Ziarahilah Kelantan ini

Negeri kurang maju tetapi cukup jaga jatidiri

Selatannya Pahang dan Terengganu,

Berjiran jua Perak, Kedah. Bersempadan Pattani.

Dimasinkan budu, dimaniskan madu

Diperkasakan agama dan diperkayakan seni

Hemah dirinya berbahasa hamba

Menyahut cabaran, tidak akan lari

Demi maruah dijaga hingga rela mati


Tanah kami terbentang menerima datang

Bagai meja makan sedia ikhlas untuk tetamu,

Cuma hidangannya sedap ala kadar

Di sini tiada cemburu dan iri

Sentuh dan rasailah hati budi kami

Angin dan tanahnya berhembus mendatar

Tidak seperti lain negeri,

Bukit dan gunungnya tinggi-tinggi

Sukar didaki anak-anak sendiri


Gua Musang akan menyambutmu

Batas Taman Negara ini indah tersendiri

Tersergam menonjol bukti kuasa Ilahi

Kota bergua punya keteguhan dan keramat,

pintu menghala daerah barat

Lebuh raya menjalar ke sempadan luar


Kota besar Kuala Krai gah dalam kitab sejarah

Kabarnya pelayar I-Ching benua China ada singgah

Raja puteri berdaulat di Tanah Serendah

Sekebun Bunga sang kijang bercanda

Kekal berlambang selaku tanda bendera merah


Kampung Machang kini pekan singgahan

Bandar berjenama buah wangi, masam dan manis

Maju berkembang, menghubungi empat penjuru jajahan

Sawah saujana dusun buahan ladang berbaris


Pasir Putih tanah asal sang pahlawan

Tok Janggut gelaran buat Tuan Haji Mat Hassan

Memugar Inggeris bukan derhaka baginda sultan

Pantang tunduk, lebih baik menjihad korban

Menerima syahid bersemadi di Pasir Pekan

Tanah Merah, bandar lama kereta api lalu

Bukit Panau menambat hati pengunjung

Jambatan bersejarah merentang arus sungai

Kanan kiri saudara mara mesra sekampung

Mengatur langkah anak watan menuntut ilmu


Pandangan Jeli punya balam bukit bukau

Diteroka, tumbuh mahsul memakmur rakyat

Belentara menjelma tanaman menghijau

Tanah tanih bermutu lambang hidup seikat

Garisan lebuh raya ke utara semenanjung

Mengisi merdeka di bumi ibu kandung.


Bumi paling kaya terkenal Pasir Mas

Saujana mata relung luas mengeluar beras

Sepakat kata sentiasa mengembeling tenaga

Daerah pesaka pemondokan ilmu agama

Jelitawannya menarik lembut peribadi bangsa


Kenangan silam mengungkap seribu kesan

Betapa Tumpat menjadi sut landasan

Keretapi menarik gerabak dan menolak asap

Kini bandar sempadan Pengkalan Kubor

Singgahan keluar masuk pelancong melabur


Pantai Irama tidak memisahkan lagunya

Sepoi angin Laut China Selatan mendesah

Pagi Bachok paling awal menyambut mentari

Malam suam kita pintas deru laut Tok Bali

Ada kenangan ada ingatan merantai hati


Jika kamu Melayu ingatlah Kota Bharu

Kota berbudaya, penghuni kasihkan kemesraan

Kota Bulatan Tuan Padang menjadi mercu

Tanda sehati merendah diri mendokong iman

Murah barangan, tidak mengejar untung lebih

Mahal nilaian, bukan maknanya suka menindih

Jenguk dampingilah kami di negeri Kelantan

Rakyat Tanah Melayu amat banggakan watan.


Jamadilakhir 1425

Jendela Timur, DBP 2005.

1 Response so far.

  1. Salaam,

    Just found out that you've started blogging today. I will be a frequent visitor here.

    The poem reminds me to 'rediscover' myself.

    Mabruk untuk seorang abang yg amat dihormati.

    kailani

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda