Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu berkata ra’ina tetapi berkatalah unzhurna, dan dengarkanlah. Dan bagi orang-orang yang kafir adalah siksaan yang pedih .” (104) Surah al-Baqarah.


Hidayah Islam adalah merupakan nikmat yang paling besar kurniaan Allah s.w.t kepada manusia melalui perantaraan para rasul yang bermula daripada Nabi Allah Adam a.s sehinggalah rasul-Nya yang terakhir Nabi Muhammad s.a.w. Baginda Rasulullah s.a.w sebagai nabi terakhir diperintahkan menyampaikan risalah Islam untuk semua bangsa manusia. Seruan ke arah tauhid dan syariat Islam diteruskan oleh orang-orang yang beriman dari kalangan umat baginda hinggalah ke hari qiamat.


Berasaskan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w selaku manusia pilihan, manusia paling mulia di sisi Allah dan pemimpin agung untuk umat manusia; Al-Quran telah memberi panduan khusus cara-cara bergaul serta memuliakan baginda baik semasa baginda masih hidup ataupun selepas wafatnya.


Selain dari ucapan selawat dan salam sebagai tanda penghormatan kepada baginda, orang-orang beriman diperintahkan supaya bertutur kata dengan suara yang sederhana, merendah diri serta berbahasa sopan santun terhadap baginda. Orang-orang yang beriman dikehendaki menerima dan mengamalkan sunnah baginda, dilarang meminggirkannya apatah lagi menyanggahnya.


Nabi Muhammad s.a.w diutuskan kepada manusia sebagai rasul Allah yang terakhir dan membawa rahmat kepada seluruh alam. Baginda berjuang menentang kekufuran manusia terhadap Allah. Baginda mahu menegakkan kebaikan dan menghapuskan kemungkaran di muka bumi. Baginda mahu menghapuskan kejahatan sambil memberi teladan dengan akhlak yang mulia. Baginda amat mengambil berat terhadap umatnya dan berharap benar agar mereka terselamat dari siksaan azab neraka. Umat Islam wajib menghormati dan mengasihi Rasulullah s.a.w sebagaimana baginda mengasihi umatnya.


Menurut riwayat, biasanya sahabat-sahabat Nabi ketika berkata-kata dengan Rasulullah s.a.w, mereka selalu menyebut kalimat raa’ina yang maksudnya meminta Nabi mengambil berat kepada perkara yang mereka kemukakan. Orang-orang Yahudi juga ada datang bertemu Nabi s.a.w sambil menggunakan kalimat yang serupa dengan memutarkan bunyinya menurut bahasa Yahudi yang bermaksud menghina Nabi. Maka Allah telah melarang orang-orang Islam menggunakan kalimat tersebut dan memerintah mereka menggantikannya dengan kalimat unzhurna bermakna ‘berilah perhatian kepada kami’.




Nabi s.a.w sendiri tidak mahu orang-orang mukmin melakukan sesuatu perkara dengan keadaan yang serupa dengan orang-orang musyrikin, orang-orang kafir termasuk ahlil-kitab (orang-orang Yahudi atau Kristian). Bagi mereka cara hidup mereka, manakala bagi orang-orang mukmin sudah tentu cara hidupnya yang diajar oleh Islam melalui pernyataan Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Kafirun: Ayat 6:.


Mafhumnya: “ Untuk kamulah agamamu, dan untuk akulah agamaku”


Bermula kelainan tersebut ialah di dalam perkara-perkara keimanan. Bagi orang-orang Islam, mereka diperintahkan beriman kepada Allah Yang Maha Esa, tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun; termasuk beriman kepada beberapa Rukun Iman yang lain. Orang-orang Islam mempunyai cara beribadat yang berbeza sebagaimana yang disyaratkan Allah dan mempunyai tujuan / konsep tersendiri; manakala orang-orang bukan Islam dengan cara dan haluan mereka.


Perbezaan juga amat ketara pada aspek-aspek halal haramnya benda dan perbuatan, hukum dan konsepnya baik di dalam makan minum, berpakaian, pergaulan dan sebagainya. Pendek kata perbezaan itu berlaku di dalam semua aspek kehidupan seperti dalam urusan undang-undang (hukum), sosial, ekonomi atau politik. Pada syariat Islam, semua perkara tersebut tidak terlepas dari hukum Allah; semuanya mesti tunduk mengikut syariat Islam dalam mencapai keredhaan Allah. Motif utama laku perbuatan dan kehidupan manusia hendaknya beroleh kesejahteraan di dunia dan akhirat.


Oleh itu setiap orang yang beriman, seboleh-bolehnya menjauhi laku perbuatan yang semacam laku perbuatan orang-orang yang ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya. Apatah lagi jika laku perbuatan atau tutur kata itu bertentangan dengan tata susila sunnah; malah boleh menjatuhkan imej Nabi s.a.w.


Orang-orang kafir khususnya orang-orang Yahudi sejak dahulu menolak pengajaran dan panduan daripada para rasul kepada mereka. Sejarah memberitahu, malah Al-Quran melakarkan banyak kisah bagaimana kaum tersebut mengingkari peintah Allah melalui kitab-kitab-Nya dan lidah para nabi mereka terutama Nabi Allah Musa a.s dan Nabi Allah Isa a.s. Mereka memperolok-olokkan pengajaran untuk mereka. Mereka berdegil, malah menentang arahan rasul-rasul tersebut dengan berbagai cara dan helah.


Dua kabilah kaum Yahudi yang menghuni Kota Madinah pada zaman Rasulullah s.a.w pula tidak ramai yang memeluk Islam. Mereka.yang tetap berpegang dengan agama mereka itu terpaksa ikut berjanji setia membai’at Rasulullah s.a.w. Mereka itu terpaksa menerima pemerintahan Islam di Madinah, selaku kafir zimmi dari kalangan ahlil-kitab. Mereka dapat hidup bersama, dilindung serta dilayan selaku penduduk Kota Madinah yang lain.


Namun begitu ada di kalangan orang-orang Yahudi itu yang berpura-pura menganut Islam, berpura-pura tunduk di bawah pemerintahan Nabi s.a.w tetapi pada hakikatnya mereka menentang kenabian, memusuhi Rasulullah s.a.w sambil memperolok-olokkan ajaran Islam. Mereka itulah golongan munafiq yang menjadi musuh dalam selimut, api dalam sekam atau duri dalam daging kepada perkembangan Islam dan kesejahteraan umat Islam. Mereka sengaja mencari peluang untuk menjatuhkan umat Islam, memusnahkan ajaran Islam atau mencemarkan imej Islam.


Mereka juga sentiasa mencari pengikut-pengikut dengan apa cara sekalipun bagi memusuhi Islam sama ada dengan pemikiran, tenaga, material dan masa. Pelbagai tipu helah dilakukan baik secara kasar yang disedari atau secara lembut tanpa disedari oleh umat Islam sendiri. Mereka mahu agenda mereka berjalan dengan selamat yang akhirnya mengakibatkan Islam itu lesap dari muka bumi dan umatnya dihina, berpecah belah serta musnah ditelan sejarah.


Oleh sebab itulah setiap diri umat Islam mesti mengenali diri sendiri dan mengetahui siapa musuhnya. Mereka hendaklah menghormati Nabi s.a.w, menerima serta mengamalkan sunnah baginda. Setiap umat Islam hendaklah mengetahui langkah-langkah tipu daya golongan yang bermusuh dengannya, berikhtiar dan bertindak menjauhi setiap agenda mereka. Orang Islam harus berani menentang setiap maksud jahat mereka walau di mana mereka berada. Insya Allah dengan kesedaran dan tindakbalas umat Islam terhadap kegiatan jahat musuh-musuh itu, mereka akan terselamat, akan beroleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda