Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh, iaitu orang yang merdeka dengan orang yang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan,. Maka sesiapa (pembunuh) yang mendapat sebahagian pengampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan diyat (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya.” (178) Surah al-Baqarah.

Di antara perbuatan dosa besar ialah membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah. Jenayah membunuh yang begitu besar kesalahannya itu sudah pasti ada peruntukan balasan di dunia dan azab siksaan di akhirat yang disediakan oleh Allah Taala..

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Anas r.a:

ذكـر رســول اللة صلى اللة عليــة وســلم الكــبائـــر:

فـقـال الشـــرك بالـلة وعــقـوق الــوالــديــن وقــتـل الـنـفـــس

Mafhumnya: “ Rasulullah s.a.w memperingatkan bahawa di antara perkara al-Kabair (dosa-dosa besar) ialah mensyirikkan Allah, menderhakai kedua ibubapa dan membunuh manusia”.

Berdasarkan wahyu Allah Taala di atas dan hadith Nabi s.a.w, hukuman sewajarnya mesti dikenakan bagi penjenayah yang membunuh seorang muslim dengan sengaja. Hukuman mengikut syariat Islam itu dinamakan Hukum Qisas.

Hukum Qisas ialah satu bentuk hukum balas ( balasan yang seimbang) akibat terjadinya sesuatu pembunuhan (kehilangan nyawa atau darah) dengan sengaja. Pihak penguasa Islam atau hakim hendaklah memutuskan hukumannya dengan hukuman bunuh juga, begitu juga dengan yang melukai atau memotong anggota badan seseorang hendaklah dihukum dengan tindakan yang serupa perbuatannya itu.

Di dalam hukum Islam telah ditetapkan bahawa orang Islam tidak boleh dibunuh balas kerana telah membunuh orang kafir harbi, tetapi hamba beragama Islam yang dilukai oleh orang kafir (misalnya Yahudi) hendaklah dihukum balas dengan tindakan yang serupa.

Adapun pembunuhan yang terjadi di suatu tempat sedangkan pembunuhnya tidak diketahui, maka denda hukumannya hendaklah dikenakan kepada orang-orang di tempat terjadinya tragedi pembunuhan itu kecuali di antara mereka berhasil menyingkapkan pembunuhnya yang sebenar atau kemungkinan lain bahawa pembunuhnya berasal dari daerah lain setelah hal itu diketahui oleh pihak berkuasa. Sedangkan ahli waris yang terbunuh dapat menuntut hukuman pada pembunuhnya agar hakim dapat menghukum bunuh atau ditetapkan adanya denda kepada pembunuhnya agar mungkin denda itu dibebaskan.

Orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi (orang kafir yang ada perjanjian setia dengan pemerintahan Islam), maka hukumannya adalah dibunuh balas. Inilah tanda keadilan hukum Islam ke atas perbuatan jenayah itu walaupun pelakunya adalah seorang Islam terhadap orang yang bukan beragama Islam. Adapun pembunuh yang berpakat melakukannya lebih daripada seorang, hendaklah mereka dibunuh kesemuanya sesudah terbukti perbuatan jahatnya itu. Manakala hamba atau wanita yang membunuh orang merdeka maka hamba atau wanita itu hendaklah juga dihukum bunuh.

Rasulullah s.a.w telah melaksanakan hukuman balas / qisas bagi seorang Yahudi yang telah membunuh seorang hamba wanita yang beragama Islam. Tetapi dalam maksud umumnya bahawa hukuman barulah dilaksanakan jika orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, wanita dengan wanita, di samping terdapat hal-hal khusus yang berkaitan. Hukuman balas ini hendaklah dilaksanakan juga kerana melukai mata, hidung, telinga, gigi dan lain-lain.

Menurut pernyataan Al-Quran selanjutnya, jika si pembunuh itu telah memperolehi kemurahan hati keluarga mangsa yang dibunuh dengan memaafkannya (yakni tidak perlu dihukum bunuh balas); maka perlulah dibayar diat / ganti rugi.mengikut tuntutan pihak yang terbunuh. Begitulah keringanan yang merupakan rahmat dari Allah Taala terhadap hukuman tersebut. Menurut mafhum satu hadith Nabi s.a.w, denda bagi satu nyawa akibat pembunuhan itu ialah bernilai 100 ekor unta. Manakala jika terpotong satu jari tangan atau jari kaki dendanya 10 ekor unta, sebatang gigi dengan 5 ekor unta, luka tembus tulang dengan 5 ekor unta. (lihat HR Abu Daud).

Begitulah di antara keringanan yang diberikan oleh Allah dan rahmat-Nya terhadap hamba yang melakukan jenayah tersebut. Agama Islam amat mementingkan keharmonian dan kesejahteraan hidup. Betapa mahalnya nyawa setiap manusia; sebab itulah Islam bencikan permusuhan yang berlanjutan di kalangan manusia. Sikap berdendam antara satu sama lain adalah dilarang keras. Oleh hal yang demikian, jika ada pihak yang cuba membalas dendam lagi selepas dijalankan hukuman Qisas itu adalah melampau, haram dan berdosa besar.

Di dalam satu ayat lain Allah berfirman :


Mafhumnya: Dengan sebab itulah Kami telah menetapkan ke atas Bani Israil bahawa sesiapa membunuh (satu jiwa) tanpa sebab atau melakukan kerosakan di bumi, seolah-olah dia telah membunuh semua manusia” (Surah al-Maidah: 32)

pendeknya bagi orang yang melakukan jenayah membunuh itu, selain dia dihukum gantung atau dipenggal kepalanya di dunia ini menurut hukuman Allah, di akhirat nanti mereka akan menerima siksaan azab di neraka pula sebagaimana firman Allah s.w.t :



Mafhumnya: “ Sesiapa yang membunuh orang mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia di dalamnya; dan Allah sangat murka dan mengutuknya sambil disediakan baginya siksaan yang sangat hebat. ” (Ayat 93: Surah an-Nisa’)

Jenayah melakukan pembunuhan ini termasuklah juga kepada ibu-ibu yang membunuh atau menggugurkan anak di dalam kandungannya akibat perzinaan (anak luar nikah) misalnya, sebagaimana yang sering berlaku di dalam masyarakat. Maka ibunya sendiri, bidan, doktor atau sesiapa juga yang terlibat merestuinya adalah berdosa besar, balasannya kelak adalah neraka Jahannam, menerima siksaan yang pedih.

Manakala bagi mereka yang berputus asa, gagal di dalam dugaan hidup, muflis dan sebagainya sehingga sanggup membunuh diri sendiri walau apa cara sekalipun, juga akan dihukum dengan azab siksaan yang hebat di akhirat kelak kerana kejahilan, hilang pertimbangan kemanusiaannya serta telah pupus imannya kepada Allah.

Maka selaku orang yang beriman, bertawakkallah kepada Allah serta selalulah berdoa mohon dijauhi-Nya daripada tindakan sesat yang didalangi nafsu jahat itu.






0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda