UMNO: 269 CALON BERTANDING, 900 ADUAN RASUAH ~~ HarakahDaily.
Abdul Aziz Mustafa- Tue | Feb 24, 09 | 9:37:04 pm

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Dengan 269 calon yang bertanding merebut pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno dan ketiga-tiga sayap parti itu pada pemilihan yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan, setakat November lalu sahaja 900 aduan rasuah telah diterima.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, TS Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menyifatkan rasuah pada pemilihan kali ini adalah paling serius. Tidak diketahui berapa banyak kes rasuah sepanjang kempen pemilihan tersebut yang tidak diadukan.

Ketika mengecam gejala itu, bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, jika orang yang menghulur rasuah menang dalam pemilihan Umno Mac ini, kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri akan dipimpin oleh perasuah selepas PRU ke 13 jika Barisan Nasional (BN) menang.

"Jika yang menang adalah orang yang menghulur rasuah maka Umno akan dipimpin oleh perasuah.

"Dan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri akan dipimpin oleh perasuah selepas PRU ke 13 jika BN menang. Dan pemimpin jenis ini akan sauk duit kerajaan dan duit siapa sahaja yang berurusan dengan kerajaan," kata bekas Presiden Umno itu.

Tindakan membanteras rasuah di dalam Umno bagaimanapun ditentang oleh ahli-ahli parti itu. Pada 30 Januari lalu, ahli-ahli Umno menunjuk perasaan membantah tindakan Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras gejala politik wang ketika MT parti itu sedang bermesyuarat.

Mereka yang menunjuk perasaan di pekarangan Menara Dato Onn itu turut menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan SPRM itu.

Mereka membawa sepanduk-sepanduk yang tertulis "Kami menolak SPRM, boleh belah", "Jangan ambil hak ahli Umno" dan "Lembaga disiplin sudah nyanyuk". Penentangan sedemikian bukan sahaja datang dari ahli-ahli Umno.

Sebuah blog, politica-net.blogspot.com, yang dipercayai dikendalikan oleh seorang ahli parti itu mendedahkan ada "orang besar" menghalang siasatan ke atas salah seorang calon Timbalan Presiden Umno yang dibabitkan dngan hampir 400 dakwaan rasuah.

TPM: Rasuah atau risywah (bah. Arab) bermaksud sogokan, wang suap, tumbuk rusuk, duit kopi, politik wang, korupsi atau corruption (bah. Inggeris) atau pemberian sagu hati secara sulit / haram dengan niat mendapatkan balasan faedah dari sokongan atau jasa.

Antara akibat berleluasanya amalan rasuah dalam bidang pentadbiran ialah tamakkan kuasa serta berlakunya layanan yang tidak sama. Kebaikan hanya diberikan kepada orang yang mahu merasuah/memberi wang sogok. Manakala orang yang tidak mengeluarkan sogokan rasuah itu tidak dilayan baik. Tidak berlaku adil sebegini akan mengakibatkan berleluasa pula sikap diskriminasi dan dengki. Walaupun amalan rasuah hukumnya berdosa besar dan salah dari segi undang-undang negara, namun ia terus berjalan dan sukar dibendung.

Impak buruknya amalan rasuah ini akan merebak pula sifat nafsu tamak dan berkepentingan diri, akan hilanglah sifat peri-kemanusiaan, tolerasi, jujur dan kasih sayang persaudaraan sesama orang Islam. Selanjutnya orang tersebut, keluarganya, masyarakatnya malah negaranya tidak akan mendapat rahmat Allah jika perbuatan rasuah ini tidak dihapuskan.

Punca lahirnya amalan rasuah yang ada pada diri orang-orang Islam ialah adanya nafsu kasih keduniaan (hubbuddunia), cintakan harta (hubbulmal), sukakan kemegahan (hubbuljah), kufur nikmat, lupakan dosa, lupakan akhirat, tidak ingatkan Allah; hakikatnya mereka adalah jahat, zalim dan bukan orang yang benar-benar beriman.

Baik bernama politik wang, duit kopi, tumbuk rusuk, rasuah atau apa nama sekalipun; semuanya adalah sogokan, amalan haram berdosa besar sebaya perbuatan terkutuk yang lain-lain seperti meminum arak, berzina, berjudi dan amalan-amalan dosa besar yang lain, yang menempah kemarahan Allah dan Rasul-Nya. Mafhum hadis: " Pemberi dan penerima rasuah tempatnya ialah neraka".

Ingatlah Allah Taala Maha Mengetahui apa-apa yang manusia lakukan sama ada terang-terangan atau sembunyi-sembunyi. Dan ingatlah bahawa kebejatan, keburukan dan jenayah yang berlaku di dalam sesebuah negara adalah antara kifarat dari Allah SWT terhadap kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang jahat dan tidak takutkan dosa.

Zambry, Exco Dapatkan 'PENDAPAT' Peguam Diraja Di London

Mon | Feb 23, 09 | 10:35:32 am MYT

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Hrkh) - Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) antara 12 dan 18 bulan, mahu mendapatkan panduan Peguam Diraja berhubung krisis perlembagaan Perak.

Menurut laporan sebuah laman akhbar online beberapa anggota pasukan peguam mereka dijadual berlepas ke London hari ini dengan disertai oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit. "Pasukan ini terdiri daripada peguam kanan dan muda, dengan salah seorang daripada mereka pernah terlibat dalam kes membabitkan Ketua Menteri Sabah pada 1986," kata sumber.

Menurut sumber itu, mereka akan mendapatkan pandangan kedua berhubung tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung mereka dan juga tindakan perundangan yang diambil oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Kata sumber itu, pasukan tersebut ke London bagi pihak Zambry dan enam Exco berkenaan dan ditanya sama ada Peguam Diraja akan mewakili mereka di mahkamah, sumber itu berkata: "Tidak. Selain mendapatkan pandangan kedua, mereka juga mahukan pandangan berhubung kedudukan bidang kuasa Komanwel yang lain, selain kes-kes di Sabah dan Sarawak di sini." - azm _~~HarakahDaily.

TPM: Ribut dalam cawan politik di negeri Perak belum reda. Semua rakyat pelbagai pihak mengetahui sepak terajang yang berlaku. Ibarat permainan atau perlawanan bolasepak di peringkat amatur Malaysia dicemari insiden, tetiba salah satu pihak yang berjersey biru menjadi amat gelabah akibat onar puak sendiri...lalu mereka mahu mencari jawaban tentang tendangan gol penalti yang diberikan pengadil akibat kekasaran pihak tersebut.

Tidak puas hati dengan bunyi wisel yang telah ditiup, kapten dan beberapa pemain berjersey biru menghubungi jemaah pengadil antarabangsa pasukan England. Logik atau tidak tindakan ini, sama-sama kita fikirkan dan tunggu hasilnya. Cuma kita terasa amat malu bila kondisi sebegini ada pihak yang telah mengundang pihak lain masuk campur dalam urusan rumah tangga kita. Nampak benar pihak terbabit mempertahankan ego dan berpegang dengan konsep ' matalamat menghalalkan cara'. Yang kita bimbangkan suasana yang sudah keruh itu akan semakin berkeladak hingga merugikan iklim politik tanah air masa kini.

Umno Rampas Kuasa Raja-Raja, Huru-Harakan Negara~~ HarakahDaily.
Nyza Ayob
Wed | Feb 18, 09 | 7:35:37 pm

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - Ahli Parlimen Marang, DS Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan pemimpin Umno telah mengambil kuasa mutlak daripada Raja-raja untuk menyalah guna kuasa serta mencelarukan negara.

"Apa yang berlaku di Perak, kita tidak mahu bertempur dengan raja, kita mendukung raja berperlembagaan yang sebenarnya. Tetapi apa yang berlaku, pemimpin umno mengambil kuasa mutlak dari raja-raja,"beliau berkata demikian sewaktu menjawab kenyataan Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mencelah ucapannya sewaktu membawa usul menjunjung kasih titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, dalam pertanyaan yang sama Tajuddin meminta Abdul Hadi menjelaskan soal kezaliman yang ditunjukkan oleh kerajaan.

"Di manakah yang menunjukkan keadaan bersikap tidak adil dan di manakah yang dilaungkan sebagai kezaliman. Jika terdapat kes-kes tertentu bukan menunjukkan kezaliman. Mungkin terdapat kepincangan dari segi pelaksanaan dan pentadbiran.

"Saya dapati kontra apa yang dinyatakan YB Marang dengan apa yang dipraktikkan pimpinan PAS. Saya ingin bertanya jika atas dasar tidak asabiyyah dan tidak fanatik, bolehkah YB mengutuk dan tidak merestui apa yang dilakukan oleh pengikut PAS di Istana Kuala Kangsar tempoh hari," kata Tajuddin.

Sementara itu, Abdul Hadi menjelaskan terdapat persepsi terhadap makna keadilan dan kezaliman. "Tanggapan orang kampung apabila dipukul dan dibelasah maknanya zalim. Tidak meletakkan pada yang sewajarnya maknanya juga zalim. Kita melihat langkah-langkah yang diambil terhadap negeri-negeri PR dalam mengagihkan pelaburan dan ada kempen tidak menggalakkan pelabur ke negeri-negeri selain di bawah BN.

"Kita sebagai sebuah negara yang mengamal federalisma yang mengiktiraf negeri-negeri yang dipilih rakyat kerajaan tertentu. Dalam hal tertentu, sebagai contoh di Terengganu sewaktu kita memerintah, dirampasnya royalti petroleum. Walaupun ada perjanjian. Kami tidak lupa peristiwa ini. Begitu juga dengan apa yang telah disebut oleh YB Kinabatangan. Di Sabah masih tidak terdapat pembangunan walaupun sudah merdeka lebih 50 tahun dan kemiskinan belum lagi diatasi. Ini termasuk dalam kezaliman," tegas Abdul Hadi.

Jelas Abdul Hadi dalam menghadapi krisis ekonomi, satu pembelaan yang sewajarnya harus diberikan kepada pekerja-pekerja yang dibuang kerja. Beliau memberi contoh, sebuah negara komunis yang zalim turut menyediakan peruntukan untuk memberi bantuan kepada pekerja-pekerja yang dibuang kerja. Dalam isu ini katanya, amalan tersebut perlu dijadikan contoh oleh kerajaan.

Abdul Hadi juga menegaskan, beliau tidak menyanggah titah Yang DiPertuan Agung yang mana titah tersebut menggambarkan perpaduan yang makin rapuh yang perlu ditegakkan.

"Dalam membina perpaduan rakyat, kita mesti membina modal insan. Untuk membina modal insan kita harus membinanya dengan akhlak. Dan ilmu adalah asas untuk membangun manusia yang menjadi masyakat madani dan bertamadun.

"Jika kita lihat ramai anak muda berada di pusat serenti, ini menunjukan modal insan kita dalam keadaan bercelaru. Sebab itu kita mesti mengilmukan rakyat,"katanya.

Sehubungan itu dalam ucapannya Abdul Hadi menekankan pentingnya ilmu diajar dalam bahasa ibunda. "Tidak salah kita mendalami bahasa asing. Tetapi untuk mengilmukan rakyat sebanyak-banyaknya haruslah dengan bahasa ibunda. Kita sendiri telah menonjolkan slogan ' bahasa jiwa bangsa'. Apabila kita membuang bahasa kita, kita menghilangkan jiwa bangsa kita.

"Kita telah menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mengilmukan rakyat. Pada masa yang sama, kita menerima bahasa ibunda yang digunakan oleh bangsa-bangsa di Malaysia ini,"katanya. - mks.

TPM: Perkataan 'zalim' asalnya dari bahasa Arab. Banyak terdapat kalimat ini di dalam kitab suci Al-Quran dengan pelbagai ceraian tata nahu menurut kesesuaian maksud dan makna. Allah SWT pernah menyebut yang mafhumnya: ."..dan sesiapa tidak menjalankan hukuman menurut apa yang diturunkan Allah (wahyu) maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim" (Surah Al-Maidah:45).

Sudah tentulah perbuatan zalim seseorang itu menunjukkan dianya tidak berlaku adil. Dia telah bertindak tidak mengikut apa yang sewajib atau sewajarnya. Selalunya mereka yang melakukan demikian adalah disebabkan kejahilan tentang hukum-hukum Allah, seterusnya mereka berkepentingan diri sendiri serta kroni, takabur, tidak amanah, menolak kebenaran, cintakan kuasa, mabuk pangkat, gilakan kekayaan, mementingkan nafsu seks, sengaja menentang sunnah Rasulullah s.a.w, berlagak serba tahu dan lain-lain sifat mazmumah yang mengarah diri mereka ke arah melakukan maksiat dan kejahatan (ammarah bissu').

Semuanya itu mempengaruhi diri individu atau kumpulan, sama ada pemimpin atau rakyat, pembesar atau penyokongnya, boss mahu pun pengikut-pengikutnya. Mereka akan sanggup dan sengaja melakukan apa sahaja demi kehendak mereka tercapai. Akibatnya akan nyatalah tindakan-tindakan buruk dari fahaman 'matalamat meghalalkan cara' mereka, fahaman machievellisma dan sanggup pula menerima risikonya walaupun menyusahkan manusia lain. Inilah sifat-siafat orang-orang Yahudi sejak zaman dahulu sebagaimana terdapat banyak kenyataannya dalam Al-Quran serta perlakuan mereka di Israel hingga kini.

Ekoran tiadanya sekatan dan batasan terhadap tindak tanduk kezaliman itulah akan timbul pula penentangan dari pihak yang kena zalim. Penentangan yang asalnya dari rasa tidak puas hati sesatu individu atau golongan itu boleh mencetus kegelisahan, perselisihan, pergolakan atau perbalahan berpanjangan. Akibat lebih buruk lagi ialah berlakunya demonstrasi, keganasan, pembunuhan dan peperangan sebagaimana dicatatkan sejarah. Maka berhasillah cita-cita iblis yang selalu menggoda manusia supaya berlakunya perbalahan sesama mereka dan melebarnya kerosakan di atas bumi ini!

Selaku orang Islam dan beriman, kita sewajibnya mengambil iktibar dari kisah-kisah yang ada dalam Al-Quran. Kita sewajarnya bermuhasabah seumur terhadap kenyataan Allah SWT mengenai sifat dan perlakuan golongan baik-baik/abrar, solihin, muqarrbiin berbanding dengan sifat serta perlakuan golongan jahat, fasikin, zalimiin, munafikin dan kafirin. Kita juga sepatutnya ambil tahu bagaimana sudahnya golongan-golongan baik dan buruk itu sama ada di dunia ini atau di akhirat nanti. Allah Taala Maha Adil, Dia 'Azizul-Hakiim.

Sekiranya kamu semua bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalikannya kepada Allah dan rasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah serta Hari Akhirat - mafhum firman Allah Taala.

Takutilah kamu akan doa orang yang kena zalim, kerana tidak ada hijab antara pendoanya dengan Allah Taala - mafhum sabda Rasulullah s.a.w.

Muhammad Yusri Amin
Sat | Feb 14, 09

KOTA BHARU, 14 Feb (Hrkh) - PAS tetap mempertahankan institusi Raja-raja Melayu biar pun ada pihak menuduh pemimpin parti itu derhaka merujuk isu yang berlaku di Perak sekarang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub bagaimanapun berkata, sebagai rakyat PAS tetap yakin dengan prinsip bahawa tidak ada sesiapa boleh mengatasi undang-undang. "Dengan sebab itulah Pakatan Rakyat mengambil beberapa pendekatan termasuk undang-undang untuk kita mendapatkan kembali hak kita.

"Kita mengharap melalui proses perlembagaan dan pendekatan undang-undang, kita akan dapat mengambil kembali kerajaan di Perak, di samping keadilan dapat ditegakkan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Selamat Tinggal Umno Kubang Kerian di Kampung Larak, Mulong dekat. Pada majlis itu hampir 300 ahli dan penyokong Umno keluar beramai-ramai daripada parti itu. Akhbar melaporkan Sultan Selangor menyifatkan tindakan pihak tertentu mengadakan demontrasi jalanan kerana membantah titah Sultan Perak dianggap sebagai biadab.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, Dewan Pemuda PAS Pusat tetap berpendirian peristiwa yang berlaku di Perak adalah rampasan kuasa yang tidak sah dari segi perlembagaan negara dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Katanya, segala punca yang berlaku itu kerana kerakusan pemimpin Umno untuk menguasai negeri Perak dengan mengenepikan nilai-nilai perlembagaan dan budaya Melayu. "Lihatlah rakyat sekarang bersama dengan Pakatan Rakyat dan mereka menunggu masa terbaik untuk menterjemahkan rasa ketidak puas hati mereka.

"Dan saya yakin gelanggang terbaik bagi mereka ialah pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Kedah pada 7 April depan," katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa banyak pihak cuba menyembunyikan gelagat Umno menculik Adun Pakatan menjadi punca segala masalah yang berlaku di Perak sekarang. "Ini menunjukkan betapa pimpinan Umno dan BN begitu rakus untuk mendapatkan kembali kuasa tanpa memikirkan aspek undang-undang," katanya.

Oleh itu katanya krisis undang-undang seperti yang berlaku di Perak sekarang hanya dapat diselesaikan melalui interpretasi undang-undang di mahkamah. "Jalan yang terbaik ialah kita mengambil pendekatan undang-undang. Biarlah mahkamah yang menentukan sah atau tidak kerajaan yang baru itu," katanya. - mj/mks. ~ HarakahDaily.

TPM: Mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa satu sifat yang ada pada orang Melayu ialah sifat 'mudah lupa'. Kita tidak dapat membuktikan adakah sifat dhaif itu merupakan sifat hakiki orang-orang Melayu atau tidak. Kita rasa tidak. Mahathir sengaja berkata begitu sebab beliau mahu 'membangun' masyarakat Melayu dari tidur atau kealpaan terhadap tanggungjawab kepada bangsa dan negara. Beliau tidak mahu orang-orang Melayu ketinggalan dalam aspek-aspek ekonomi, politik, pelajaran dan sebagainya. Kita tabik kepada Mahathir jika benar beliau ikhlas mahu membangunkan bangsa Melayu; bangsa keturunan sebelah ibunya.

Sejarah mencatatkan bahawa mantan PM selaku presiden UMNO ketika itu telah berusaha menghapus atau mengurangkan imuniti Raja-raja Melayu dalam tahun 1993. Kita jangan lupa peristiwa bersejarah itu di samping mengingati semula kisah Datuk Annuar Musa selaku pengerusi perhubungan UMNO Kelantan telah mengadakan upacara mengangkat Tengku Ibrahim Petra ibn Al-marhum Tengku Indera Petra menjadi sultan kelantan di Kadok, sedangkan baginda Al-Sultan Tuanku Ismail Petra ibn Al-Marhum Sultan Yahya Petra masih kemas menduduki takhta Kerajaan Negeri Kelantan Darul-Naim. Annuar bertindak demikian sebagi memprotes @ derhaka kepada institusi kesultanan Kelantan dan peranan Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaliegh Hamzah.

Kita barangkali masih ingat kisah pertentangan istana Negeri Perak semasa pemerintahan Paduka Sultan Idris Shah dengan Menteri Besarnya dari UMNO, Datuk Ghazali Jawi (Ayah kepada Datuk Tajol Rosli, ketua pembangkang di DUN Perak, pengerusi perhubungan UMNO negeri merangkap mantan MB Perak sebelum PRU 12). Kemudian berlaku juga ribut dalam institusi istana Negeri Pahang Darul-makmur antara baginda sultan dengan MBnya Datuk Haji Abd Rahim Bakar juga dari UMNO.

Terbaru selepas PRU12 tahun 2008 yg lalu berlaku insiden pihak mantan MB Negeri Perlis DS Shahidan Kassim pengerusi badan perhubungan UMNO negeri Perlis dengan pihak istana Negeri Indera Kayangan itu. Begitu juga di negeri Terengganu, ketua badan perhubungan UMNO negeri merangkap mantan MBnya DS Idris Jusoh ( dibayangi PM di Putrajaya) dengan pihak istana negeri dalam isu perlantikan Datuk Ahmad Said selaku MB baru. Para penyokong Idris merentang kain protes berbunyi: Kami Nak Deris, Natang!. Kain rentang yang dianggap menghina pihak istana negeri.

Jadi kesemua rintetan peristiwa tadi sudah tercatat di dalam album sejarah negara kita; bahawa penentangan golongan politik Umno sejak dahulu hingga tahun 2008 lalu adalah memeningkan hulu baginda Raja-raja Melayu dan menyakitkan perasaan pihak istana.

Bagaimana pulak dengan peristiwa di negeri Perak Darul-Ridhuan yang sedang / masih hangat antara kerajaan PR pimpinan DS Ir Nizar Jamaluddin MB Perak vs kerajaan baru BN pimpinan Datuk Mohd Zambry Kadir ADUN Pulau Pangkor selaku MB dari UMNO (bayangan TPM Najib) vs Istana Iskandariah vs penyokong-penyokong PR Rakyat Negeri Perak yang memberi majoriti pada PRU12 dulu? Akibat krisis belum berkesudahan itu berlaku pula demonstrasi dari pelbagai pihak mempertikai kuasa paduka sultan, kuasa undang-undang dan perlembagaan dan kuasa wang. Muncul lagi masalah perkauman, perpaduan dan penderhakaan. Impaknya lagi sudah tentu terlibatnya serta campurtangan pihak polis demi tanggungjawab dari segi keselamatan, menerima laporan dan isu saman menyaman. Kini keadaan agak HARU-BIRU.

Jadi, benarkah tanggapan Tun Mahathir 'Melayu Mudah Lupa' itu? Itukah sebenarnya 'Dilema Melayu'? Siapa orang Melayu dan golongan mana yang sangat bersungguh mempertahankan ketuanan Melayu? Golongan mana pula yang telah ketara mengherdik Raja-raja Melayu apabila cita-cita politiknya tergugat. Adakah kita 'Melayu Mudah Lupa ' itu?

Karpal Meroyan: Desak Anwar Letak Jawatan Ketua PR, Menegur Sikap LKS dan LGE Dari DAP , Mahu Saman Paduka Sultan Perak/Kerajaan Negeri Perak Serta mengkritik BN.

Pengerusi DAP, Karpal Singh telah mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai ketua Pakatan Rakyat dan menyalahkan ketua umum PKR itu kerana mempromosikan budaya lompat parti serta mencetuskan masalah dalam gabungan tersebut. Pemimpin DAP itu berkata, Anwar telah menimbulkan cukup masalah dan sudah tiba masanya bagi beliau (Anwar) bertaubat, menurut The Star.

Bermula tindakan ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim bertindak keluar dari Umno menyertai PKR tetapi kembali semula ke pangkuan Umno.. Dua Adun PKR pula, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) telah keluar parti dan menjadi parti bebas bersama dengan Adun DAP (Jelapang), Hee Yit Foong.

Akibatnya kerusi PR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tinggal 28, sama dengan jumlah kerusi BN (28) dan tiga kerusi bebas. Ketiga-tiga Adun bebas kemudiannya menyatakan sokongan kepada BN bagi membolehkan gabungan itu mendapat sokongan 31 Adun di Dewan Undangan Negeri Perak.

Dengan itu, Paduka Sultan Perak bersetuju BN menubuhkan kerajaan baru dan menitahkan MB, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin dan barisan exco PRnya meletak jawatan. Bagaimanapun, Nizar enggan berbuat demikian. Upacara mengangkat sumpah MB yang baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Jumaat lalu, di tengah-tengah bantahan ribuan penyokong Pakatan.

Ekoran persetujuan Paduka Sultan dengan penubuhan kerajaan baru BN dan pengesahan perlantikan Datuk Dr Zamri selaku MB baru dengan penyingkiran DS Nizar, Karpal bertindak mahu menyaman Paduka Sultan dan kerajaan BN negeri Perak.

Karpal turut menegur dua rakannya dari DAP, YB Lim Kit Siang dan SU Agung parti itu, Lim Guan Eng berhubung pendirian mereka yang tidak konsisten berhubung isu melompat parti.

Karpal juga mengkritik BN kerana mengamalkan perbuatan melompat parti dengan memberi contoh bagaimana BN telah menarik pemimpin DAP menyertainya pada 1979 dan 1982 ketika Anwar masih bersama Umno dan BN.

Karpal yang juga AP Bukit Gelugor berkata kepercayaan rakyat tidak boleh diambil mudah wakil rakyat yang pilih.~ Sumber Malaysiakini.

TPM: Pergolakan politik semasa di Perak itu memanaskan otak Karpal Singh hingga beliau seorang sanggup menembak dengan peluru tabur terhadap banyak mangsanya. Persoalannya adakah boleh dibiarkan Karpal membidik senapang patahnya dan menghalakan muncung senapang tua itu ke banyak sasaran demi melepaskan perasaan dan menonjolkan sakit meroyannya. Beliau selalu berkata," Jangan main-main dengan saya!".

Tindakan Karpal Bersifat Peribadi, Umno 'Berselindung' Atas Nama Istana~ HarakahDaily.
Azamin Amin
Mon | Feb 09, 09 | 9:59:53 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh) - PAS berpendapat bahawa cadangan tindakan yang sedang diambil oleh Peguam Karpal Singh untuk menyaman Baginda Sultan Perak adalah tindakan peribadi beliau dan tidak pernah dibincangkan, serta tidak pernah juga dipersetujui oleh mana-mana pimpinan parti politik dalam Pakatan Rakyat.

Presiden PAS Dato� Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS sekali lagi ingin mempertegaskan pendirian bahawa parti itu senantiasa mendukung prinsip rukun negara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Katanya sudah tentu rakyat tidak lupa akan tindakan tanpa susila yang dimulai oleh kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional pada tahun 1993 semasa pindaan perlembagaan terhadap kuasa imuniti Raja-Raja dilakukan.

"PAS berpendapat bahawa untuk memastikan keadilan terpelihara, semua pihak dalam negara kita ini termasuklah Umno seharusnya menghormati ketiga-tiga intipati penting dalam mendepani suasana yang sedang berlaku di Perak," kata Ustaz Hadi.

"Oleh yang demikian, tindakan pihak tertentu dalam Umno yang cuba untuk mengheret dan berselindung di sebalik Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak dalam tindakan mereka untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak adalah amat dikesali," kata Ustaz Hadi dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily. - azm _

Feb 5, 09 5:15pm -Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Johari Jaafar
Thu | Feb 05, 09 | 4:47:01 pm MYT

IPOH, 5 Feb (Hrkh): 4.30 petang - Seluruh pimpinan PAS Pusat dan Pakatan Rakyat, termasuk Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti, petang ini berkumpul di kediaman Menteri Besar Perak.

Dato' Seri Tuan Guru Hadi Awang yang baru pulang dari Gaza dikatakan akan terus bergegas ke Perak. Mereka akan berbincang bagi mementukan tindakan seterusnya bagi menyelamatkan demokrasi dan mempertahankan hak rakyat.

Turut hadir MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Sementara itu solat hajat dan munajat perdana yang sepatutnya diadakan di kediaman MB akan dipindahkan ke Stadium Perak atas nasihat pihak keselamatan. Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan provokasi, kekacuan dan bertindak di luar batasan undang-undang.

Rakyat Perak diminta bertenang, berdoa dan solat hajat memohon kepada Allah S.W.T. supaya Kerajaan Pakatan Rakyat dapat dipertahankan. Solat Hajat dan Munajat Perdana akan dipimpin oleh Dato' Tuan Guru Presiden PAS. Semua pimpinan tertinggi dan MB akan memberi ucapan selepas Solat Hajat.

Dalam perkembanmgan lain, sehingga kini pembubaran DUN belum berlaku lagi, Tuanku Sultan masih belum memberi perkenan DUN dibubarkan. Malahan Tuanku meminta Menteri Besar letak jawatan. Namun begitu Mohamad Nizar bertegas tidak akan meletak jawatan. Kerajaan BN masih belum boleh dibentuk di Perak dan kerajaan Pakatan Rakyat masih sah di sudut undang-undang.

Menurut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, terdapat tiga cara untuk menukar menukar kerajaan:

Pertama, melalui pembubaran Dun. Menteri Besar Perak menasihati Paduka Seri Sultan Perak supaya membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan dan memberi mandat rakyat memilih kerajaan yang baru.

Kedua Menteri Besar Perak dan semua Exco meletakan jawatan dan menyerahkan jawatan kepada parti yang mendapat kerusi majoriti memerintah Perak.

Ketiga melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Sekirnya pilihan pertama dan kedua tidak berlaku, rakyat kena menunggu sidang Dewan Undangan Negeri dipanggil bagi membolehkan Usul Undi tidak percaya dibentangkan.

Justeru, selagi Sidang DUN belum bersidang dan Usul Undi Tidak Percaya dibentangkan dan mendapat undi majoriti, selagi itulah Kerajaan Pakatan Rakyat kekal memerintah. - mns _


UMNO Amal Agenda Beli ADUN Sejak 1961

Oleh: Ramli Yamat
Wed | Feb 04, 09 | 1:41:22 pm

JERTEH, 4 Feb (Hrkh) - Isu yang berlaku di Perak sekarang bukan lagi perkara baru, sebaliknya merupakan kerja jahat yang diwarisi Umno sejak tahun 1961. Peristiwa itu berlaku di Terengganu, di mana kerajaan PAS yang diketuai Allahyarham Daud Samad tumbang melalui undi tidak percaya dibawa Perikatan.

Sebelum itu PAS menubuh kerajaan di Terengganu melalui pilihan raya umum pertama pada 1959 dengan memenangi 13 dari 24 kerusi Dun, namun Perikatan membeli empat wakil rakyat PAS dengan pelbagai tawaran. Perikatan pula memenangi tujuh kerusi dan empat kerusi dimenangi Parti Negara. Dan akhirnya kerajaan negeri di bawah PAS tumbang melalui undi tidak percaya.

Manakala di Kelantan seramai lima wakil rakyat PAS dikurung selama sebulan pada 1968 bertujuan meruntuhkan kerajaan PAS, namun gagal.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang kini dikenali Mawe berkata, tindakan Umno 'menculik' dua Adun di Perak daripada �Parti Keadilan Rakyat KeADILan merupakan episod lama yang berulang. Beliau berkata, tindakan mengurung� dua Adun Pakatan Rakyat�di Pekan, Pahang selama empat baru-baru ini membuktikan realiti jahat yang diwarisi Umno.

Beliau yang juga Adun Wakaf Mempelam berkata, mereka berbuat demkian bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tanpa melalui demokrasi dengan membeli Adun Pakatan Rakyat. "PAS mempunyai pengalaman dalam hal pembelian wakil rakyat yang berlaku hampir 50 tahun lalu," katanya pada ceramah di Kampung Padang Luas Dalam dekat sini, malam tadi.

Baru-baru ini Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi menghilangkan diri beberapa hari dan difahamkan dikurung pemimpin Umno di Pahang.

"Semasa saya berceramah di Perak bersama MB, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin beberapa hari lalu, saya menasihatnya bersabar di atas kejadian yang berlaku di Perak sekarang. "Ini kerana kerja jahat seperti itu sudah diwarisi Umno sejak hampir 50 tahun lalu," ujarnya.

Anggota parlimen Kuala Terengganu itu yakin PAS dan Pakatan Rakyat akan kembali mentadbir Terengganu memandangkan rakyat sekarang mempunyai kesedaran politik yang tinggi.

Menurutnya PAS akan mengulangi kejayaan memerintah negeri itu seperti berlaku pada pilihan raya umum 1999 apabila memenangi 28 daripada 32 kerusi Dun.

Abdul Wahid juga merakam ucapan terima kasih di atas sokongan semua pihak sehingga memberi kemenangan kepada PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari lalu.

Turut hadir pada program itu anggota Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dan Setiausaha PAS Besut, Ustaz Mohd Zaid Yusoff. - mj -Sumber HarakahDaily.