu beliau dipandang menambah kontroversi yang sedia ada. Beberapa hari lalu pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan PKR, dia hadir. Memang logik alasan beliau selaku ahli politik demi minatnya yang mendalam dalam bidang politik dijempat ke majlis itu. Dia hadir dengan jelas, selaku ahli UMNO, belum dipecat.
Dato' Zaid tidak keluar dari UMNO. Dia lebih takut kepada kesihatan fizikalnya akan lebih terganggu dari takutkan tindakan pihak atasan parti tersebut. Ternyata Dato' Zaid punya prinsip yang mahal harganya. Dia bukan penakut atau pak angguk semata. Namun begitu setakat ini dia masih menafikan menyokong atau menyertai mana-mana parti dari Pakatan Rakyat musuh ketatnya itu.
Kita tidak tahu apa yang tersirat pada niat dan hati beliau. Namun tindakan beliau hadir ke majlis PKR @ majlis besar parti pembangkang yang sangat dimusuhi UMNO itu mencetuskan tanggapan 'lain' dan tambah menggetus perasaan UMNO. Memang UMNO mudah terasa dengan feel ahlinya yang sebegini. Ibarat anak dara tanpa restu ibu bapa telah berkunjung ke rumah lelaki yang amat dibenci mereka. Gadis itu sudah tentu menderhaka dan amat degil!
Kita rasa Dato Yong Teck Lee Presiden SAPP juga ada alasan tersendiri. Dia punya perinsip kukuh bertentangan dengan PM dan BN. Kehadirannya ke majlis besar PKR itu sudah tentu mengundang 'berang' di hati atasan BN. Dato YTL juga ketara degil dan menunjukkan kurang setia kepada pucuk pimpinan BN. Kedegilan YTL berdepan pihak BN ketara sejak berbulan lalu asalnya berfaktorkan ketidakadilan dalam BN sendiri. Orang Sabah menurutnya, baik YB atau rakyatnya dilepas-pandang oleh KL. Sudah tentu ada lagi faktor-faktor lain lagi yang tidak sempat dicatat di sini yang mungkin pula mejadi kejutan baru.
Dato' Zaid Ibrahim dan Dato' Yong TL telah berbuat sesuatu menurut prinsip masing-masing. Kita wajar hormati prinsip mereka. Untuk mendapat populariti? Kita rasa tidak. Kerana pengejar populariti selalunya ada motif lain lagi. Mereka berdua sudah popular dalam politik tanah air. Ada orang sanggup korbankan wang banyak untuk mempertahankan prinsip. Ada orang sanggup korbankan status bagi mempertahankan prinsip. Kita rasa mereka berdua punya alasan bagi pertahankan prinsip masing-masing.
Kita tunggu dan lihat arah angin yang akan bertiup. Kita juga mahu lihat 'angin' diri mereka akan kemana halanya. Barangkali nanti kita akan dapat melihat angin itu boleh menjadi ribut kuat di dalam cawan besar milik Pak Lah dan BN atau tidak. Ataukah akan bertambah sudu-sudu PR untuk mengacau keladak di dalam cawan besar BN sehingga ia semakin bergolak.
0 Responses so far.
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda