SABTU 25/1/2914
Pergi sarapan di Desa Rahmat, ada sesesora tanyai ttg Kitab Al-Hikam.
Pergi ambil kakNah dan makLong untuk ngaji al-Quran. Cikgu Che Ahmad
dan Maksu Lah datang ziarah hingga 11.45 pagi.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib meninggal dunia di
Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada kira-kira 12 tengah
malam tadi.
Laman web rasmi PAS sebelum ini melaporkan Allahyarham tidak sedarkan diri
sejak kira-kira 5 petang semalam.
Ketua Perangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata
jenazah Allahyarham Tuan Guru Harun Taib dijangka disolatkan di Markaz Tarbiyah
Kubang Lembik, Manir, 10 pagi ini.
TRIBUT BUAT USTAZ HARUN TAIB: DIA MURABBI, AYAHANDA
DAN TEMAN
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Seharian alam siber berdecak dengan berita keuzuran Ketua Dewan Ulama PAS
Pusat, juga euforia syahdu dengan berita Dr Harun Din yang juga turut
dimasukkan ke wad CCU IJN. Saya dan rombongan terbang ke bumi Tawau untuk
program ekspedisi Dakwah yang kami rancang beberapa bulan yang lepas. Kedua
tokoh ini adalah jantung hati jemaah yang disayangi dan sentiasa didoakan
kesihatan mereka, keduanya juga adalah ahli Majlis Syura Ulama PAS.
Panggilan telefon yang ringkas daripada YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ,
mengkhabarkan kepulangan Tuan Guru Ustaz Dato Harun Taib ke rahmatullah seperti
percikan petir yang mengoncang sukma. Sosok besar gerakan Islam semenjak pulang
dari Ardhul kinanah pada tahun 1981 itu tak terhitung baktinya kepada medan
amal Islami di tanahair ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi
Nabawi, serta melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru
Haji Abdul Hadi Awang.
Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum
Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu
daripada pemukiman ilmu di Asia Barat , beliau secara sepenuh masa mewakafkan
diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat
direlung hati anak-anak muda di awal dekad 80an akibat kebangkitan Islam yang
sedang menyelimuti dunia Islam. Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal
alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid
yang sentiasa berlanglangbuana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin parti.
Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun
manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982 , seterusnya mendapat reputasi cemerlang
dalam dunia pendidikan PAS. Dalam pertengahan dekad 1980an, beliau
membentangkan kertas kerja tentang pendidikan pra sekolah di bawah PAS dan
akhirnya PASTI telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai
dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini. Bersama teman- teman
pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah
mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi
tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan
ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS
sehingga mampu duduk di Majlis Syura Ulama PAS seperti Ustaz Zaharuddin
Mohamad.
Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman
Terengganu,iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah,
sekolah rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat
Hulu Terengganu juga menyaksikan DUN Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman
berzaman dan kini anakandanya , Hilmi mewakili konstitusi tersebut.
Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihanraya kecil Teluk
Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang
dalam PRU pada tahun 1990 di DUN Manir. Beliau antara 10 orang calon APU yang
dihantar ke Wisma Darul Iman dalam pilihanraya umum 1990 yang menyaksikan aksi
serpihan UMNO, Semangat 46. Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang
juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti ' muslimat Pembangun Ummah',
'berbilang-bilang jemaah' serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah
dalam PAS.
Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk
keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami.
Isterinya , Ustazah Zainab pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak-
anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam
pemuda PAS . Yang paling penting beliau melahirkan ribuan anak didik di medan
perjuangan dengan pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah
Kubang Lembik, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan
tarbiah serta menjadi kilang tajnid.
Peranan paling besar almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco kerajaan Terengganu
dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi
Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu. Lilitan serban merah putih
dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi
membangunkan pendidikan Islam dan dakwah. Terengganu akhirnya menubuhkan
pelbagai institusi pendidikan seperti SRAB, KOSTAQ, KOSPINT, pemerkasaan KUSZA
sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit
Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu.
Malam merangkak sepi dan sayu apabila saya meluncurkan tulisan belasungkawa ini
kerana almarhum seperti bapa saya. Semenjak ditamrinkan dalam Ikatan Pelajar
Islam Terengganu di Kubang Lembik di alam kampus, sehinggalah saya menjadi
aktivis Dewan Pemuda. Beberapa kali disergah kerana itulah cara beliau mendidik
supaya anak muda tak lalai . Malah paling manis almarhum adalah saksi majlis
pernikahan saya serta sering bertanya khabar melalui orang tengah . Murabbi ini
mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai
perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir
dalam mesyuarat PAS Pusat dua bulan yang lepas, sorotan matanya bening dan
terpancar kasih sayang yang tulus. Selamat jalan sang murabbi, berpulang ke
negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini.
Untaian kata- kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan
terus menggalang tugas dakwah ini...alfatihah.
( Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS Pusat)
.jpg)
 |
|