Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar .” (153) Surah al-Baqarah.

Kalimat ‘sabar’ sama ada disebut sebagai satu sifat manusia atau golongan, ataupun selaku penjelasan terperinci sifat ini; ia disebut d dalam Al-Quran lebih dari 100 tempat. Bahawa Allah s.w.t menyebut hal mengenai sabar di dalam kitab-Nya sungguh banyak, maknanya tidak ada satu sifat yang lebih afdhal daripada ‘sabar’.

Sabar dari segi bahasa yang mudah ialah menahan diri. Kebanyakan sifat sabar yang ditakrifkan oleh Al-Quran ialah menahan diri daripada mengerjakan perkara dosa atau perkara yang dibenci demi menuntut keredhaan Allah.

Allah Maha Kaya dan Berkuasa telah mengurniakan nafsu kepada manusia. Sifat semula jadi nafsu ialah mahukan sesuatu atau berkeinginan mencapai kemahuan diri. Allah s.w.t juga telah mengurniakan pelbagai sifat kepada manusia bagi mengendalikan diri termasuk sifat sabar. Al-Imam al-Ghazali r.a merumuskan bahawa sifat sabar terbahagi dua iaitu:

Pertama: Sabar jasmani: Tabah hati menanggung kesusahan badan terhadap kerja-kerja berat dalam mencari rezeki, kesukaran menunaikan ibadat, penderitaan sakit akibat luka atau tenat dan sebagainya. Tabah hati begini adalah terpuji apabila disertai sifat redha, berikhtiar berubat atau mengelaknya dengan cara yang diizin syarak.

Kedua: Sabar rohani: Menahan diri daripada menurut keinginan tabii dan runtunan hawa nafsu. Orang-orang yang beriman hendaklah bersabar, menahan diri daripada kehendak perut dan jantina yang melebihi batas, menahan diri daripada mengeluh, sombong, rasa takut, gopoh, marah, tamak dan sebagainya.

Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menghubungkan sifat sabar itu dengan akhlak orang-orang yang bertakwa. Para rasul, nabi-nabi dan siddiqiin adalah merupakan contoh-contoh terbaik sebagai hamba-hamba Allah yang kuat sifat sabar mereka. Mereka sentiasa diancam pelbagai kesusahan hatta maut sekalipun atau dijanjikan dengan pelbagai nikmat dunia; namun mereka tetap bersabar mempertahankan iman, di samping mengharapkan keredhaan Allah s.w.t semata-mata.

Jadi Allah s.w.t telah memberi pengharapan besar untuk mereka. Kepada mereka dijanjikan kesejahteraan serta nikmat kejayaan di akhirat nanti. Mereka akan memasuki syurga Allah serta mendapat penghormatan daripada para malaikat. Janji-janji nikmat itu disebut oleh Allah sendiri, antaranya firman Allah s.w.t :


Mafhumnya: “ Mereka itu semua akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya”. (Surah al-Furqan: 75)


Mafhumnya: “ Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya tempat kesudahan itu sebagai balasan amal kamu di dunia dahulu”. (Surah al-Ra’d: 24)

Islam sangat mementingkan sifat sabar kerana ia mempunyai nilai yang sangat tinggi baik dari segi agama dan akhlak. Ia bukanlah satu sifat sampingan, malah ia adalah sifat yang mesti bertunjang pada diri setiap orang yang beriman. Setiap individu muslim mesti memilikinya demi mencapai demi mencapai kesejahteraan diri dan masyarakat. Manusia tidak akan dapat mencapai kejayaan manakala dunia tidak akan aman serta makmur melainkan dengan adanya sifat sabar.

Sifat sabar sangat mustahak untuk mencapai kejayaan di dunia, begitu juga bagi memperolehi ganjaran akhirat. Tiada kemenangan di dunia ini dan tidak ada kejayaan di akhirat nanti melainkan dengan kesabaran. Segala cita-cita dan hasrat tidak akan terlaksana secara sempurna di dunia ini kecuali dengan sabar dan beristiqamah. Sesiapa yang sanggup bersabar, dia akan berjaya; sebaliknya jika tidak sanggup menahan kesabaran, dia akan gagal.

Memandangkan betapa indahnya sifat sabar itu, betapa perlu ianya dimiliki oleh orang-orang yang beriman maka kita hendaklah memohon kepada Allah s.w.t agar kita dikurniakan sifat sabar. Lagipun Allah sering menyebut bahawa Dia akan bersama dengan orang-orang yang sabar.

Mafhumnya: “ Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”.

Orang-orang yang beriman juga dikehendaki memohon sesuatu pertolongan dan perlindungan Allah bagi mengelak dari sesuatu yang tidak baik ( bala bencana, penyakitan dan sebagainya) melalui solat mereka. Mereka juga digesa agar dengan solat, mereka mendekati Allah bagi mendapatkan rahmat dan bantuan-Nya semasa menghadapi susah payah dalam menyempurnakan perintah Allah itu. Solat adalah tiang agama. Ruh sembahyang itu adalah khusyuk hati orang yang mengerjakannya kepada Tuhannya. Inilah sebesar-besar pertolongan dan semangat yang teguh untuk menghadapi sebarang perkara yang menyulitkan.

Mengikut undang-undang dan peraturan Allah s.w.t segala pekerjaan yang besar seperti
penyebaran agama Islam, mempertahankan kedaulatan Islam dan sebagainya tidak akan berjaya melainkan dengan kesungguhan dan kesabaran dalam menjalankan usaha pekerjaan tersebut. Di samping tabah menghadapi sebarang rintangan dan dugaan itu, orang-orang yang beriman sangat perlu menunaikan kewjipan solat, bermunajat serta berdoa supaya diberi kekuatan dan kejayaan.

Maka sesiapa yang tetap teguh, sabar dan beristiqamah dengan solatnya, nescaya dia termasuk di dalam golongan hamba Allah yang dikasihi-Nya. Dia akan mendapati setiap hajatnya dimakbul oleh Allah, dirinya sentiasa sejahtera dilindungi dan akan jadilah dia hamba Allah yang bertakwa yang akan memperolehi kebaikan di dunia ini dan kebaikan di akhirat nanti..

0 Responses so far.

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen Anda