Hujan akhir tahun di kawasan pantai timur semenanjung Malaysia tidak dapat menyejukkan suhu di negeri Kelantan. Negeri yang sejak dulu-dulu bergolak politiknya. Negeri yang unik udara politiknya dan adakalanya sengaja diganggu-gugat oleh 'pergolakan' rekaan. Politik berparti di sini berbeza dengan negeri-negeri lain. Rakyat Malaysia sudah maklum, negeri Kelantan adalah 'universiti politik Malaysia'.

Sejak 52 tahun lalu hingga 2009, negeri Kelantan diterajui oleh bukan Umno/Perikatan/Barisan Nasional secara mutlak seperti mana negeri-negeri lain. Parti PAS pernah memerintah dulu selama 18 tahun selepas PRU tahun 1959. Tahun 1978 Umno-BN memerintah Kelantan setelah PAS yang telah bergabung dengannya ditendang keluar. Namun 1990, Parti Islam itu berjaya masuk ke Kota Darul-Naim memerintah Kelantan hingga kini. Berbagai ikhtiar oleh tiga Perdana Menteri merangkap Presiden Umno-BN untuk merampas kembali negeri Kelantan, ternyata gagal. PRU12 dalam tahun 2008, pentadbiran PAS di Kelantan mantap.

Pelbagai cara perang saraf, makar dan agenda dilakukan UBN dengan segenap jentera mengekori serta memintas parti dan pemimpin kerajaan Negeri Kelantan, ternyata apa yang UBN kendung juga telah berkeciciran. Negeri-negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinag dan Perak (?) terlepas ke parti lawan Umno-BN. Namun agenda-agenda untuk menggugat Kerajaan negeri Kelantan semakin bertambah dan boleh memeningkan kepala politik banyak orang.

Pihak-pihak terbabit akan menggunakan apa jua cara selain melalui cara demokrasi (PRK atau PRU) seperti rampasan kuasa, perang saraf, peranan media, peranan pemimpin UBN, peranan SPRM, menyebarkan fitnah, adu-domba / provokasi/manipulasi dan sebaginya. Selalunya akan ada pula orang-orang tertentu yang sanggup menjadi 'kambing hitam', 'katak', 'anjing menyalak bukit', 'anjing terspit', 'selipar jepun', 'terompah kayu' , 'gunting dalam lipatan', 'musang berbulu ayam' ;'pagar makan padi' dan berbagai lagi yang boleh mengancam ketenangan politik pasca-PRU12 di negeri Kelantan.

Para pemimpin PAS di Kelantan akan dikesan kelemahan peribadi serta tindakannya agar menjadi umpan @ bola tanggung yang boleh memenangkan pemburu-pemburu peluang dari UBN. Sudah tentu insan yang menjadi sasaran mereka ialah Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul-'Am PAS YAB Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat!! Bedilan dan tembakan baik secara berdepan, rambang atau tembak curi selalu dilepaskan kepada TGNA, namun beliau hingga kini menjadi MB Kelantan hampir 20 tahun. Sudah tentu ada kelebihannya.

Tidak puas hati dan politik terus bergolak dan digolakkan. Telah di'isu'kan oleh pihak-pihak musuhnya dengan fitnah dan tohmahan. Apa yang keluar dari cakap MB itu diulas dengan pelbagai ulasan dan seranah dari peringkat bawah hinggalah ke puncak pari UBN. Mereka mahu benar melihat TGNA jatuh atau mendapat 'sakit' kerana Mursyidul-'Am itu telah banyak mendedahkan 'penyakit' yang ada pada UBN dan pentadbirannya yang memang tenat dan 'busuk hingga ke ususnya' (meminjam coretan mantan PM Tun Dr Mahathir).

Mutakhir ini isu-isu menantu TGNA selaku CEO pada PMBK, TGNA menerima tajaan RM65K untuk menunaikan haji ke Mekah, soal orang-orang tertentu di keliling TGNA, mahukan TGNA meletak jawatan hingga diadakan 100 penunjuk perasaan/prihatin (konon!) dekat Kota Darul-Naim segera dibalas dengan satu lagi demo 10,000 lebih dekat pejabat PAS di pusat bandar Kota Bharu; kini tinggal separuh bulan Disember 2009 muncul pula dua isu baru. Satunya TGNA sudah menyebut siapa pengganti beliau selaku MB Kelantan ( sila baca...)

Hujan hujung tahun juga bukan menyejukkan suhu di negeri Kelantan. Satu lagi isu panas muncul. Ia tumbuh selepas hujan malam tadi bagai satu cendawan! Cendawan yang tidak boleh dimakan mudah. Ada sesuatu yang bergolak di istana Kelantan apabila Tengku Muhammad Fakhry Petra mencabar kesahan tindakan kekandanya Tengku Muhammad Faris Petra melucutkannya daripada majlis perajaan negeri. (baca lagi...)

Kita kurang arif dan banyak jahil tentang hal-ehwal istana, baik di negeri Kelantan atau lelain negeri. Perak misalnya. Namun oleh kerana timbul isu-isu berkaitan, ia akan terdedah sendiri menjadi maklumat kepada massa. Ada baiknya kita tunggu dan lihat sambil mengharapkan rahmat dari Allah agar kita semua dilindungi. Kita serahkan masalah kepada mereka yang lebih arif.

Misalnya dalam berita terbaharu dikatakan oleh pihak tertentu bahawa YAM Tengku Muhammad Fakhry Petra tidak boleh mencabar keputusan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra iaitu Pemangku Raja Kelantan, yang melucutkannya daripada senarai bakal pewaris takhta, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu pada hari Rabu. (baca selanjutnya di sini...)

Baik isu-isu berkaitan pemerintahan PAS di Kelantan, soal TGNA selaku MBnya atau perkara dalaman istana Kelantan yang semakin hangat dibincangkan; semuanya itu menjadi / bakal menjadi berita-berita mutakhir yang dinanti-nantikan. Ianya sudah tentu boleh melariskan
akhbar-akhbar yang selalu mensensasi dan memanipulasi keadaan.

0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda