1. PENGERTIAN IMAN


ALLAH Subhanahu wa taala dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhitung kepada manusia. Iman merupakan suatu nur atau cahaya petunjuk kurniaan Allah Taala yang paling tinggi nilainya Iman adalah suatu nikmat anugerah-Nya di samping nikmat-nikmat lain yang tidak terhitung.


Iman merupakan asas atau punca bagi manusia berfikir dengan baik, bertindak dengan baik dan mendorong ke arah amalan-amalan baik di dalam hidupnya. Dengan iman manusia akan menjuruskan segala amalannya menuju matalamat yang diredhai Allah.


Kalimah ‘iman’ adalah berasal dari kata dasar bahasa Arab yang bererti yakin atau percaya. Ia merupakan satu keyakinan yang teguh di dalam hati seseorang manusia terhadap kewujudan dan kebenaran Allah. Bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa, Pencipta serta Pentadbir seluruh alam. Maksud ‘iman’ yang lebih berfokus ialah kepercayaan di dalam hati, pengakuan dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota akan segala rukun dan perintah Allah.


Orang yang beriman jika seorang disebut mukmin (mu’min. Kalau bilangannya melebihi seorang (jamak), ia disebut mu’minun, mu’minin atau alladhina aamanu, yang bermaksud ‘orang-orang yang beriman’.


2. SIAPA ORANG YANG BERIMAN


Mu’ min adalah kalimat Arab yang bererti orang yang beriman. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyatakan tentang orang yang beriman, peranan, tanggungjawab dan kedudukannya di sisi Allah. Dinyatakan juga tentang sifat, sikap dan amalan-amalannya sebagaimana yang dikehendaki Allah. Malah dijelaskan juga natijah dan balasan baik terhadap keimanan mereka. Mereka akan diberi keistimewaan ketika di dunia ini dan semasa di akhirat nanti. Selalunya ayat-ayat yang ditujukan untuk orang-orang yang beriman akan disebut bersama amalan-amalan baiknya ‘ Innalladhina aamanu wa ‘amilussolihati…’

ءان الـــــذيــن أمـــــنــوا وعــــــــمــــلــواا لـــــــــــصـــالــــــــــــحــات

Ertinya: “ Sesungguhnya mereka yang beriman dan mengerjakan kebaikan...”


Di dalam Al-Quran memang terdapat banyak ayat yang Allah s.w.t tujukan kepada orang-orang yang beriman agar mengambil perhatian terhadap apa yang dimaksudkan oleh wahyu-Nya dengan jelas sama ada positif atau negatif dari segi konsepnya. Ayat-ayat tersebut didapati sama ada berupa maklumat, penjelasan terhadap masalah serta perintah terhadap peranan dan tanggungjawab selaku hamba Allah. Terdapat juga ayat-ayat yang menyatakan tentang balasan dosa, larangan, amaran, ancaman dan sebagainya terhadap orang-orang yang beriman. Ayat-ayat demikian dimulai dengan Ya ayyuhalladhina aamanu…

يـــــــــــأ يـهــا الـــذيــــــــن أ مــــــنـــــوا


Ertinya: “ Wahai orang-orang yang beriman…”


Jadi siapa sebenarnya orang yang beriman itu?


Selain memiliki makna iman di atas, orang-orang yang beriman sudah tentu memiliki banyak ciri kebaikan dan kelebihan sebagaimana yang dikehendaki Allah s.w.t. Orang yang beriman hendaklah mengaku benar apa yang dia imani dan sudah pasti menjadi orang yang taat dan patuh mengamalkan segala perintah Allah, kerana amalannya itulah benar-benar akan menjadi bukti keimanannya. Orang yang beriman merealisasikan keyakinan batinnya melalui perhambaan sejati terhadap Tuhan rabbul-jalil.


Pengertian bagi kalimat iman juga ialah aman dan amanah. Jadi, orang beriman hidupnya aman dan beramanah. Seseorang mu’min sanggup menerima segala perintah Allah sebagai satu amanah dalam hidupnya. Dia akan memelihara agama Islam dengan sentiasa menyuburkannya dengan baja ketaatan serta mempertahankan ketinggiannya dari dihina atau dimusnahkan. Dia sanggup bertindak dengan apa jua cara bagi menjaga kedudukan baik agama Islam daripada serangan musuh walaupun terpaksa berkorban harta dan nyawa kerana tugas besar itu juga adalah amanah.


Antara sifat-sifat orang yang beramanah ialah pergaulan yang baik sesama manusia, menepati janji, bercakap benar, berlaku adil, menyempurnakan hak, ikhlas dan sebagainya. Seseorang yang beriman tetap menentukan kehidupan hariannya mengikut ajaran Islam. Dia yakin terhadap kuasa Allah serta redha menerima qadha dan qadar-Nya. Keadaan ini boleh membentuk jiwanya selalu bersifat sabar, tenang dan tenteram. Iman itulah yang sering menjadi pengawal kepada fikiran dan perasaannya.


Orang yang beriman melihat seluruh alam sekitarnya sebagai tanda keagungan Allah. Segala kejadian baik dan buruk mempunyai hikmat tersendiri.. Kejadian itu juga menjadi iktibar kepada hidupnya. Dia tidah mudah takut, bimbang dan dukacita dalam apa jua keadaan. Dia tidak lupa kepada Allah dan selalu ingat bahawa Allah sentiasa melihatnya. Malah bila disebut nama Allah, hatinya akan gementar takut kepada Allah dan kebesaran-Nya. Dia berasa sangat takut kalau usianya berakhir padahal masih banyak perintah Allah yang belum dilaksanakan.


Seseorang yang memiliki iman yang teguh tetap berusaha supaya imannya terpelihara, sentiasa subur dan bertambah kukuh. Dia melaksanakan semua Rukun Islam, mengerjakan ibadat dengan ikhlas dan berkelakuan baik sepanjang waktu. Dia sedar dan tahu bahawa Allah mengetahui setiap perbuatan dan niat hatinya.


Oleh itu kita semua hendaklah memastikan kedudukan iman masing-masing. Menjaganya supaya tidak rosak atau terpesong. Hendaklah sentiasa menyuburkan iman dengan amalan baik, selalu membaca dan menghayati Al-Quran. Jadikan jalan hidup ini terkawal menurut garis panduan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w., semoga mendapat kebahagiaan semasa di dunia dan di akhirat nanti.


Kita hendaklah menyedari bahawa nikmat yang paling besar ialah nikmat iman dan Islam. Anugerah iman dan Islam ini menjadikan seseorang itu bertakwa kepada Allah. Semua kerja yang dilakukan mestilah berlandaskan iman, penuh kejujuran, bertawakkal dan penuh keikhlasan kepada Allah.


Selaku orang yang beriman, kita hendaklah sentiasa yakin dan ingat bahawa Allah sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui apa yang kita lakukan dan apa jua yang ada di dalam hati kita kerana melalui keyakinan dan kesedaran inilah kita akan selalu berwaspada di dalam setiap geraklaku pada setiap masa..


Oleh itu kita hendaklah selalu berdoa memohon daripada Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang agar mengurniakan kita iman yang berkekalan, petunjuk yang lurus dan ilmu yang berguna. Kita juga hendaknya memohon daripada-Nya agar dijauhkan dari kemurkaan-Nya; diselamatkan kita dari dosa dan kesesatan yang mengakibatkan kita disiksa di akhirat nanti.


  1. KELEBIHAN BAGI ORANG YANG BERIMAN


Orang yang benar-benar beriman sudah tentu akan mendapat kelebihan dan keistimewaan berbanding orang-orang lain. Mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah. Mereka akan memperolehi darjat terbaik hasil dari keimanan dan amalan baik sewaktu hidup di dunia. Malah mereka akan diberi keampunan yang amat luas di atas kesilapan yang dilakukan.


Mereka juga akan memperolehi balasan pahala yang berlipat ganda terhadap sumbangan baik dan ketaatan kepada perintah Allah semasa hidup di dunia ini; seterusnya akan menerima anugerah rahmat nikmat apabila di akhirat nanti.


Di dalam Surah al-Mu’minun: ayat 1-9, Allah s.w.t menyatakan keberuntungan besar bagi orang-orang yang beriman. Mereka akan mendapat kejayaan kerana khusyuk di dalam solatnya. Mengerjakan setiap amalan itu dengan sepenuh hati dan tumpuan kepada Allah.hadir hati semata-mata untuk mendapat keredhaan-Nya. Solat yang khusyuk akan meningkatkan iman dan menyebabkan hubungan yang baik dan lebih akrab dengan Allah.


Mereka juga akan berjaya sekiranya meninggalkan amalan sia-sia (lagha) atau tidak memberi faedah di dalam hidup sehariannya. Amalan lagha ialah perbuatan yang tidak ada nilai dan tidak memberi manafaat sama ada perkataan atau perbuatan seperti gurau senda, permainan yang tidak memberi faedah kepada jasmani dan rohani, percakapan kosong, membuang masa atau perkara yang boleh menjatuhkan maruah.


Orang-orang beriman akan beruntung apabila mengeluarkan zakat. Mereka berasa bahagia dan puas kerana dapat menyucikan harta dan dirinya melalui pertolongan kepada orang lain. Mengeluarkan zakat bererti mengagihkan sebahagian harta kepada orang yang memerlukan agar sama-sama menikmati rezeki kurniaan Allah di samping mengeratkan silaturrahim sesama manusia.


Dinyatakan juga mereka akan mencapai kejayaan setelah berupaya menjaga maruah atau kehormatan diri. Islam berkehendak agar umatnya berdiri di atas asas keluarga bahagia yang diredhai Allah Taala. Orang-orang yang beriman hendaklah menyalurkan keinginan naluri seksnya melalui cara yang diizin syariat. Hanya melalui jalan inilah akan terbentuknya masyarakat yang sejahtera dan cemerlang.


Di dalam pergaulan bersama masyarakat, orang-orang beriman digesa menzahirkan kelakuan atau akhlak yang mulia. Sebuah masyarakat akan sejahtera dan harmoni jika ahli-ahlinya mempunyai sifat-sifat mahmudah (terpuji). Selain sifat-sifat bertanggungjawab dan kewajipan mematuhi perintah Allah Taala selaku hamba-hamba-Nya orang-orang yang beriman semestinya menjauhi sifat-sifat negative iaitu sifat mazmumah (tercela). Mereka hendaklah sentiasa menjaga amanah dan menunaikan janji. Berhubung baik dengan Allah selaku khalifah dan hamba-Nya di bumi, orang-orang beriman juga mesti menyempurnakan amanah serta janjinya di kalangan sesama manusia.



Orang-orang yang beriman akan mendapat kejayaan di dunia dan akan mencapai syurga di akhirat nanti sebagaimana janji-janji Allah Taala. Mereka yang mengerjakan solat dengan sempurna dan berterusan akan terdidik menjadi hamba yang taat. Mereka akan menjadi hamba yang pasti beroleh keampunan dari Allah s.w.t dan mencapai nikmat keuntungan sebenar nanti

0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda