Penyakit manusia ni tidak seperkara dua. Macam-macam. Penyakit badani, penyakit rohani dan penyakit perasaan. Kisah orang-orang politik berpenyakit lagi teruk. Penyakit biasa, penyakit yang perlu diubati secara manual, penyakit kena temui dukun, penyakit meroyan; sama ada kronik atau tidak kronik.
Kisah mereka berpenyakit 'politik wang' a.k.a rasuah hingga jatuh maruah, berebut kerusi, makan tanggung, bermusuh sesama sendiri dan melompat parti sudah menjadi semacam amalan biasa. Mereka dah lupa agama, budaya dan peri kemanusiaan.
Akibat dari pelbagai tanggungan penyakit itu, rakyat juga akan terasa sengal-pedihnya malah ikut menanggung kronik sukar diubati. Lebih teruk jika rakyat sesama rakyat berkekah-balah; pemimpin pula bertepuk tangan dan mengambil kesempatan. Fenomena beginilah yang ditulis dan dicetak dalam buku-buku sejarah segenap bangsa. Penyakit sebegini jualah yang merugi dan memusnahkan prasarana tamadun bangsa tersebut.
Dalam masyarakat Malaysia ada terdapat sosok=sosok sakit yang menjadi mitos dan mercu tanda kepada penyakit kronik sukar dipulihkan itu. Sikap Mat Jenin, Pak Pandir, Pak Kaduk, Si Luncai, Lebai Malang malah termasuk juga Si Tanggang, Sang Kelembai, Badang dan Awang Buntal. Mereka ada wujud sepanjang zaman. Mereka bernafas dengan nama lain dan berlokasi dari teratak buruk di desa hinggalah ke Putrajaya dan istana.
Siapakah yang akan menjadi munsyi (reformer), mursyid (leader), tabib (doctor), penggerak (motivator) atau sifu bagi memulihkan penyakit-penyakit itu sebelum yang menjadi wabak dan lebih kronik yang boleh menamatkan sebuah negara bangsa.
Rasa sakitnya sudah tentu berbeza. Almarhum Mat Jenin terjatuh mati akibat sambil memanjat tinggi dia telah memasang angan-angan yang tidak munasabah dengan dirinya. Hingga tiba saat mahu mendakap kemas puteri raja, okey juga. Batang Kelapa semakin kemas dieratnya. Bila tuan puteri bangun dan berundur dari katil mimpinya Mat Jenin melapaskan tangun mahu mencapai tangan tuan puteri impiannya. Akibatnya Mat Jenin terjatuh hingga mati di atas bumi nyata..
Kata setengah orang, orang-orang politik ramai yang memasang angan-angan melebihi kudrat yang ada. Akhirnya mereka gagal dan meninggalkan kesan buruk bagi diri dan rakyatnya.
0 Responses so far.
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda