"Ayuh cabar saya" - DS Anwar Ibrahim

Mohd Khalil Abdullah~~HarakahDaily.
Thu | Aug 13, 09 | 1:01:15 pm MY




KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Setiap wajah jelas menampakkan reaksi ingin tahu. Bukan satu, bukan juga puluhan, malah bukan jua ratusan tetapi ribuan membanjiri lokasi ceramah untuk mendengar sendiri daripada Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Isu khianat menjadi tumpuan. Semua yang hadir menanti apakah jawapan Anwar terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh Umno sejak kebelakangan ini.

Beralaskan akhbar lama, ada yang baru, masing-masing mencari tempat strategik untuk mendengar sendiri jawapan daripada mantan Timbalan Perdana Menteri itu.


"Kalau saya ambil saham Bumiputera, 1 inci tanah kerajaan, 1 kontrak untuk diri saya, Azizah dan anak- anak, kalau boleh cabar saya. Pejuang- pejuang Umno Barisan Nasional, handal- handal belaka. Menteri mereka menghunus keris. Tanya dia kalau kamu pembela Melayu, ada atau tidak kamu ambil saham bumiputera ? Wang berpuluh juta yang diambil untuk keluarga mereka dan kroni mereka?," soal Anwar semasa berceramah di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.


"Bukit Tinggi ? Gunung Genting? Diserah pada tauke judi. Umno serah Pulau Pangkor pada tauke Cina. Serah tanah Menara KL kepada Ananda Krishnan. Diberikan syarikat dan dia jadi jutawan dalam masa yang singkat. Tauke- tauke Melayu diberi rumah, di Kuala Lumpur, London, Florida dan lain- lain. Jangan cabar saya. Kalau orang Umno kata ini adalah fitnah, ayuh cabar saya. Saya akan jumpa dan jelaskan satu persatu," tambah Anwar lagi.


Beliau menyatakan kehairanannya mengapa pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terlalu mengamalkan perjuangan yang sarat dengan hasad dengki dan permusuhan peribadi yang melampau-lampau.


Bagi Anwar, adalah dosa yang besar untuk seseorang pemimpin itu merampas hak rakyat dan harta negara yang sepatutnya diagihkan kepada secara adil dan saksama.


"Kita hendak tanya pada mereka. Mengapa pemimpin Umno ambil sikap bermusuh begitu sekali ? Ingat senang untuk panggil orang pengkhianat bangsa? Khianat bangsa maknanya jual tanah, jual negeri. Biarkan rakyat dan kaum Melayu menderita. Dan dia kata untuk dirinya. Tapi apa yang berlaku dalam negara kita? Kenapa pemimpin Umno mengambil sikap yang rakus, zalim, sombong dan angkuh?" soal Anwar.


Sebaliknya Anwar menegaskan Umno dan BNlah yang bertanggungjawab menjadikan orang melayu sehingga kini masih terkurung dalam mentaliti lama.


"Orang Melayu diperbodohkan kerana Umno hanya akan berkuasa dan kekal berkuasa bila sekiranya orang Melayu tidak tahu maklumatnya," ujar Anwar.


Beliau juga mempertikaikan rasionalnya slogan 1Malaysia yang canang hebat oleh Perdana Menteri. Umno-BN mencanangkan 1Malaysia namun dalam masa yang sama meniupkan api perkauman supaya Melayu dan bukan Melayu saling benci- membenci.


"1Malaysia BN ialah 1Malaysia untuk orang kaya, ambil komisyen RM400 juta, tidak perlu siasat. Rumah RM26 juta, tutup kes. Stadium roboh, tidak perlu siasat. Tapi orang miskin belanja RM2,382...siasat, dera, siasat, sampai mati. Itu maknyanya 1Malaysia untuk orang besar. 1Malaysia orang kaya dan 1Malaysia untuk orang- orang kecil,"jelasnya.


"Negara kita antara negara yang terkaya jika banding dengan negara- negara jiran. Mana ada negara jiran yang masyhur minyak begitu besar ? Tidak usah buat apa, hanya ambil komisyen minyak, RM60 bilion, RM70 bilion. Saya tahu sebab saya Menteri kewangan selama 8 tahun. Hasil kelapa sawit, hasil balak di Sabah dan Sarawak tinggi. Tapi apakah diagih pada rakyat?,"soal Anwar lagi. - mks._HarakahDaily.

0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda