Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
" Sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang jahat (fajir)"- riwayat al-Bukhari.

Pada hadis di atas Rasulullah s.a.w mendedahkan satu hakikat yang wujud dalam perjuangan menegakkan Islam bahawa umat Islam hendaklah mengambil sikap bijaksana sepanjang masa. Baginda mendedahkan bahawa barisan pejuang-pejuang dan pendokong-pendokong Islam tidak selamanya terdiri daripada mujahid mu'min yang soleh, berjuang dengan ikhlas untuk menegakkan Islam demi mematuhi seruan Allah dan mencari keredhaan-Nya.

Namun di dalam barisan itu tidak kurang wujudnya manusia-manusia fajir yang sering bermaksiat, munafik dan tidak beriman ikut berjuang. Pada zahirnya mereka gigih memperkuatkan Islam dan Islam benar-benar mendapat kekuatan hasil perjuangan mereka, tetapi jasa-jasa mereka yang baik kepada Islam itu tidak membawa sebarang nilai di sisi Allah. Perjuangan dan jihad yang sebenar mestilah terpancar dari iman dan keyakinan tidak berbelah bahagi terhadap Allah dan rasul-Nya.

Siapa pejuang fajir @ jahat itu?

Syeikh al-Maraghi menyebut, manusia fajir itu adalah sesiapa yang melanggar syariat Allah dan mencabul kehormatannya. Syeikh Al-Asfahani pula menyatakan perbuatan fajir ialah pencabulan terhadap kehormatan Islam. Seseorang pembohong juga adalah fajir @ jahat kerana berdusta merupakan satu sifat keji. Ibn Athir menjelaskan, " Manusia fajir ialah orang yang bergelumang dalam maksiat dan perbuatan-perbuatan haram".

Jadi setiap orang sama ada pejuang atau pemimpin umat Islam yang melakukan maksiat atau perbuatan haram yang kononnya berjuang menegakkan Islam maka dia adalah seorang yang fajir / fasik dan munafik. Menurut Syeikh Al-Hifni, " Termasuk di dalam golongan manusia fajir ialah orang 'alim yang tidak beramal dengan ilmunya sedang orang lain mendapat faedah dan beramal dengan ilmu yang diajarnya". Syeik Al-Manawi pula menggolongkan " Pemerintah yang zalim adalah juga golongan fajir @ jahat."

Syeikh Al-Hifni juga mencatatkan asal hadis di atas bahawa Nabi s.a.w melafazkannya sewaktu baginda melihat seorang tentera berperang hebat dalam pertempuran Khaibar dan berjaya mengalahkan orang-orang kafir sedang dia adalah munafik; lalu Nabi s.a.w menyatakan kepada para sahabat bahawa tentera itu adalah penghuni neraka. Sahabat-sahabat kehairanan kerana mereka ketahui yang lelaki itu telah berjaya menewaskan ramai musuh dan dia sendiri parah. Malamnya lelaki itu tidak juga mati namun dia telah membunuh dirinya kerana tidak tahan menderita sakit. Bila berita itu tiba ke pengetahuan Nabi, lalu baginda bersabda mafhumnya: " Aku adalah hamba Allah dan rasul-Nya, sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang fajir".

Peristiwa yang melahirkan hadis ini jelas menjadi panduan, bagaimana seorang yang bermati-matian berjuang mempertahan dan menegakkan Islam sedangkan dirinya fajir @ jahat lagi munafik. Perjuangan yang tidak ikhlas itu tidak menyelamatkannya dari azab neraka kerana dia masih mengerjakan amalan yang bertentangan dengan perjuangan sejati untuk menguatkan Islam itu.

Seorang orientalis J. Milton Cowan ketika memberi erti kepada kalimat 'fajir' dalam kamusnya telah membariskan sifat-sifat jahat berikut: libertine, profigate, roue, rake adultere, liar, insolent, impudent, shamless, bazen; yang membawa makna suka berzina, tidak menghormati wanita, cabul, cendala, hamba nafsu, berakhlak jahat, tidak bermoral, jahat dan kejam, pembohong, kasar budi, kurang ajar, tidak bermaruah dan tidak punya rasa malu.

Sejarah Islam mencatatkan sejak dahulu hingga kini bahawa terdapat banyak manusia fajir @ jahat itu telah dapat mengabui mata masyarakat dan umat Islam dengan perjuangan mereka yang gigih untuk menegakkan Islam, padahal hakikatnya perjuangan mereka itu bukanlah ikhlas tercetus dari dorongan iman dan demi mencapai keredaan Allah; malah kelakuan mereka masih tetap tidak terlepas dari amalan maksiat dan dosa-dosa besar.

Maka tidak hairanlah jika terdapat golongan seperti ini di dalam negara kita; mereka memberi sumbangan jasa pembangunan dan kemajuan kepada masyarakat Islam, sedangkan mereka sendiri tidak meninggalkan perkara-perkara maksiat dan tidak mencegah kemunkaran yang berleluasa di depan mata walau pun mereka memiliki kuasa untuk membendungnya.





0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda