Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya. ” (172) Surah al-Baqarah.
Makanan, minuman dan pakaian adalah sebahagian daripada keperluan hidup manusia. Allah s.w.t. telah mencipta serta menyediakan pelbagai jenis bahan dan kejadian untuk manusia memproseskannya menjadi makanan, minuman dan pakaian mereka. Manusia menikmati dan berasa bahagia setelah mendapat keperluan itu dengan sempurna. Namun begitu syariat Islam membataskan bentuk dan jenis yang dihalalkan sahaja harus diguna-pakai oleh umatnya.
Kita wajib memakai pakaian yang menutup aurat dan bersopan. Islam tidak menegah umatnya berpakaian cantik, berjenama atau mahal harganya; asalkan pakaian tersebut bersih, kemas dan menepati ciri-ciri yang telah digariskan oleh syariat Islam.
Kita boleh mencapai kesihatan, kekuatan dan dapat mengerjakan ibadat dengan selesa apabila kita mengamalkan cara hidup yang sihat dan diredhai Tuhan.
Dalam soal makanan, kita perlu mengambil makanan yang mengandungi jenis zat yang terdiri daripada karbohidrat, protein dan vitamin. Pengambilan makanan yang seimbang membantu pertumbuhan badan dan melindungi diri dari serangan penyakit. Tubuh badan yang sihat akan memiliki ketahanan yang kuat.
Otak yang cergas juga berada pada badan yang sihat. Maka makanan dan minuman kita mestilah dari sumber pendapatan yang bersih dan halal.agar terjamin kesihatan badan bagi memperolehi kecergasan berfikir. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan umatnya mencari penghidupan melalui pekerjaan yang halal.
Makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan pada keseluruhannya halal kecuali yang memudaratkan atau bercampur dengan benda-benda yang haram. Manakala makanan daripada haiwan yang halal wajib disembelih mengikut syariat Islam terlebih dahulu di samping menurut kaedah pemakanan yang baik. Begitu juga sumber makanan dari laut juga adalah halal dimakan kecuali yang beracun.
Di dalam ayat berikutnya, Allah s.w.t berfirman:
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Amat Pengampun, lagi Amat Mengasihani” (173) – Surah Al-Baqarah.
Syariat Islam dengan jelasnya telah mengharamkan kita memakan daging babi dan bangkai haiwan. Orang-orang Islam juga dilarang memakan binatang-binatang yang tidak disembelih menurut kaedah syariat Islam. Daging dan darah pada bangkai haiwan adalah najis dan mempunyai kuman yang boleh membawa penyakit.
Agama Islam telah memberi rukhsah atau keringanan kepada umatnya sewaktu berada di dalam keadaan dharurat seperti ketika musafir, peperangan, kelaparan dahsyat dan sebagainya. Antaranya mereka tidak dikenakan dosa jika terpaksa memakan benda-benda yang diharamkan syarak, jika tiada makanan lain atau boleh membawa mati kalau tidak memakannya. Kita dibenarkan memakannya dengan syarat tidak melampaui batas. Allah s.w.t Maha Mengetahui keadaan kita yang sebenarnya pada waktu itu.
Antara hikmat keringanan diberikan kepada umat Islam adalah supaya mereka menjaga dan menyelamatkan nyawa dan akal. Allah s.w.t telah menjadikan rezeki makanan dan minuman untuk kebaikan pembinaan fizikal dan mental. Oleh itu kita mesti memilih makanan dan minuman yang halal, segar dan berkhasiat.
Umat Islam hendaklah menjauhi makanan dan minuman haram bagi menjaga kesihatan tubuh badan, memelihara kewarasan akal serta menjaga maruah diri. Syariat Islam tidak mahu manusia terjerumus ke lembah kebinasaan. Umat Islam wajib menghindari dari makanan dan minuman yang memudharatkan.
اللـــهم بـــرك لنــا فيــما رزقــتـنـا وقــنـا عــذاب الــنار
“ Wahai Tuhan kami, berkatilah pada apa yang Engkau rezekikan kepada kami serta jauhilah kami dari azab nerakan’. Amin
Orang-orang yang sentiasa mengamalkan amalan soleh melalui pemakanan demikian, juga akan dimakbulkan doanya. Dia akan memperolehi pahala kerana mengikut sunnah di samping menjauhkan dirinya dari siksaan azab neraka di akhirat nanti.
0 Responses so far.
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda