" Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam agama Islam (mematuhi hukum-hukum) semuanya, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia bagi kamu adalah musuh yang terang nyata". (208) Surah al-Baqarah.

Allah Taala dengan jelas menyeru supaya orang-orang beriman kepada-Nya agar menurut agama Islam secara menyeluruh. Hanya Islam diiktiraf oleh Allah sebagai agama/ cara hidup yang ditedahi-Nya.

Di dalam Surah Aali-Imran ayat 19, terdapat firman Allah Taala:

ءان الــــــــــديـن عـــنــد الأ ســــــــلام
Mafhumnya, “ Sesungguhnya agama ( addin / cara hidup) di sisi Allah adalah Islam”.

Allah s.w.t hanya menerima orang-orang yang beragama Islam dan mematuhi segala hukum-hakamnya. Dari kenyataan ini dapatlah dikatakan bahawa segala cara hidup lain adalah tertolak dari rahmat Allah s.w.t berpandukan bahawa kerasulan Nabi Muhammad s.a.w membawa dinul-Islam itu sebagai rahmat kepada seluruh alam.


Ada
beberapa definisi dibuat orang mengenai ‘Agama Islam’. Antaranya menyebut maknanya sebagai petunjuk Allah untuk mengatur kehidupan, penghidupan serta keperluan manusia seluruhnya yang dibawa oleh para rasul dan nabi yang berasaskan iman dan taqwa. Takrif lain terhadap kalimah dinul-Islam ialah satu peraturan sebagai panduan manusia agar mendapat kesejahteraan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan penyerahan diri kepada Allah Taala Pencipta alam ini dengan tujuan memperolehi kedamaian dan kemuliaan diri di dunia dan akhirat.

Di dalam kitab suci al-Quran terdapat banyak ayat menjelaskan mengenai ketuhanan (uluhiyyah) yang sebenar, sejarah asal kejadian alam semesta termasuk manusia, kerasulan, akhirat dan perkara ghaibiyyat, dasar-dasar pokok ilmu dan falsafahnya, sosial, ekonomi, politik, hukum-hukum, seni sastera, kesihatan, akhlak manusia dan lain-lain berhubung dengan hidup dan kehidupan manusia di samping makhluk-makhluk lain.

Segala pengajaran Islam yang murni itu adalah merupakan panduan yang jelas bagi manusia mencapai keredhaan Allah dan menempah kehidupan yang sejahtera di dunia dan di akhirat. Allah Taala memerintah orang-orang yang beriman kepada-Nya agar kesemua mereka masuk secara menyeluruh ke dalam ruang lingkup Islam.

Selaku hamba-hamba kepada Allah, manusia dikehendaki menyerahkan zahir dan batinnya kepada Allah, hidup dan matinya kerana Allah; aqidah, syariat dan akhlaknya hendaklah bertepatan dengan hukum Allah Yang Maha Bijaksana. Orang-orang yang beriman diajar mengenal dan memahami hukum-hukum perintah dan larangan, halal dan haram. Mereka disuruh berikhtiar mengerjakan kewajipan selaku hamba Allah dan berikhtiar mengelak diri dari larangan Allah.

Sesiapa jua yang berusaha mendapatkan keredhaan-Nya melalui hasrat dan amalannya, sudah tentu akan mendapat hasil baiknya. Allah s.w.t telah menjanjikan kehidupan bahagia yang sejati di akhirat nanti sebagai balasan baik terhadap niat dan daya usaha manusia sewaktu berada di ladang kehidupan di atas muka bumi ini. Usia, amalan tenaga dan pengorbanan harta benda mereka akan dihitung baik, akan dibalas dengan kebaikan jua; di samping gandaan nikmat yang banyaknya tidak pernah dipandang, didengar atau terlintas pada hati manusia di dunia ini.

Allah Taala menggesa orang-orang Islam menerima ajarannya secara menyeluruh bermakna Dia melarang mereka menerima akur sebahagian sahaja dan menolak sebahagian yang lain. Ada di kalangan manusia yang bersifat demikian; mereka menerima sebahagian yang sesuai dengan selera mereka, menolak apa-jua yang tidak sesuai dengan kemahuan mereka. Firman Allah:

افـتــؤمنون بـبعض الكتـاب وتكفــرون ببــعض

Mafhumnya: “ … Adakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan kamu kufur dengan sebahagian yang lain?” (Surah al-Baqarah: 85)


Amalan menerima setengah ajaran Allah s.a.w dan menolak sebahagian lain adalah berdosa kerana perbuatan demikian merupakan kerja-kerja syaitan, langkah-langkah kekufuran. Sifat-sifat kufur itu merupakan sifat derhaka kepada Allah. Sifat-sifat kederhakaan itu nyatanya adalah amalan syaitan yang menjadi musuh utama manusia sejak asal kejadian makhluk manusia itu lagi.

Syaitan akan menggoda dan merasuk nafsu manusia supaya melakukakan kekhilafan, berbuat kederhakaan dan dosa supaya manusia menjadi sombong, berdengki khianat sesama sendiri, bergaduh sehingga merosakkan iman dan kehidupan generasi manusia sendiri. Makhluk syaitan itu sangat berikhtiar dengan apa jua cara supaya manusia nanti menjadi penghuni neraka jahannam seperti golongannya di akhirat kelak.

Ayat di atas memberi arahan yang sangat penting kepada orang-orang yang beriman agar menentukan keselamatan, kebahagiaan hidup dan kejayaan diri di dunia dan akhirat melalui cara Islam. Beriman kesemuanya, beramal di dalam segenap bidang hidup dan beristiqamah sepanjang hayat di kandung badan. Ayat ini juga memperkenalkan kepada manusia bahawa makhluk syaitan adalah musuh amat besar kepada anak cucu Adam, manakala kerja-kerja syaitan adalah menjurus ke arah dosa dan maksiat. Maka menurut jejak langkah syaitan adalah dilarang keras, hara dan berdosa.

Di samping beristiqamah dengan iman dan Islam, kita hendaklah sentiasa memohon ke hadhrat Allah s.w.t Yang Maha Brkuasa dan Bijaksana agar menetapkan pendirian kita di atas jalan yang benar kerana terlalu banyak gangguan, ujian dan cabaran yang timbul dari hati dan perasaan kita sendiri, yang berpunca dari hasutan syaitan dan jin yang sentiasa berikhtiar memesongkan kita dari jalan Allah dengan janji-janji yang menakutkan atau yang menggoda, akibatnya kita merasa tidak tahan lalu terpesong ke lembah kesesatan.

Jika sekiranya kita tersilap melakukan dosa, terpesong ke arah yang dilarang Allah, ingatlah bahawa di sana masih terdapat panduan dan tunjuk ajar dari kitabullah. Di dalam apapun keadaan, hendaklah kita kembali kepada panduan al-Quran dan tunjuk ajar sunnah Rasulullah s.a.w semoga kita terselamat dan tidak terlanjur jauh dari keredhaan-Nya:

أ عــوذ بالــلــه من الشــيطان الرجـــيم

Mafhumnya:“ Aku memohon agar Allah menjauhkan diriku dari syaitan yang terkutuk”.

Firman Allah Taala yang mafhumnya:

Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa Maha Bijaksana.”
(209: Surah Al-Baqarah).

0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda