Di dalam Islam, solat (sembahyang) merupakan kewajipan paling utama bagi penganutnya yang akil baligh dari semua lapisan, tapa pengecualian selama nyawa dikandung badan. Solat 5 waktu itu haram/berdosa besar ditinggalkan dengan mudah demi alasan yang tidak syar'ii.

Andainya ada orang yang mengatakan dia tidak tahu, maka dakwaan itu adalah suatu kepura-puraan disengajakan semata-mata untuk menipu Allah, padahal dia menipu dirinya sendiri. Di zaman ini sepatutnya tiada seorang pun penganut Islam yang siuman/waras masih jahil tentang kewajipan solat 5 waktu ini.

Tiada sebab yang yang halal bagi seseorang Islam meninggalkan solat selain dari haid atau nifas atau tertidur atau terlupa sehingga luput waktu solatnnya. Jika seseorang meninggalkan solat selain faktor itu, maka ertinya dia sengaja mengingkari perintah Allah atau dihalangi syaitan dari menunaikannya sebab mabuk minum arak atau berjudi; sebagaimana kenyataan Allah di dalam ayat 91: Surah al-Maidah bahawa sebab arak dan judi, sehingga godaan syaitan itu menghalang manusia dari mengingati Allah dan menunaikan solat.

Kita amat dukacita kerana masih ramai umat Islam kini yang berterusan memperkecilkan mustahaknya solat 5 waktu. Lebih dahsyat lagi terdapat kalangan pemimpin kita atau tokoh-tokoh masyarakat yang dihormati itu sengaja mengabaikan solat fardhu. Mereka lebih menumpukan masa kepada hal-hal yang bukan perkara asas dalam Islam.

Mereka boleh sibuk dalam perayaan atau sambutan Maulid Nabi s.a.w, majlis Isra' Mi'raj, majlis Tilawah al-Quran, akedami nasyid, akedami al-Quran, seminar-seminar dan muktamar anjuran negeri atau kebangsaan; seolah-olah menjadi ukuran islamiknya atau bantuan besar kepada tertegaknya Islam melalui cara sedemikian, sedangkan mereka tidak menunaikan solat 5 waktu atau sengaja melengah-lengahkannya.

Ukuran yang sebenarya terletak kepada tiang agama iaitu mengerjakan solat. Siapa yang menegakkannya maka tegak-teguhlah agama. Sebaliknya siapa yang meninggalkannya bermakna dia memusnahkan Islam pada diri sendiri dan masyarakatnya. Menunaikan solat farhdulah sebenarnya bererti jasa bakti mereka menegakkan agama Islam.

Tugas sebagi pemimpin / tokoh masyarakat memang banyak, berat dan sulit. Tetapi itu semua bukanlah menjadi alasan hingga tidak sempat untuk bersolat, untuk bersyukur kepada Allah dan mengingati-Nya. Fardu solat 5 waktu itu adalah kemestian yang tidak boleh dipisahkan sama sekali betapa sibuk sekalipun pemimpin/tokoh masyarakat itu dengan tugas-tugas sehariannya. Hubungannya dengan Allah dengan solatnya jangan sekali-kali diabaikan. Betapa bijak sekalipun kita, namun sebagai orang Islam kita tetap perlukan hidayah Allah dalam setiap langkah dan aktiviti yang kita lakukan.

Dari penjelasan al-Quran, ternyata hikmat besar perintah menyuruh setiap muslim menunaikan solat ialah supaya terhalangnya dari melakukan apa jua perbuatan jahat, sumbang. tidak jujur, hina, dibenci dan lain-lain perlakuan yang tergolong di dalam senarai perkara-perkara mungkar, tidak berakhlak dan tidak berperikemanusiaan.

Para pemimpin atau tokoh-tokoh masyarakat mesti menjauhi kelakuan yang hina dan menjerumuskan diri dengan amalan dosa. Mereka mesti bertindak betul, amanah dan adil. Mereka wajib membuat keputusan yang saksama, tepat dan sesuai dengan kepentingan rakyat. Perbuatan dan tindak-tanduk mereka hendalah tidak lari dari landasan-landasan kebenaran, perikemanusiaan, berakhlak mulia dan tinggi budi-pekertinya.

Apakah yang dapat menghalang mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang hina, melakukan penyelewengan, mengetepikan kebenaran dan membuat keputusan-keputusan yang berat sebelah? Apakah yang dapat menyekat mereka dari sifat kepentingan diri, melanggar lunas-lunas peri-kemanusiaan, khianat, menindas, berbuat zalim, menyebar fitnah sesama sendiri dan melakukan rasuah sewenang-wenangnya? Apakah yang dapat menahan nafsu mereka dari minum arak, berjudi, berzina atau mengerjakan perkara-perkara haram; sedangkan mereka adalah tokoh-tokoh yang diberi kepercayaan memimpin masyarakat? Semuanya tidak dapat dihalang, disekat dan ditahan seandainyai faktor penghalang utama iaitu SOLAT tidak dikerjakan/tanpa kekal mengabdikan diri kepada Allah melalui solat fardhu 5 waktu itu.

Kita tidak mahu adanya para pemimpin/tokoh-tokoh masyarakat kita menjadi sasaran kecaman akibat hanya tahu menyuruh rakyat berpegang kepada ajaran Islam atau menjadi rakyat yang baik sedangkan mereka sendiri tidak mengerjakan solat dengan sempurna atau hadir solat hanya pada waktu-waktu sempena/ hari-hari tertentu sahaja.

Kita mahu melihat para pemimpin/tokoh-tokoh masyarakat kita disanjung, disegani dan dihormati kerana jasa baik, kewarakan dan ketekunan mereka dalam mendekatkan diri kepada Allah dengan solat fardhu 5 waktu.

Selain kewajipan setiap diri muslim kepada Allah, solat mengandungi banyak hikmat yang langsung membentuk diri muslim yang berdisiplin, sentiasa waras, berjiwa besar dan bersih, bersifat merendah diri kepada Maha Penciptanya; semuanya ini amat penting dan bernilai sewajibnya ada pada diri setiap pemimpin dan tokoh masyarakat.


SEKARAT

bagai sampan kecil dioleng ombak besar
samudera yang saujana. sesekali
terlambung tinggi, sesekali ngeri

serangga senja kesasar mencari sarangnya
sebelum kelam menyingkir terang siang

sang maut tidak digaduhkan lain urusan
dengan tali pancingnya perlahan atau kejam
akan menyentap harapan,
sebelum ditelan atau kehabisan umpan.


Rabiul-akhir 1420
Racun Abadi 2001.

3 Responses so far.

  1. Sdr Hadi: Tahniah atas kesungguhan menyuguh artikel bernafas Islami sebegini. Banyak memberikan manfaat buat sekalian pembaca.

  2. Salam kenal saudara semuslim. Entri tentang solat ini saya sangat suka. Saya akan war2kan kepada kawan2. Zaman ini ramai yang mengabaikan tiang agama itu.

    Bulan November ini genaplah usia blog saya 8 tahun. Selamat menulis dan teruslah istiqamah menulis untuk kebenaran.

    rudy bluehikari

  3. sdr marsli >> moh kita atur nafas ke ruang bermanfaat ini, moga kita perolehi lebih berkat.

    sdr rudy >> terima kasih. mai kita sama2 kukuhkan tiang itu, benar istiqamah dan doakan moga selalu di atas kebenaran.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda