Setinggi-tinggi syukur dan pujian diangkatkan ke hadhrat Allah Subhanahu wa Taala, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang atas taufiq dan hidayahnya-Nya memberi kesempatan saya menterjemah dan menyediakan petikan huraian beberapa ayat Al-Quran pilihan di dalam buku ini.


Selawat dan salam sejahtera diaturkan khusus buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. penghulu segala nabi dan rasul a.s yang diutuskan Allah sebagai pembawa rahmat-Nya bagi seluruh alam; yang diutuskan ke tengah-tengah masyarakat manusia untuk mengajak serta menyeru mereka ke jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Salam sejahtera juga diiringkan untuk keluarga, sahabat-sahabat serta semua pengikut baginda sejak dahulu hingga kini.


Risalah ini sengaja diberi judul “WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN” kerana isi kandungannya adalah huraian dari maksud ayat-ayat Al-Quran yang dimulakan dengan ayat:


‘ Ya ayyuhalladhina aamanu” yang memberi mafhum ‘Wahai Orang-Orang Yang Beriman’ . Satu seruan khusus untuk mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya agar mengambil berat dan memberi perhatian kepada apa jua gesaan atau kehendak Allah berdasarkan ayat-ayat tersebut.


Di dalam kitab suci Al-Quran terdapat banyak lagi ayat seruan yang dituju khusus kepada individu atau golongan tertentu agar mengambil perhatian terhadap wahyu Allah dan perintah-Nya. Selain seruan kepada orang-orang yang beriman ( seruan paling banyak dan sudah tentu ditujukan kepada orang-orang Islam ) terdapat ayat-ayat yang didahului dengan seruan: Wahai Nabi, Wahai Rasul, Wahai Bani Adam, Wahai Manusia, Wahai Bani Israil, Wahai Orang-Orang Kafir, Wahai Orang-Orang Yang Diberikan Kitab, Wahai Orang-orang Yahudi dan Wahai Diri Yang Mutmainnah (sekadar dikumpul beberapa contoh).


Semua ayat yang dimulakan dengan lafaz seruan itu sudah tentu didedikasikan kepada mereka yang tersebut agar mengambil perhatian berat terhadap apa yang difokuskan oleh Allah s.w.t. Mereka yang terbabit hendaknya membaca dengan teliti, memahami akan tujuan ayat dengan hati-hati sambil mengambil dan menunaikan apa jua perintah atau makluman. Mereka disuruh mengambil panduan, pengajaran, teladan, perbandingan, hukum-hakam dan gesaan yang terkandung di dalam ayat-ayat tersebut. Di sinilah terletaknya hikmah sebahagian dari mukjizat Al-Quran sebagai wahyu Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umat baginda. Seolah-olah Allah sendiri yang berhadapan dengan mereka yang beriman; berkata-kata dengan lembut bermaksud dan berbicara dengan kalimah berhikmah. tanpa adanya hijab dan wasilah, Allah s.w.t menyatakan wahyu-Nya baik mengenai perkara akidah, syariat maupun akhlak. Hendaknya pihak orang-orang yang beriman pulalah yang prihatin mendengar dan taat menerimanya sami’na wa ata’na lalu terus bertindak dengan penuh bijaksana melaksanakan perintah Allah.


Jadi dengan huraian atau tafsiran ringkas yang diberikan berdasarkan ayat-ayat yang dimulakan dengan Wahai Orang-orang Yang Beriman, diharapkan kita dapat mengambil pemahaman dan pengajarannya, paling tidak kita mengetahui bahawa di dalam kita suci Al-Quran banyak ayat-ayat yang secara terusnya menuding dengan jari telunjuknya ke dada, minda dan diri orang-orang yang beriman; maka tidak dapat tidak kita wajib mematuhinya. Selaku hamba Allah s.w.t yang mahu lari sedaya upaya dari azab-Nya akibat kejahilan diri, kita mahu terselamat dan mendapat perlindungan di akhirat nanti sehinggalah kita termasuk ke dalam golongan hamba-Nya yang diredhai Allah.Insyallah.


0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda