Mahkamah Tinggi Kuantan pada 26 Ogos 2009 mengesahkan tangkapan terhadap Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli bersama dua lagi ahli PAS sewaktu berceramah di premis persendirian pada tahun 2004 adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan. Mereka juga berhak diberi ganti rugi.


Hatta memberitahu dengan keputusan mahkamah itu memberikan implikasi besar kepada semua pertubuhan khasnya parti politik bahawa sebarang bentuk himpunan di premis persendirian adalah dibolehkan dan tidak memerlukan permit. Keputusan itu juga menjadi peringatan kepada pihak polis agar tidak bertindak mudah menahan mereka yang berhimpun dalam kawasan premis persendirian.


"Kes ini menjadi landmark (mercu tanda) dalam kes sivil dan memberi dorongan kepada petugas petugas PAS dan parti bahawa di mana mana premis kita, kita boleh buat ceramah dan tidak perlu sebarang permit dengan syarat ianya tidak mengancam keselamatan Negara," ujarnya Hatta.


Hatta dan dua lagi rakannya ditangkap 10 Jun tahun 2004 semasa berceramah di Markas Pas Bandar Muadzam Shah kerana mendakwa ceramah berkenaan tiada permit. Mereka telah dibawa ke lokap Bandar Muadzam Shah sebelum dipindahkan ke lokap Rompin dan ditahan selama 12 jam.


Mereka yang diwakili peguam Hanipa Maidin dan peguam Fadhli Ramli kemudiannya telah mengemukakan saman terhadap Ketua Polis Daerah Rompin berkenaan.


"Polis ni kadang kadang kita bagi penjelasan pun dia tak mahu dengar. Heret kasar, tarik tanpa kasut, gari tak benar pakai baju dalam lokap aibkan orang. Kita tak boleh biarkan semua ni berlaku atas benda yang belum tentu melanggar undang undang. Jadi polis perlu ambil pengajaran," ujar Hatta lagi.



0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda