Mohd Rashidi Hassan

Sun | Jul 06, 08 | 7:15:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Hrkh) - Ulama terkemuka di Malaysia seperti Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya dan beberapa yang lain menegaskan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah.

Dato' Seri Harussani membuat penegasan itu berkata, Anwar yang dihadapkan pertuduhan melakukan liwat, tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ianya tidak menepati undang-undang Islam.

Ini kerana katanya, tuduhan yang dikenakan ke atas beliau oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah dakwaan jenayah yang termasuk dalam hukum kazaf.

"Kaedahnya dalam kes ini, ialah 'orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti' dalam mahkamah, jika dia gagal mengemukakan bukti, dia boleh dikenakan hukuman hudud," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mengulas mengenai cadangan beberapa pihak termasuk Mufti Perlis yang menggesa Ketua Umum KeADILan itu bersumpah untuk membuktikan beliau benar atau pun tidak, Harussani secara sinis mengatakan, "itu cadangan dari orang yang terlebih pandai."

Katanya, masalahnya dalam kes membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.

Mufti Perak itu turut memberi peringatan kepada umat Islam, khususnya orang-orang Melayu supaya tidak terikut-ikut dengan budaya agama lain yang bersumpah dengan kitab dan sebagainya.

"Tiada kaedah langsung kena sumpah dengan al-Quran, itu meniru budaya agama lain, sumpah yang ada dalam Islam cuma 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi'," tegasnya.

Menyuarakan pandangan yang sama, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya berkata, kes yang dituduh kes atas Anwar adalah yang membabitkan hukum kazaf, bukannya li'an.

"Sumpah hanya diterima dalam kes suami isteri atau li'an. Menyuruh tertuduh bersumpah dalam kes membabitkan kazaf menyalahi hukum syarak," tegasnya ketika dihubungi.

Menurut beliau, masyarakat Islam tidak harus dikelirukan dengan gesaan bersumpah, kerana sumpah bukannya sesuai dalam semua perkara.

"Isunya tidak ada sumpah dalam bab kazaf, orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan," tegas beliau

0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda