sajak petikan dari antologi GOBAR WILAYAH KAMI (PDP 2013)

ADA AKU KISAH?

Dua ribu sebelas
melakar wajah pucat
pada bahasa penghuni   
sejak lama demamnya
tidak kebah-kebah.
Si pemegang teraju itu leka
lelap dalam kelambu
bahasa paria berkecoh angin
di Tanjung Keling
bunga cina terselit harum
di baju Melayu
ada kembar Siam
ditemui di Masjid India
seekor ayam Belanda
dilanggar kereta Kancil 1Malaysia
di kampung L B Johnson.
Bapak vs Anak di Felda,
si Ibu (pertiwi) menangis resah.
Ada aku kisah...

Dua ribu sebelas
si tamby menanggung kavadi
mahu keampunan dewa di Batu Caves
jejek kawasan setinggan bumi
sukar Melayunya menjawab
pantun dua kerat KS Walia TV3
selepas bulletinnya menyiar
si jeli-jutawan wanita dibakar paria
di desa sawit di Tanah Melayu.

Tertangkap se reban ayam China
punya pas pelajar/cur di kolej KL kita.
Ada polis terlatih menembak
mati budak sekolah. Saksi ke berapa
mati di lokap atau terjatuh bangunan?
Pakar forensik impot dari Thailand
groovy sungguh dia datang
seretak sibuk kawalan ketat di KLIA,
tiba PM India merasmi warna-warni
Little India di Jalan Brickfield.
Ada aku kisah…

Dua ribu sebelas
berita ternafinya PPSMI
masih suam dalam kesalan,
usah ternafi Interlok asal
di pasar sekolahan kita;
dijanjikan transformasi
buat melawan reformasi,
nanti ultraformasi beretorik
bertikam lidah dan gusi.
Usia parti-negara ke arah pencen
sering diganggu penyakitan akal
virus berkejar dalam perisian
maka tercetak kesal generasi.
Anak-anak Permata Negara
akan mendaki bangunan tinggi
100 tingkat. Gagal mencari Tuhan
Ada aku kisah…

Dua ribu sebelas ini
usah sebut harga barang naik
ahli bahasa tingkat 4 mahu selaras;
usah hingar merata media
orang lain bukan pakar ekonomi
segala masih stabil menuju maju.
Anak-anak tetap upaya bersekolah
tetapi tidak membazir capai 22A lagi.
Memada buat si miskin sekolah Ma’ahad
berekod tertinggi di MBOR hingga kiamat.

RM111j buat Permata Negara
adalah harapan masa depan kita.
Barangkali mereka lebih berjasa
ganti ibu bapa pengutip tegar besi buruk,
botol buangan dan surat kabar lama
bakal dijual ke tauke Lingam
mantan pembeli surat kabar lama,
botol buangan & besi buruk 20 tahun dulu.
“ Dan hari-hari itu Kami kitar-tukar
di kalangan manusia-manusia…”
itulah mafhum firman Allah kita.
Siapa yang terkitar oleh masa
atau siapa kena kitar semula?
Ada kita kisah…

18 Safar 1432H/23 Januari 2011M,
Negeri Di Bawah Bulan.



1 Response so far.

  1. Assalamualaikum...
    Saya baru sahaja buka blog Dr Shafie, dan terjumpa komen Tuan..

    nanti saya akan maklumkan kepada Dr Shafie, dia xberapa perasan tentang komen2 di blog.
    Saya akan usahakan untuk pos kepada Tuan. InsyaAllah.

    Harap Tuan Hadi sentiasa sihat hendakNya.
    terima kasih.

    Saya Nabilah salah seorang AJK Sekretariat Bangi Bandar Ilmu

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda